Persediaan Sebelum Membina Rumah Kediaman Sendiri di Kelantan – Part 2

Ada beberapa peringkat yang perlu diketahui sebelum anda membina rumah kediaman di atas tanah sendiri terutamanya di Kelantan.

Apabila anda ingin membina rumah kediaman sendiri, anda perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mana anda perlu mengemukakan lukisan pelan arkitek dan pelukis pelan terlebih dahulu. Sudah tentu, untuk peringkat ini anda perlu melantik arkitek atau pelukis pelan untuk menyediakan lukisan pelan arkitek untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Kebiasaannya, kelulusan diperlukan oleh pemohon untuk tujuan membuat pinjaman perumahan. Tetapi, tidak semestinya untuk pinjaman sahaja, kerana mendapatkan kelulusan sebelum membuat binaan sendiri sangat digalakkan. Silap haribulan jika PBT dapat aduan yang anda telah buat binaan tanpa kebenaran, anda berdepan risiko untuk dikenakan kompoun. 

Selepas lukisan pelan arkitek diluluskan, barulah anda boleh membina rumah kediaman anda seperti mana di dalam lukisan pelan arkitek yang telah diluluskan. 

Apakah perkara yang terlibat dalam urusan mendapatkan kelulusan sebelum rumah kediaman anda dibina ? Yang dimaksudkan di sini ialah prosedur di Kelantan tetapi secara umumnya, prosedurnya sama sahaja di semua PBT di seluruh negara.

Pertama, melantik arkitek dan pelukis pelan. Untuk mendapatkan kelulusan daripada PBT, anda perlu melantik arkitek atau pelukis pelan terlebih dahulu untuk menyediakan lukisan pelan. Penyediaan lukisan pelan ini termasuklah urusan melawat tapak cadangan, membuat rekabentuk rumah, menyediakan lukisan pelan arkitek yang lengkap, seterusnya urusan-urusan ke agensi yang terlibat. Di peringkat ini, arkitek atau pelukis pelan akan memberikan cadangan keluasan dan saiz rumah yang boleh didirikan berdasarkan kepada keluasan tanah yang ada. Kemudian, barulah arkitek atau pelukis pelan akan membuat cadangan pelan lantai dan rekabentuk bangunan seperti yang dikehendaki. 

Image source

Sebagai pemilik atau orang yang mahu mendirikan rumah kediaman sendiri, anda boleh memberikan sedikit maklumat rumah yang bagaimana yang anda mahukan. Contohnya, berapa bilik tidur dan bilik air, ruang tamu, ruang keluarga, ruang membaca dan sebagainya. 

Kedua, menyediakan dokumen seperti salinan geran yang turut menyatakan lokasi, keluasan dan ukuran tanah anda. Ini penting untuk pihak arkitek dan pelukis pelan untuk memastikan keadaan tanah dan ukurannya supaya apa yang dinyatakan di dalam pelan tidak lari daripada apa yang ada di tapak cadangan. Atas sebab itu juga, pihak arkitek dan pelukis pelan akan melawat tapak dan melihat keadaan sebenar di tapak. Arkitek dan pelukis pelan juga akan mendapatkan maklumat yang lebih terperinci di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Anda juga boleh datang sendiri ke JUPEM untuk mendapatkan maklumat tanah anda.

Ketiga, menyatakan surat akuan tuan tanah. Sekiranya tanah anda itu tertulis atas nama orang lain sama ada nama bapa, ibu atau isteri, maka anda perlu mendapatkan surat akuan mereka terlebih dahulu. Begitu juga jika nama anda berkongsi bersama-sama dengan nama orang lain. Tetap juga wajib mendapatkan akuan daripada penama yang lain. Surat akuan ini selalunya PBT sudah menyediakan borangnya. Anda hanya perlu mengisi maklumat, dapatkan akuan tuan tanah dan seterusnya mendapatkan sokongan atau akuan daripada pesuruhjaya sumpah atau agensi-agensi yang terlibat yang dibenarkan oleh PBT sahaja.

Keempat, jika di Kelantan, sebelum lukisan pelan arkitek dikemukakan kepada PBT, set lukisan pelan sistem pembentungan wajib dikemukakan kepada Majaari Services Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang menguruskan pembentungan di Kelantan. Lukisan pelan untuk sistem pembentungan ini akan diuruskan oleh pihak arkitek atau pelukis pelan. Bayaran untuk pendaftaran pelan sistem pembentungan ini ialah bermula daripada RM159. Selepas pendaftaran pelan sistem pembentungan, barulah arkitek dan pelukis pelan dapat mengemukakan lukisan pelan arkitek kepada PBT berkenaan. 

Kelima, mengemukakan lukisan pelan kebombaan. Yang ini hanya projek yang terlibat sahaja. Rumah banglo sesebuah setakat ini tidak terlibat. Selalunya, yang terlibat ialah rumah kediaman berkembar atau 4 unit ke atas sahaja (*bergantung kepada syarat dan kehendak PBT yang terkini)

Keenam, Cabutan Hakmilik Tanah yang asal. Cabutan Hakmilik ini juga wajib disediakan bersama-sama dengan permohonan kelulusan pelan arkitek kepada PBT. Di dalam cabutan hakmilik tanah akan menyatakan maklumat paling terkini tentang status tanah anda. Cabutan Hakmilik boleh diperolehi di Pejabat Tanah dengan harga sekitar RM20 sekeping. Anda boleh dapatkannya sendiri di Pejabat Tanah atau mewakilkan kepada pihak arkitek atau pelukis pelan. 

Cabutan Hakmilik ni jika di Kelantan. Jika di negeri lain ia dipanggil sebagai Carian Rasmi. 

Ketujuh, mengemukakan lukisan pelan arkitek kepada PBT. Untuk peringkat ini arkitek atau pelukis pelan akan menyediakan dokumen dan borang-borang yang berkaitan untuk dikemukakan kepada PBT. Dokumen dan borang tersebut termasuklah bayaran yuran daftar proses pelan bangunan dan kebenaran merancang, salinan geran, cabutan hakmilik, akuan tuan tanah (jika berkaitan), akuan pemohon, pengesahan surat atau surat akuan terima oleh Majaari Services Sdn Bhd dan juga set lukisan pelan arkitek. Tempoh kelulusan daripada PBT biasanya memakan masa antara 1 hingga 2 bulan. 

Kelapan, selepas pelan diluluskan, set lukisan pelan arkitek dan surat yang diluluskan boleh diambil di PBT berserta sejumlah bayaran yang dipanggil sebagai bayaran sumbangan yang perlu dibuat kepada PBT berkenaan. Bayaran sumbangan bergantung kepada keputusan mesyuarat PBT yang diputuskan. Kelulusan yang dikeluarkan PBT ini boleh digunakan untuk tujuan mendapatkan pinjaman perumahan. 

Kesembilan, pelan R.C (R.C Plan) atau pelan struktur pula hendaklah dikemukakan kepada PBT sebelum kerja-kerja binaan dimulakan di tapak cadangan. Biasanya, ia perlu dimajukan bersama-sama dengan Borang B. Keperluan pelan R.C itu bergantung kepada PBT. Ada PBT yang tidak memerlukan R.C Plan dan ada PBT mewajibkan penyerahannya. Kebanyakan PBT wajib. Pelan R.C boleh dikemukakan selepas lukisan pelan arkitek diluluskan yang mana ia akan disediakan oleh pihak jurutera. Untuk pelan R.C, anda boleh mewakilkan pihak arkitek dan pelukis pelan untuk menguruskan penyediaannya. 

Kesepuluh, memulakan binaan di tapak cadangan. Sebelum memulakan kerja-kerja binaan, pastikan kesemua keperluan dan kehendak PBT dipatuhi sepertimana yang telah diluluskan di dalam lukisan pelan arkitek. 

Kesebelas, sila pastikan semua kerja-kerja pembinaan yang dijalankan mengutamakan ciri-ciri keselamatan. Contohnya, memakai topi keledar keselamatan dan kasut keselamatan. 

Secara umumnya, prosedurnya adalah sama di PBT di seluruh negara. Cuma agensi yang terlibat, pembayarannya yang mungkin berbeza. 

Nota:

  • PBT – Pihak Berkuasa Tempatan
  • JUPEM – Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *