25 Peralatan Yang Mesti Ada Dalam Architecture – Part 1

Menceburi bidang architecture memerlukan banyak perlatan dan kelengkapan (architecture tools) untuk menjalankan kerja-kerja architecture. Secara basic-nya, pen dan pensel tu memang wajib ada. Kebiasaanya, pen atau pensel akan disangkut di mana-mana, di baju, di kocek, di seluar, di kolar baju, dalam beg dan mungkin juga dalam kereta. Tabiat sketch di kalangan orang-orang dalam bidang architecture memang tak boleh dipisahkan. Sebab tu pen atau pensel mesti kena ada. Mula-mula susah nak biasakan diri, tapi bila sudah lama secara tidak langsung boleh jadi rutin harian. Pensyarah saya masa study dulu pernah berkata, “budak arcitecture kalau tak sketch, tak ada pen, bukan budak architecture la..”. Semua architecture student pernah dengar kata-kata yang lebih kurang macam tu kan? ye, tak?

architecture tools

 

Berbalik kepada topik di atas. Saya senaraikan apa yang mesti ada yang kebiasaannya akan digunakan. Kadang-kadang tak digunakan pun, tetapi tetap ada dalam senarai sama ada akan dimiliki atau disimpan saja dalam tool box. 

1. Pensel Drawing

Sebenarnya, pensel ni jarang digunakan. Kalau kata nak buat persediaan working drawing pun, sekarang kita dah gunakan komputer. Mungkin, pensel banyak digunakan di kelas architecture untuk subjek draughting. Walaupun pensel ni jarang digunakan, bukanlah bermaksud alat lukis ini harus dibuang. Ia tetap berguna untuk tujuan lakaran walaupun kebanyakannya sekarang ramai yang menggunakan pen. Bagi saya, menggunakan pensel lebih selesa untuk membuat lakaran sendiri berbanding menggunakan pen.

Untuk Pensel Drawing ni ada 3 jenis yang bagus untuk digunakan. Rasanya memang ada 3 jenis ni saja dijual di pasaran.

Pensel mekanikal atau kita biasa panggil sebagai pensel tekan. Mempunyai mata pensel dengan saiz 0.3mm, 0.5mm, 0.7mm dan juga 0.9mm. Biasanya kita tak menggunakan pensel jenis ini untuk tujuan lukisan/lakaran yang berat dan kasar. Ia sesuai untuk menghasilkan garis halus, lakaran biasa dan menulis. Sebab dia mudah digunakan, tak perlulah mencari pengasah untuk mengasah pensel apabila tumpul atau patah. Apatah lagi, jika ada temujanji dengan klien atau ada sesi crit dalam studio, takkan pula kita nak asah pensel di hadapan mereka. Tindakan itu agak kurang selesa buat mereka.

Pensel Kayu. Berbanding pensel tekan saya lebih gemar menggunakan pensel kayu. Mungkin faktor fizikalnya yang selesa untuk digunakan. Pensel ini biasanya untuk buat lukisan freehand atau buat lakaran. Kelemahannya, perlu diasah dulu. Leceh jugalah kalau berada di tempat awam kerana perlu bawa pengasah pisau ke mana-mana. Kalau berjumpa klien, bersiap-siaplah bawa 3 atau 4 batang pensel yang siap di asah supaya tidak menganggu semasa sedang berurusan atau bekerja. Lainlah, jika kerja-kerja dibuat dimeja sendiri.

image via wikipedia

Pensel Pemegang Mata atau Lead Holder Pencil. Pensel ni sama seperti pensel mekanikal, boleh diselaraskan dengan menarik keluar atau disimpan ke dalam. Dari segi mata penselnya, perlu diasah juga untuk kekalkan ketajaman. Tidak seperti mekanikal pensel yang mana mata pensel sudah tersedia dengan pelbagai saiz. Manakala, Lead Holder Pencil hanya ada standard saiz 2mm.

image via Lazada

2. Liner Pen atau Pen

Liner pen mempunyai banyak saiz dari saiz 0.1mm, 0.2mm, 0.3mm, 0.4mm, 0.5mm, 0.6mm dan juga 0.8mm. Memiliki pen yang betul dan sesuai dengan keselesaan penggunaan untuk sketch memang penting. Antara jenama yang terbaik dengan harga yang berpatutan ialah Artline. Pen artline bukan saja selesa semasa digunakan malah ia ditawarkan dengan harga yang murah. Tapi, ada pelbagai model. Yang murah ialah model Artline 200, 210 dan 220.

3. Rotring Technical Pen Set

image via Lazada

Dulu masa student memang cari teknikal pen jenama Rotring ni. Sampai dua kali hilang. Sebab orang pinjam tapi tak pulangkan. Pen ni masa belajar saja guna. Bila dah masuk kerja, pen teknikal ni tak pakai pun. Tak beli pun tak mengapa. Sebab harganya boleh tahan juga. Nak jaga pun leceh. Tapi, untuk student memang kena beli. Tak tahulah zaman sekarang kena lagi ke. Teknikal pen ni dulu nak cari bukan main susah. Tapi sekarang, ketik-ketik online dah boleh dapat.

4. Buku Sketch

Ini asas. Ada sebatang pen dan sebuah buku sketch sudah cukup lengkap.  Buku sketch yang kosong adalah lebih baik tanpa mengambil kira berapa saiznya. Terdapat jenis kosong, ada line dan ada dotted. Anda boleh cari buku sketch yang elok di Kaizon atau di Daiso. Selain itu, boleh juga didapati secara online termasuklah di Lazada.

5. Scale Ruler

Scale Ruler boleh dijumpai dengan banyak jenis. Ada yang jenis segi tiga (triangular) dan ada yang jenis lipat (fan). Scale ruler yang baik bagi saya ialah yang jenis metric scale (skala metrik) seperti 1:10, 1:50, 1:500, 1:100, 1:1000, 1:20, 1:200, 1:40, 1:400 dan seterusnya. Tidak mengapa jika anda memilih untuk memiliki semua jenis seperti architect’s scale dan engineer’s scale.

Architect scale biasanya dalam ukuran kaki dan inchi. Manakala engineer’s scale dalam inchi. Scale ruler ni harganya boleh tahan juga. Kalau di kedai sekitar RM12 ke RM30 sebatang.

6. Measuring Tape dan Distance Meter

Sekurang-kurangnya ada 1 measuring tape dalam toolbox. Ada yang biasa dan ada jenis digital. Pada saya lebih baik memiliki kedua-duanya. Jenis digital lebih berkelebihan sewaktu melawat tapak. Terutamanya jika tapak cadangan itu terlalu semak atau yang sukar untuk kita membuat ukuran. Yang menjadi masalah ialah jika kita melawat tapak keseorangan. Sudah tentu yang jenis digital sangat membantu malah lebih pantas berbanding cara biasa yang memakan masa dan meletihkan. 

image via Lazada

Measuring tape ni saya buat simpanan di semua tempat penting. Dalam studio, dalam kereta dan juga dalam beg sebagai persediaan, manalah tahu jika terpaksa melawat tapak atau dapat job baru secara tiba-tiba.

7. Butter Paper

Butter paper sama macam tracing paper. Boleh juga dikatakan sebagai tracing paper. Bukan untuk buat kuih ya.. 🙂 Butter paper, kertasnya lebih nipis, lembut dan agak senang terbang. Butter paper boleh nampak tulisan atau bentuk sketch yang ada disebaliknya. Keperluannya sama saja macam sketch book. Tetapi kelebihan butter paper ni kita boleh buat perbandingan sketch layer-by-layer. Saya tidak berapa gemar menggunakan butter paper kerana ia terlalu lembut dan mudah terbang sehingga susah untuk saya membuat sketch di atasnya. Jika perlu baru saya gunakan. Sebenarnya, ada cara supaya tak mudah terbang. Gunakan saja penyepit kertas atau masking tape.

8. T-Square

image via Lazada

T-square sama seperti pembaris panjang cuma dihujungnya mempunyai bentuk melintang seperti yang membentuk seperti huruf T. Dan itu sebab juga ia dinamakan T-Square. Hujung yang berbentuk ‘T’ diletakkan dihujung meja draughting sebagai panduan untuk membina garis lurus dan melintang. Garis lurus tidak terjamin kerana ia bergantung kepada kemasan T-Square tu sendiri. Ada pelbagai jenis yang mana ia terdiri daripada jenis sepenuhnya acrylic, kayu dan juga jenis aluminium yang sesuai untuk tujuan memotong. 

9. Drafting Table atau Meja drafting

image via IKEA

Meja drafting tak sama dengan meja biasa. Meja drafting boleh di laras ketinggiannya dan juga papan pemukanya boleh dicondongkan mengikut kepada keselesaan penggunaan. Di sinilah T-Square dapat digunakan sepenuhnya. Drafting table boleh membantu pandangan mata yang lebih selesa dengan kedudukan yang lebih baik ketika membuat kerja-kerja drafting. Pada saya, Drafting table susah untuk dicari tapi jika dapat memiliki meja laras yang terdapat IKEA seperti di dalam gambar di atas sudah cukup. Harga sekitar RM 350-RM400.

10. Triangle Ruler

image via Lazada

Triangle Ruler juga digunakan untuk membantu kerja-kerja drafting untuk garisan menegak atau garisan bersudut. Ada yang sudut fixed dengan 2 sudut 45° darjah. Satu lagi ialah 30° dan 60° darjah. Terdapat juga jenis adjustable yang mana anda boleh laras membuat sudut yang anda kehendaki contohnya membuat sudut yang kecil, sudut bumbung, cerunan dan sebagainya.

11. Geometry Set

Geometry set adalah baik untuk kegunaan drawing anda. Membuat bulatan tepat, membuat design, drafting dan membuat detail drawing adalah memerlukan kepada geometry set. Tinggalkan seketika kelebihan komputer. Duduk di meja drafting dengan kertas dilekatkan di atas meja, anda duduk dengan tekun sambil menyediakan hasil seni dan lakaran tangan dengan penuh teliti. Set geometri ni sesuai untuk pelajar L.K, architecture student dan kerja-kerja kejuruteraan.

12. Drawing Storage Tube atau Drawing Scroll

image via Lazada

Drawing Scroll salah satu perlatan yang kena ada juga. Walaupun tidak digunakan sangat lebih-lebih lagi sewaktu kerja sebab boleh digulung dengan tali getah atau letak dalam plastik tetapi sebenarnya ia amat berguna jika digunakan dengan betul. Kelebihannya, melindungi pelan lukisan anda daripada terdedah kepada kerosakan dan juga hujan.

13. Retractable Knife atau Pisau Tarik

Retractable Knife atau senang kita panggil pisau yang boleh ditarik. Kegunaan pisau lebih kepada kerja scale modelling iaitu membuat model rumah bersekala. Pisau jenis ini membenarkan anda untuk melaras mata pisau keluar untuk digunakan dan melaras semula mata pisau jika tidak digunakan. Kelebihan boleh laras mata pisau ini lebih selamat jika berada dalam keadaan cuai atau tidak sedar dengan keadaan sekeliling. Maklumlah, kalau buat model mesti bersepah-sepah mejanya. Potensi untuk terkena pisau sangat tinggi !

14. Cutting Mat atau Pelapik Pemotong

image via Lazada

Salah satu keperluan untuk kerja-kerja pemotongan ialah Cutting Mat. Biasanya bila melibatkan kerja-kerja membuat model bangunan. Tujuannya supaya anda dapat menyelamatkan anda daripada memotong di atas meja yang boleh menyebabkan meja tercalar disebabkan kesan pemotongan. Habislah rosak meja yang cantik-cantik. Selain itu, dapat melindungi mata pisau daripada tumpul dan juga rosak. Kedua-duanya dapat menjimatkan banyak kos. Lagi pun, memotong di atas cutting mat lebih nampak kemas berbanding di atas cutting mat kerana akan menyebabkan hasil kerja anda termasuk diri anda kelihatan sangat selekeh. Cutting Mat ada banyak saiz termasuk sehingga saiz A1. Anda boleh rujuk di Lazada untuk membuat perbandingan harga dan saiz. Dapat saiz A2 pun sudah cukup baik. Puas hati !

15. Metal Ruler atau Pembaris Besi

image via Lazada

Metal Ruler juga kita panggil sebagai pembaris besi. Pembaris besi selalunya kita gunakan untuk kerja-kerja pemotongan lurus seperti yang disebutkan di atas. Memotong board membuat model, memotong kertas dan sebagainya. Ini kerana memotong menggunakan pembaris pelastik dan kayu tidak sesuai untuk digunakan dengan pisau.

16. Resistant Glove atau Sarung Tangan Pelindung

image via Lazada

Tidak semestinya jika kita sudah biasa dengan kerja tangan kita tidak menitik beratkan soal keselamatan. Lebih-lebih lagi untuk kerja pemotongan bersekala besar. Kalau setakat halus-halus dan kecil tak perlu. Malah, sarung tangan ini kita boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan. Mungkin semasa melawat tapak pembinaan, membantu kerja-kerja pembinaan dan kerja pemasangan, sarung tangan ini boleh melindungi tangan anda daripada tercedera termasuk juga semasa memotong board untuk model bangunan. Berapa orang dah kawan-kawan saya jarinya terhiris terkena pisau kerana tidak berhati-hati ketika memotong. Mujur jari tak putus !

17. Laser Cutter

image via Lazada

Membuat model bersekala bukan mudah kalau menggunakan hasil kerja tangan. Kadang-kadang hasil kurang kemas, banyak tenaga hendak digunakan dan banyak masa akan dihabiskan. Kerja pemotongan yang tidak tepat juga boleh merosakkan hasil kerja. Zaman sudah berubah di mana semuanya hendak cepat tapi hasil kerja pun mesti lah kemas. Disebabkan itu, saya mencadangkan untuk memiliki Laser Cutter ni supaya kerja-kerja membuat model menjadi lebih cepat. Malah boleh buat duit ! Sekiranya untuk kerja-kerja sendiri tidak mengapa menggunakan hasil kerja tangan sendiri tapi kalau melibatkan kerja luar, lebih baik gunakan mesin sebagai pembantu. Cepat malah kerja pun lebih kemas.

18. Wood Carving Kit Set

Carving tools atau alat pemahat ukiran jarang sekali digunakan. Tapi amat diperlukan apabila melibatkan kerja-kerja scale modelling. Kegunaannya sudah pasti untuk membuat ukiran pada kayu, kayu balsa, sedikit kemasan pada model board dan sebagainya. Wood carving set terdapat banyak jenis termasuk yang jenis pemegangnya daripada kayu dan mata pisaunya besi. Wood carving set selalunya ada 12 unit di dalamnya. Hati-hati ketika menggunakannya atau ketika mengambilnya dari bekas kerana matanya yang sangat tajam mudah mencederakan tangan anda. Saya kurang berminat dengan carving unit ini, tetapi rasa cukup sempurna jika ada dalam simpanan saya. Jika anda mahu yang seperti di dalam gambar di atas, boleh Klik DI SINI, sekiranya masih ada stok.

19. Large Scale Printer

image HP T120 via Lazada

Arkitek dan pelukis pelan tidak kira sama ada anda adalah seorang freelance, sudah wajib memiliki printer bersaiz bersar sendiri atau kita kenal sebagai plotter. Printer besar ini adalah yang boleh cetak sehingga saiz A1 sekurang-kurangnya. A3 dan A4 tu sebagai pelengkap sahaja. Kebanyakkan arkitek sekarang memang sudah ada. Kalau belum ada, lebih baik beli satu untuk kegunaan sendiri. Kalau anda hendak menyediakan pelan arkitek bersaiz A1 dan tidak mahu membuang masa pergi ke kedai, anda patut memiliki satu untuk studio dan ruang kerja anda. Selain itu, anda dapat menjimatkan banyak kos. Anda boleh print draft terlebih dahulu untuk disemak sebelum mencetaknya dengan banyak set. Harga sekeping di sesetengah tempat bukannya murah. Tidak termasuk kos perjalanan  anda lagi. Memiliki sendiri juga nampaklah anda sebenarnya memang seorang yang komited dengan kerjaya anda. Walaupun anda seorang freelance, anda akan kelihatan lebih professional dengan kerjaya anda.

20. Komputer

image via HP Store Malaysia

Komputer merupakan peralatan paling penting sekali. Membuat design, membuat CAD, membuat 3D, mencari bahan untuk case study dan sebagainya memerlukan sebuah komputer desktop atau sekurang-kurangnya sebuah laptop. Kalau dulu kita menyediakan pelan hany amenggunakan kerja tangan. Tetapi sekarang kita memerlukan CAD dan juga 3D yang semuanya lebih mudah dengan komputer. Komputer pun mestilah yang berkuasa tinggi sekurang-kurangnya yang paling minima di antara komputer berkuasa tinggi. Komputer terbaik adalah komputer yang mempunyai spesifikasi yang terbaik untuk gaming seperti processor intel i5 atau AMD Ryzen sekurang-kurangnya. Jumlah RAM yang tinggi, mempunyai graphic card terbaik daripada NVidia atau Radeon. 

Anda boleh pilih sama ada hendak custom made atau beli yang berjenama. Beli berjenama atau custom made PC, anda digalakkan untuk pergi sendiri ke premis komputer itu dan melihat sendiri performance-nya. Sama juga laptop. Jika memilih online, saya syorkan cari di laman web mereka sendiri sebagai contoh di HP Store.

21. Graphic Card

image via Zotac

Sebuah komputer atau sebuah laptop architecture jadi tidak bermakna kalau tidak mempunyai graphic card. Jangan sesekali mempertimbangkan Intel Graphic kerana itu sebenarnya merugikan anda sebagai orang yang terlibat dalam bidang architecture. Graphic card yang mesti anda pilih mestilah daripada Nvidia atau Radeon sahaja. Selain daripada itu, anda ucapkan saja selamat tinggal. Nvidia dengan sekurang-kurangnya siri GTX 1050 adalah pilihan terbaik untuk spesifikasi yang paling minimum bagi sebuah komputer atau laptop anda.

22. LED Architect Desk Lamp

image via Lazada

Lampu ini juga perlu menjadi sebahagian peralatan sebagai seorang arkitek dan pelukis pelan termasuk freelance. Pencahayaan hampir sama dengan cahaya di siang hari yang dapat melindungi mata kerana penyebaran cahayanya yang lembut, tidak silau dan tidak berkerlip. Ia boleh dilaras dan mempunyai penyepit meja yang kuat. Mejimatkan tenaga dan mempuyai jangka hayat sehingga 36,000 jam. 

23. Kurecolor Pen atau Pen Warna Lain

Kurecolor juga merupakan kelengkapan yang mesti ada. Walaupun ada sesetengah designer tak pakai sangat jenama ni tetapi adalah bagus jika ada di dalam simpanan. Kelebihan Kurecolor ini kita boleh buat isian semula. Warnanya cantik. Satu batang agak tinggi harganya iaitu sekitar RM10 – RM12. Sebenarnya, selain Kurecolor, ada banyak pilihan di pasaran yang anda boleh jumpa. Bukan sekadar Kurecolor. Malah ada harga yang jauh lebih murah dan mudah untuk didapati. Kurecolor banyak dijual di kedai-kedai arts. Malah, sudah banyak dijual secara online. Kurecolor selalunya saya gunakan semasa saya nak present design sketch saya kepada klien. Tapi ini sangat jarang berlaku kerana kebanyakkannya saya banyak menggunakan komputer, print dan barulah present kepada klien. Hasil tangan sebenarnya lebih dihargai. Tak percaya? Boleh cuba buat apabila berurusan dengan klien. Tapi kenalah cantik.

24. Device with Stylus Pen

image via Lazada

Kalau boleh memang kita mahukan teknologi yang ada semuanya dalam satu peranti dengan saiz yang besar, sama besar dengan meja drafting. Tapi, buat masa ni kita fokus kepada peranti yang kecil seperti tablet, Microsoft Surface dan smartphone. Diantara ketiga-tiga ini saya lebih memilih tablet. Selain boleh di bawa ke mana-mana dengan mudah, saya lebih bebas membuat sketch dan membuat catatan. Smartphone agak kecil yang mana ia agak sukar untuk saya membuat sketch dan sudah tentu ia kurang kepuasan kepada diri saya. Tetapi jika ada smartphone dengan stylus pen pun, itu sudah memadai. Untuk tablet, saya cadangkan Samsung Galaxy Tab yang dilengkapi dengan stylus pen kerana ada kebolehan untuk sketch. Manakala smartphone pula saya cenderung kepada Samsung Galaxy Note. Cuba cari dan buat perbandingan di Lazada

Tahukah anda terdapat juga peranti tambahan untuk komputer anda seperti jenama Wacom?

25. Wacom

image via Lazada

Wacom merupakan jenama yang menyediakan pen tablet untuk kemudahan sketch dan draw untuk dipasangkan di komputer dan laptop. Saya juga mahukan satu untuk komputer saya. Apa fungsi Wacom ni? Anda boleh sketch, draw, warna dan ia memudahkan tangan anda daripada menggunakan mouse untuk kerja-kerja sketch. Sama macam Tab dan smartphone. Guna Wacom anda boleh jimatkan kertas anda, kerana semuanya hanya dalam perisian. Harganya pun jauh lebih murah berbanding smartphone. Tengok modelnya jugalah.

Ini adalah sebahagian sahaja dan berharap ia boleh membantu anda sedikit sebanyak untuk persediaan kelengkapan dan peralatan di studio atau ruang kerja anda. Sebagai arkitek dan pelukis pelan termasuk juga freelance, memiliki ruang kerja yang lengkap adalah sangat baik. Membantu menyelesaikan kerja malah ia turut memberikan pandangan yang positif dan menunjukkan bahawa anda seorang yang komited dengan kerjaya dan sangat professional. Professional bukan sahaja bermaksud pengiktirafan yang anda terima, malah ia merangkumi semuanya termasuklah cara bekerja, cara berurusan, cara berkomunikasi, sikap anda, sikap dengan masyarakat, ruang kerja yang lengkap dan banyak lagi. 

Barang dan peralatan ini kenalah dijaga dengan baik, simpan dengan kemas dan jika anda student architecture, bawalah balik ke hostel atau rumah sebab harganya bukannya murah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *