Pencahayaan Semulajadi (Natural Lighting) Dalam Bangunan

Sharing is caring!

Pencahayaan semulajadi atau dalam bahasa inggeris natural lighting di dalam bangunan ialah teknik atau sistem bagaimana untuk membawa sinaran cahaya matahari ke dalam sesebuah bangunan atau ke dalam rumah kediaman.

Kemasukan cahaya boleh didapati dengan cara

  1. Secara terus dari sinaran matahari,
  2. Melalui bukaan seperti tingkap dan pintu, atau melalui pantulan cahaya daripada keadaan persekitaran luar bangunan seperti pantulan permukaan tanah, pantulan cahaya daripada bangunan bersebelahan, dan
  3. Melalui pantulan dalaman bangunan seperti pantulan siling, dinding, lantai licin atau berkilat dan sebagainya.

Teknik pencahayaan semula jadi amat penting untuk mengurangkan penggunaan lampu tiruan dan menjimatkan penggunakan tenaga elektrik. Sebenarnya, penggunaan teknik pencahayaan semulajadi telah dibuktikan dapat meningkatkan tahap kesihatan seseorang dan keselesaan penghuni bangunan atau rumah kediaman. Bagaimanapun, tahap kemasukan cahaya itu perlu dikawal supaya tidak terjadi berlebihan yang akan menyebabkan silau dan ketidakselesaan.

Untuk rekabentuk sesebuah bangunan atau rumah kediaman, selalunya, teknik mendapatkan pencahayaan semulajadi amat dititikberatkan untuk memastikan bahagian dalaman rumah kediaman atau bangunan menerima jumlah cahaya yang mencukupi. Bagaimana pun, untuk keadaan tertentu, pencahayaan tiruan juga adalah dibolehkan untuk menampung kekurangan jumlah cahaya di dalam bangunan yang mungkin terjadi akibat daripada pengubahsuaian, susunatur kedudukan bangunan dan sebagainya.

Merujuk pula kepada Uniform Building By-Law (UBBL) 1984, By Law 39, Natural Lighting and Ventilation, Muka Surat 28, 1 November 2013,

(1) Every room designed, adapted or used for residential, business or other purpose except hospitals and schools shall be provided with natural lighting and natural ventilation by means of one or more windows having a total area of not less than 10% of the clear floor area of such room and shall have opening capable of allowing a free uninterrupted passage of air not less than 5% of such floor area.

Jumlah bukaan minimum berdasarkan kepada kehendak-kehendak UBBL 1984 ialah seperti berikut:-

  • 10%, minimum untuk bukaan pencahayaan semulajadi daripada keluasan sesuatu ruang
  • 5%, minumum untuk bukaan laluan pengudaraan semulajadi daripada keluasan sesuatu ruang

Dalam kehendak-kehendak yang dinyatakan di atas, sekurang-kurangnya disediakan ruang untuk perolehan pencahayaan semulajadi ialah 10% dan ruang laluan pengudaraan semulajadi ialah 5% daripada keluasan setiap ruang dalam sesebuah bangunan termasuk rumah kediaman.

Contohnya, jika keluasan bilik 100 kaki persegi atau 9.3 meter persegi, ruang bukaan untuk perolehan pencahayaan semulajadi yang mesti disediakan ialah sekurang-kurangnya mestilah 10 kaki persegi atau 0.93 meter persegi. Lagi besar saiznya, lagi baik.

Teknik pencahayaan semulajadi ke dalam rumah kediaman atau bangunan bukanlah dengan mudah ianya dapat dilakukan. Ia perlu kepada penilaian dan perancangan yang teliti dan betul. Ketika menggunakan teknik pencahayaan semulajadi, perlu mempertimbangkan jumlah cahaya yang masuk, mengimbangi penerimaan dan kehilangan haba, kawalan silau dan sebagainya. Dalam masa yang sama, memilih jenis bukaan tingkap, saiz dan jarak antara satu sama lain, pemilihan kaca (glass) bukaan, pantulan bahan-bahan dalaman (interior) atau pantulan dinding atau pembahagi, perabut atau yang seumpama dengannya juga perlu dipertimbangkan.

Pemasangan Bukaan Untuk Pencahayaan Semulajadi

Bukaan Tingkap/Pintu/Pintu Gelangsar

window tingkap bukaan

Pemasangan bukaan semulajadi boleh menggunakan bukaan seperti tingkap. Bukaan tingkap adalah cara yang paling biasa digunakan untuk mendapatkan sumber cahaya semulajadi dengan mudah. Malah, ia juga merupakan teknik paling sesuai yang direkabentuk pada bangunan atau rumah kediaman sejak dari peringkat rekabentuk bangunan lagi. Mempunyai ketinggian aras kepala dan ia mudah untuk mengawal silau atau kemasukan lebihan cahaya ke dalam bangunan dengan serta merta. Selain tingkap, pintu dan pintu gelangsar (sliding door) juga merupakan salah satu jenis bukaan yang boleh digunakan dalam sesebuah bangunan atau rumah kediaman.

Bukaan Atas (Tingkap Bumbung/Skylight)

skylight bukaan atas

Bukaan atas ialah bukaan untuk menerima pencahayaan daripada atas atau bumbung. Bahasa yang mudah untuk difahami, tingkap menghadap langit. Ia terdapat dalam dua (2) jenis iaitu bukaan pasif dan bukaan aktif. Bukaan pasif ialah jenis yang statik, tidak boleh bergerak dan tidak boleh diubah-ubah mengikut keadaan dan kedudukan cahaya matahari. Manakala, bukaan aktif pula boleh dilaraskan sama ada dibantu dengan bantuan manual atau secara automatik. Ia juga dapat meningkatkan lagi keberkesanan tujuan pengumpulan cahaya semulajadi ke dalam bangunan atau ke dalam rumah kediaman.

Image via Wikipedia

Terlalu banyak bukaan atau saiz bukaan yang terlalu besar tidak semestinya memberi kesan yang baik kepada ruang dalam sesebuah bangunan atau rumah kediaman. Tidak salah untuk menggunakan saiz yang besar atau terlalu banyak bukaan tetapi kawalan terhadap kemasukan cahaya sangat perlu dilakukan. Maksudnya, bukan sekadar untuk meningkatkan jumlah cahaya yang masuk tetapi kawalan juga perlu dilakukan supaya tidak berlaku perolehan haba yang terlalu tinggi atau terlalu sedikit dan tidak silau yang boleh mengganggu pandangan mata penghuni bangunan atau rumah kediaman.

shading device louvers
Alat Untuk Mengawal Perolehan Sinaran Cahaya Matahari Ke Dalam Bangunan

i. Alat Pemesongan Cahaya (redirection device)

Alat pemesongan cahaya ialah untuk mengawal jumlah cahaya sinaran matahari daripada luar terus menerjah masuk ke dalam bangunan dengan memesongkan cahaya tersebut ke arah berlainan atau memantulkan cahaya tersebut ke arah permukaan siling dan daripada permukaan siling itu pula, cahaya tersebut dipindahkan ke dalam ruang dalam bangunan.

redirection device

ii. Alat Peneduhan Sinaran Matahari (Shading Device)

Alat peneduhan sinaran matahari ini atau mudah disebut sebagai shading device ini merupakan alat yang paling biasa digunakan untuk mengawal perolehan sinaran cahaya matahari ke dalam sesebuah bangunan atau ke dalam rumah kediaman. Ada bermacam-macam cara dan bentuk untuk memasang shading device ini. Sama ada dengan cara mengunjur atau seperti tirai atau dipasang menegak. Shading device ini boleh dibuat mengikut kaedah dan kreativiti tersendiri. Ia juga adakalanya dibuat ketika dari awal proses rekabentuk sesebuah bangunan.

shading device tingkap louvers window
Contoh – Shading device pada tingkap di premis makanan (Gambar diambil ECM Kuantan)
Lovres at corridor
Contoh – Shading Device di koridor bangunan (Gambar diambil – HTAA Kuantan)
Contoh – Islamic pattern yang multi-function yang boleh dijadikan sebagai shading device (Gambar diambil – McDonalds Kota Bharu)

Contoh Islamic Pattern di atas, dijadikan sebagai dinding pembahagi / dinding pemisah antara bahagian luar dan dalam, ia juga bertindak sebagai alat teduhan / shading device yang membenarkan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi masuk ke dalam bangunan. Dalam masa yang sama, dapat memberikan pandangan yang cantik dan menarik pada dinding bangunan tersebut.

Islamic pattern atau corak Islamik kebanyakkannya digunakan di bangunan masjid. Sebagai contoh, Masjid Negeri Shah Alam, yang menggunakan rekabentuk corak islamik sebagai salah satu elemen utama untuk mengaplikasikan kepentingan sumber daripada alam semulajadi ke dalam bangunan.

Ada juga sebahagian daripada bentuk bangunan itu sendiri mempunyai fungsi sebagai alat teduhan. Malah, sumber daripada alam semulajadi juga boleh dijadikan sebagai alat teduhan atau shading device untuk mengawal kemasukan perolehan cahaya matahari ke dalam bangunan.

shading device
Image – Contoh Shading Device atau Alat Peneduhan/Alat Penghadang

iii. Memasang Cermin Gelap (Tinted Glass)

Memasang cermin gelap juga merupakan salah satu cara bagaimana untuk mengawal cahaya daripada sinaran matahari yang terlalu tinggi terus masuk ke dalam bangunan atau ke dalam rumah kediaman.

Pokok-Pokok Sebagai Alat Teduhan Semulajadi

Pokok juga boleh dijadikan sebagai alat teduhan semulajadi atau natural shading device. Sama ada pokok itu dikekalkan di tapak pembinaan (tanpa dibuang) atau ditanam atau pokok tersebut telah pun wujud secara semulajadi. Boleh jadi juga, pokok-pokok itu sudah sedia ada berada di sekitar tapak projek atau sekitar bangunan atau sekitar rumah kediaman.

natural shading device pokok
Image Alat Peneduhan semulajadi

Penggunaan alat teduhan daripada sumber semulajadi ini sebenarnya sangat disyorkan kerana boleh menjimatkan wang, tenaga dan kos penyeleggaraan. Dalam masa yang sama, dapat membantu kempen penghijauan bumi, menyokong penjagaan alam sekitar dan dapat mewujudkan suasana yang lebih selesa dan nyaman. Ini kerana, dari sudut sains, pokok-pokok akan menghasilkan oksigen melalui proses fotosintesis dan dapat memberikan pemandangan yang indah atau lanskap yang cantik kepada sesuatu kawasan. Tambahan pula dengan masalah “global warming” ketika ini, pokok-pokok dapat membantu menstabilkan suhu bumi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *