Perkara Yang Perlu Diketahui Sebelum Membuat Rumah Kediaman Sendiri

Membina rumah kediaman sendiri memang menjadi impian setiap daripada kita terutamanya apabila sudah memiliki pekerjaan tetap atau sudah berkeluarga. Paling baik apabila dapat membina rumah kediaman sendiri di atas tanah sendiri. 

Secara ringkasnya, ada beberapa perkara yang perlu diketahui oleh kita yang ingin membina rumah kediaman sendiri di atas tanah sendiri. Ianya adalah seperti keluasan rumah, ukuran rumah dan juga rekabentuk rumah tersebut berdasarkan kepada keluasan tanah yang ada.

 

Untuk membina sebuah rumah kediaman, perkara yang penting yang perlu diketahui ialah berapakah saiz dan keluasan tanah yang dimiliki dan berapakah saiz rumah yang dapat dibina berdasarkan saiz tanah tadi. Contohnya, sekiraya anda mempunyai tanah dengan ukuran 50 kaki x 80 kaki berapa besar dan berapa luas yang anda boleh bina di atas tanah tersebut dengan keluasan yang ada. Adakah mengikut betul-betul sebesar ukuran tanah tersebut? Jawapannya tidak. Walaupun anda memiliki tanah sebesar 50 kaki x 80 kaki, itu bukanlah bermakna anda boleh membina betul-betul mengikut ukuran saiz tanah itu. Daripada saiz tanah itu pula, perlu ada anjakan daripada garis sempadan lot sehingga dinding bangunan. Kita andaikan ukuran lebar tanah anda ialah 50 kaki lebar dari sudut pandangan hadapan, tolak anjakan 10 kaki daripada garis sempadan yang bersempadan dengan lot bersebelahan hingga ke dinding bangunan di kedua-dua bahagian kiri dan kanan bangunan. Maka, jumlah ukuran yang tinggal ialah 30 kaki. Contoh layout di bawah:

Rajah 3.1

Manakala, panjangnya pula, iaitu dari hadapan ke belakang, kita andaikan sepanjang 80 kaki. Daripada 80 kaki itu, hendaklah membuat anjakan sebanyak 20 kaki dari garisan sempadan lot yang menghadap jalan hingga ke dinding hadapan dan anjakan 10 kaki belakang dari garis sempadan lot hingga ke dinding belakang bangunan. Maka, jumlah ukuran yang tinggal ialah 50 kaki. Contoh seperti di dalam layout di bawah:

Rajah 3.2

Jadi, kawasan yang tinggal yang dibenarkan untuk membuat binaan ialah 30 kaki x 50 kaki bersamaan dengan 1500 kaki persegi berbanding keluasan tanah sebenar 50 kaki x 80 kaki bersamaan dengan 4000 kaki persegi. Bermakna, jumlah yang perlu dikosongkan tanpa binaan (binaan berdinding) ialah 4000 kps tolak 1500 kps bersamaan dengan 2500 kps. Seperti layout pelan tapak di bawah ini :

Rajah 3.3

Syarat atau kehendak ini terguna pakai di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara seperti Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 atau UBBL 1984. Bagaimanapun, setiap PBT juga mempunyai garis panduan sendiri yang mana pihak tuan tanah atau orang yang hendak membina rumah kediaman boleh terus merujuk kepada PBT berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas. Tetapi secara asasnya adalah seperti yang dinyatakan di dalam rajah-rajah di atas.

[LAGI ARTIKEL BERKAITAN] INFOGRAFIK: SETBACK SEBELUM MEMBINA RUMAH KEDIAMAN

Sebagai permulaan,  ini adalah apa yang perlu anda ketahui sekiranya anda bercadang untuk membuat binaan atau rumah kediaman di atas tanah sendiri seterusnya memohon mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Semoga panduan ringkas ini boleh memberi sedikit gambaran awal tentang bagaimana keluasan dan saiz rumah kediaman anda dapat dibina dan juga mengetahui syarat atau kehendak yang telah ditetapkan oleh PBT yang perlu dipatuhi dan perlu dinyatakan di dalam lukisan pelan arkitek untuk dimajukan kepada PBT bagi tujuan kelulusan pelan.

Anda juga boleh terus merujuk kepada PBT atau pihak yang menyediakan perkhidmatan seperti arkitek dan pelukis pelan untuk mendapatkan gambaran dan memahami garis panduan yang telah ditetapkan oleh PBT. 

Nota:

  • PBT – Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Daerah/Perbandaran/Bandaraya
  • kps – kaki persegi
  • Anjakan – Setback

 

4 Replies to “Perkara Yang Perlu Diketahui Sebelum Membuat Rumah Kediaman Sendiri”

    1. Waalaikumsalam,

      PBT bermaksud Pihak Berkuasa Tempatan dan yang dimaksudkan ialah Pihak Majlis Daerah/Majlis Perbandaran/Majlis Bandaraya. Bahagian Jabatan Bangunan/Jabatan Perancang Bandar

      Siapa PBT boleh rujuk di sini sebagai rujukan -> Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

  1. Salams Tuan,

    Bagaimana pula dengan corner lot sbb sisi depan dan kanan bersempadan dengan jalan.

    Bagi bahagian kanan yg bersempadan dengan jalan perlu anjakan 20 kaki juga ker?

    Terima kasih.

    1. Salam.

      Secara asasnya, setback untuk semua bahagian yang menghadap jalan mesti 20 kaki. termasuk sama ada menghadap jalan dari sisi kanan/kiri/belakang. Cuma, tuan boleh rujuk dengan Majlis Dearah / Majlis Perbandaran berdekatan tentang jumlah setback paling minima yang dibenarkan oleh PBT untuk bahagian lain yang menghadap jalan. Ada sesetengah PBT, selalunya, bahagian yang menghadap jalan selain jalan hadapan, mereka membenarkan setback paling minima dari sempadan jalan ialah sekurang-kurangnya 15 kaki.

      Tetapi, perlu rujuk dulu dengan pihak Majlis Daerah/Majlis Perbandaran berdekatan tentang jumlah yang dibenarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *