Perkara Yang Anda Patut Tahu Sebagai Freelance Architect – Siri 1

Menceburi pekerjaan sebagai freelance architect bukan mudah jika anda tidak kental. Tambahan pula, dengan orang sekeliling yang tidak faham dengan kerja anda sebagai freelance. Ingin jadi freelance, anda mesti pastikan yang anda sudah bersedia sepenuhnya dan tahu apa kerja anda. Secara jujur, buat kerja freelance memang menyeronokkan tetapi siapa akan menyangka yang freelance juga boleh menjadi titik hitam buat anda. 

Buat freelance adalah pilihan bijak jika belum lagi bekerja dengan mana-mana firma atau memulakan langkah untuk bekerja sendiri. Bukan sahaja anda boleh menjana pendapatan malah, anda boleh mempelajari banyak perkara yang mana, mungkin tidak dapat diperolehi ketika berkhidmat di mana-mana firma. Cuma, akuilah bila buat freelance skopnya memang kecil. Risikonya juga tinggi. 

Apa yang anda patut tahu apabila memulakan kerjaya sebagai freelance?

Cari Klien dengan Iklan

Promote diri anda dengan meletakkan nama dan perkhidmatan yang anda tawarkan di laman-laman web pengiklanan, facebook, instagram, twitter, blog dan sebagainya. Tunjukkan apa yang anda ingin tawarkan dengan jelas berserta kemahiran yang anda miliki. Tawarkan perkara yang anda betul-betul mahir, lokasi, target anda dan peringkat urusan. Elakkan membuat tawaran untuk perkara yang anda tidak mahir. Paling penting, jangan lupa letakkan nombor telefon.

Berurusan dengan Klien

Berurusan dengan klien adalah perkara yang paling penting. Kalau anda tidak ada premis yang sesuai untuk berurusan, bolehlah berurusan dari rumah dahulu. Tetapi berurusan dari rumah ni tidaklah disyorkan. Pertama, anda kena jaga privasi anda. Kedua, kadang-kadang, ada klien yang tidak selesa bila berurusan di rumah kerana tanggapan mereka akan berubah walaupun anda sebenarnya sangat profesional dengan kerja anda. Ketiga, mengelakkan daripada boleh disuruh dan diminta menyiapkan kerja pada bila-bila masa tanpa mengira waktu rehat anda. 

Jika tiada ofis atau studio sendiri, lebih baik berurusan di luar saja. Contohnya di premis makanan, di cafe atau mana-mana tempat publik yang sesuai untuk berurusan. Paling tidak, cuba tawarkan diri untuk datang sendiri ke rumah klien atau tempat yang paling dekat dengan klien anda. Elakkan menyuruh klien datang ke tempat yang jauh dari lokasi klien atau tempat yang paling dekat dengan anda sendiri. Atau, minta pendapat klien anda tempat yang mudah untuk berurusan. Yang penting bukan tempat yang terlalu sunyi dan tempat yang terlalu ramai.

Jangan pergi library. Memang anda mahu berurusan dengan klien tetapi library ni adalah tempat publik yang tidak boleh berbuat bising. Lainlah jika di library ada menyediakan bilik perbincangan. Berbincang di library boleh mengganggu pengguna library yang lain. Malah, privasi anda dengan klien juga boleh terganggu dengan pengguna library yang lain. Mungkin ada yang pasang telinga. Kalau boleh, biarlah anda dan klien anda saja tahu tentang apa yang sedang dibincangkan. 

Tempat yang ramai pula boleh mengganggu konsentrasi anda. Perbincangan boleh terganggu dengan suasana yang bising dan terlalu banyak pergerakan di sekeliling anda. Bila suasana terlalu bising, sangat susah untuk mendengar apa yang anda sedang dibincangkan. Mungkin terpaksa bercakap dengan nada suara yang tinggi. 

Sikap Dengan Klien

image via imgflip.com

Tunjukkan sikap profesional. Ya. Anda belum jadi profesional arkitek. Itu sudah hal yang lain. Tetapi apabila berurusan dengan klien, anda mesti menunjukkan sikap profesional melalui cara bercakap, gaya percakapan, bahasa badan, tidak biadap dan tunjukkan hormat kepada klien. Mulakan dengan encik, cik, tuan, atau puan. Memang ada klien yang akan bercakap dengan anda menggunakan perkataan ‘awak’ saja, tak apa, anda gunakan juga ganti nama yang lebih terhormat kepada mereka. Walaupun anda tahu mereka lebih muda dari anda.

Selain itu, elakkan bergurau dan bercakap perkara yang lain daripada topik perbincangan. Anda mesti tunjuk yang anda seorang yang serius dengan kerja. Bukan main-main punya, ma !

Tidak memburukkan freelancer lain

Macam orang berniaga lah. Sikit-sikit nak mengata peniaga lain. Mulai sekarang, buanglah perangai yang suka memburukkan freelancer lain. Contohnya, anda mengatakan freelancer lain lebih mahal dan menganiaya orang, tapi dalam masa yang sama, anda pula membanggakan diri seolah-olah anda saja yang terbaik dan boleh memberikan harga yang murah. 

image via imgflip.com

Kadang-kadang ada klien suka mengadu tentang freelancer lain. Mahal-lah, lambat lah, tak siap-siaplah, berkiralah. Sebenarnya, anda tidak perlu masuk campur. 

Terbuka

Apabila berurusan, wujudkan sikap terbuka. Memang adakalanya cadangan anda tidak diterima. Ada juga klien yang tanya pendapat anda, apabila anda sudah memberikan pendapat, mereka mempertikaikannya pula. Kadang-kadang rasa tercabar juga. Biasanya, situasi macam ni anda perlu bersikap positif. 

Kena reject

Kena reject ni ada dua perkara. Pertama, tawaran harga dan servis anda tidak diterima. Kedua, design anda  tidak disukai oleh klien. Dalam situasi ini, belajar terima penolakan. Bertenang dan anggap saja itu sebagai perkara biasa. Mungkin klien tiada bajet sebenarnya, walaupun apa yang anda buat tu adalah apa yang mereka inginkan semasa di awal perbincangan sebelumnya. 

image via digitalsynopsis.com

Anda bekerja bukan pekerja

Berurusan dengan klien, buatlah dengan cara profesional. Anda bukan kuli dan anda juga bukan pekerja kepada klien anda. Walaupun anda dibayar, mereka bukan bos anda. Buat kerja hanya di dalam waktu kerja sahaja. Segala arahan tergesa-gesa atau arahan di tengah malam dan waktu cuti, tidak patut dilayan. Tunggu sehingga waktu bekerja yang berikutnya.

Jangan jadi macam pak turut atau macam orang takut-takut saja bila berjumpa klien.  Buat biasa saja. Anda boss. Mereka yang mahukan servis anda. Jika mereka tidak dapat menerima terma anda. Anda mesti bertegas. 

Sediakan sebutharga, invois dan resit

Apabila berurusan dengan klien, nyatakan berapa caj yang anda kenakan untuk perkhidmatan anda. Senaraikan perkara seperti caj harga, perkara yang terlibat, peringkat urusan, peringkat bayaran, anggaran fi PBT, agensi-agensi terlibat dan sebagainya. Masukkan juga tawaran-tawaran lain seperti membuat 3D perspektif, membuat model bangunan bersekala, tambahan cetakan salinan pelan dan sebagainya. Ambil deposit untuk memulakan kerja sebagai perjanjian anda dengan klien. Dalam pada itu, nyatakan juga tempoh proses kerja sama ada secara lisan atau secara bertulis. Kos-kos lain adalah patut untuk disertakan sekali seperti kos perjalanan, kos percetakan dan kos urusan-urusan rasmi tambahan. 

Siapkan sebut harga berserta salinannya sebelum berjumpa klien. Satu untuk anda dan satu lagi untuk klien anda. Bawanya bersama semasa temujanji dan selepas selesai perbincangan, tunjukkan pula sebut harga tersebut. Beri penerangan dengan jelas apabila klien bertanya. Kalau dapat buat sebut harga dengan terperinci adalah lebih baik. Jadi, apabila klien sudah faham anda tak perlu menjelaskan lagi. Bagaimana pula dengan diskaun? Itu terpulang kepada pertimbangan anda. 

Apabila klien sudah setuju dan sudah membuat pembayaran deposit, barulah anda memulakan kerja. Setiap kali sebelum meminta bayaran, sediakan invois dan selepas menerima bayaran sediakan resit. 

Ketika memberikan sebut harga, fikirkan juga tentang freelancer lain. Maknanya, jangan hanya fikir untuk diri sendiri saja seperti meletak harga terlalu murah yang tidak masuk akal. Anda kena fikir banyak faktor. Kononnya mahu mudah untuk mendapatkan klien tetapi akhirnya, memakan diri sendiri. Itu yang terjadi sehingga ada penambahan kos.

Anda sudah buat kerja berjam-jam sampai sakit kepala, takkan tak ada reward? Anda layak terima bayaran selepas berhempas pulas berkerja. 

Jangan tertipu dengan janji manis

Bila buat freelance, jangan tertipu dengan janji manis klien. Biasanya, klien orang awam tiada masalah. Yang selalu berjanji manis ni kebiasaanya, awal-awal lagi sudah memberitahu anda yang mereka ada banyak projek dan berjanji mahu memberikan kepada anda. Tapi, satu projek dengan anda pun masih belum muktamad. “Payment mana payment?”

“Awak buat dulu, saya ada banyak projek ni. Kalau okay servis awak, saya bagi lagi projek yang lain” 

Anda kena tetapkan pendirian anda. Biar mereka jelaskan bayaran mereka dahulu, barulah anda buat kerja dan memberikan hasil kerja kepada mereka. Apabila bayaran sudah dijelaskan, baru buat perjanjian yang baru untuk projek baru. Selalunya, freelancer mudah terpedaya dengan janji manis. 

Ayat yang hampir sama yang anda bakal jumpa. “Awak boleh siapkan 2 hari, tak? Banyak projek saya nak bagi kalau awak boleh siapkan cepat”

Sebenarnya, buatlah ikut kemampuan anda sendiri. Dikhuatiri, anda sudah berjaga sampai malam sedangkan bayaran anda masih belum pasti mereka akan bayar atau tidak. 

“Buat dulu, nanti saya bayar”

Kadang-kadang, ada juga seperti ini “Boleh tak buat macam member-member, macam dah kenal lama, nanti dah siap sepenuhnya baru saya bayar penuh”

image via imgflip.com

Itulah antara kata-kata yang anda kena waspada. Silap sikit, melopong lah jawabnya. 

Tegas dan ikut perjanjian. Buat kerja mesti ikut perjanjian yang ada dalam tawaran anda. Jangan buat benda yang tiada dalam perjanjian. Contohnya, buatkan report, buatkan kertas kerja cadangan projek. Itu bukan tugas anda. Tiada istilah, sudah bayar, boleh minta macam-macam. Buat yang ditawarkan sahaja. Paling mencabar kesabaran sekali ialah ada yang belum bayar tapi sudah minta macam-macam. Mungkin istilah “No money no talk” perlu digunakan?

Ikut Masa

Kuat kerja itu bagus. Tapi, jangan buat kerja sehingga berjaga malam. Melainkan, jika terpaksa saja. Waktu rehat dan kecergasan anda mesti diutamakan. Jangan biasakan klien yang suka contact di tengah malam dan anda memberikan hasil kerja kepada mereka pada waktu tengah malam itu juga. Tunggu sehingga waktu kerja berikutnya, barulah anda memulakan kerja semula. Kalau anda sudah biasakan bekerja hanya dalam waktu kerja, klien anda juga akan menghormati masa anda. Tetapi, jika sebaliknya, klien anda akan fikir yang anda boleh disuruh tanpa mengira waktu rehat dan cuti. 

image via imgflip.com

Memaglah budak architecture ni biasa berjaga malam dan tiada istilah rehat dan tidur, tapi bukan sepanjang masa begitu. Jika dapat dilakukan waktu bekerja, maka buatlah waktu bekerja saja. Anda yang penat. 

Buat research dulu. Kalau servis anda melibatkan urusan PBT, dapatkan maklumat daripada orang yang berpengalaman atau jumpa terus dengan pegawai PBT. Tanya pegawai PBT tentang prosedur dan perkara-perkara yang terlibat. Walaupun sudah tahu, kadang-kadang bertanya sebab mahu confirm-kan saja, dan manalah tahu terdapat maklumat tambahan dan terkini. Lagi pun, itu salah satu cara untuk anda membiasakan diri apabila berurusan dengan PBT. Kalau ada pegawai tidak mahu memberikan kerjasama atau asyik cakap person-in-charge tiada, anda boleh tegur mereka semula. Tapi, dengan cara yang lebih baiklah.

image via imgflip.com

Banyak aduan sebenarnya yang pegawai Majlis Daerah / Majlis Perbandaran ni tidak mahu memberikan kerjasama. Malah, sebaliknya anda yang kena marah pula. Tapi, itu cuma sikap segelintir pegawai. Masih ada yang ramah dan baik hati. Harap-haraplah.

Kepercayaan. Apabila pertama kali berjumpa memang akan wujud tentang perasaan percaya mempercayai. Bila sudah bertemujanji, bermakna klien anda dan juga diri anda sudah saling mempercayai antara satu sama lain. Ada klien suka minta salinan IC anda. Kononnya, susah nak percaya. Mula-mula okay dan boleh diterima. Tapi, kalau setiap kali jumpa dan setiap kali buat bayaran minta IC, itu sudah melampau sebenarnya. Ini bermakna, klien jenis ini sedang memperlekeh dan tidak percaya kepada anda. Sesetengah orang menganggapnya sebagai penghinaan. Untuk pengetahuan anda, sebenarnya, klien tiada hak untuk mengambil salinan IC anda. Jika berlaku dengan kerap, hentikan terus untuk berurusan dengan mereka. Jika itu projek pertama, selamat tinggal saja untuk projek seterusnya. Walaupun dia menawarkan anda 2 hingga 3 projek yang baru. Jika berlaku, anda patut buat benda yang sama. Minta salinan IC dia juga. Katakan juga apa yang dia pernah katakan kepada anda “klien pun susah nak percaya”

image via imgflip.com

Tawaran Projek Juta-Juta.

Terdapat klien yang meminta anda buatkan dulu cadangan design untuk mereka. Biasanya untuk projek yang belum pasti. Mereka akan kata, “boleh tak awak design dulu dan berikan saya design siap dengan report, bila proposal ni berjaya, saya bayar awak. Projek ni nilainya berjuta-juta kalau saya dapat”.  

Anda patut caj servis seperti biasa. Melainkan anda memang kenal dan mahu berkerjasama dengan mereka. 

image via freelancewriting.com

Tahu skop kerja. Kalau tadi ada disebut, jangan buatkan report atau kertas kerja cadangan projek bagi pihak klien. Kali ini dengan PBT pula. Apabila kerap berurusan di PBT, mungkin anda sudah mula kenal dan mungkin sudah boleh berkawan. Bagaimana pun, ada batasnya. Baik macam mana pun anda dengan pegawai PBT, jangan sampai anda menjadi ‘kuli’ mereka. Maksudnya, jangan sampai mereka menggunakan atau tumpang hak anda seperti motor dan kereta untuk urusan-urusan rasmi mereka seperti melawat tapak, membuat inspection dan sebagainya. 

“Nanti awak ambil saya di pejabat” Anda katakan saja “tidak boleh” kepada mereka. Buatlah alasan apapun asalkan dapat mengelakkan hak anda daripada digunakan oleh mereka. Urusan rasmi mereka mestilah menggunakan kemudahan rasmi mereka sendiri. Itu skop kerja mereka. Bukan skop kerja anda. 

Kesimpulan untuk kali ini, apa yang disebutkan di atas adalah sedikit perkongsian yang anda perlu tahu sekiranya, anda baru mencuba, atau baru merancang untuk membuat freelance. 

Selepas dapat projek dan cadangan design diserahkan kepada klien, beri peluang kepada klien untuk meneliti dan maklumkan kesediaan anda untuk meminda atau membuat tambahan pada pelan sehingga klien berpuas hati. 

Dalam pada itu, gunakan kemudahan komunikasi seperti call, sms, whatsapp, telegram dan email untuk terus berhubung dengan klien. 

Jangan lupa. Kopi wajib ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *