Sharing is caring!

Apakah Pelan Tapak?

Apa itu pelan tapak? Pelan tapak (Site Plan) ialah gambaran di tapak cadangan dengan menunjukkan keadaan dan ciri-ciri yang ada di tapak tersebut termasuklah cadangan pembangunan seperti jalan masuk, sempadan lot, bangunan cadangan dan sedia ada dan sebagainya. Pelan tapak juga merupakan bahagian yang wajib ada dalam setiap dokumen projek pembinaan. Ia termasuklah untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Apakah tujuan pelan tapak?

Menyediakan pelan tapak adalah untuk menunjukkan kedudukan cadangan pembangunan dengan keadaan sebenar yang terdapat di tapak cadangan itu seperti lokasi tapak, keadaan tanah, kedudukan bangunan, jarak, jalan utama, jalan masuk, bangunan sedia ada, sempadan lot dan kemudahan-kemudahan yang tersedia atau cadangan baru.

Pelan tapak itu pula akan diperincikan lagi dengan maklumat yang diperlukan untuk memulakan projek pembinaan. Perincian itu seperti pelan kunci, pelan lokasi, ukuran dan jarak anjakan bangunan, kedudukan bangunan, jalan masuk, jalan cadangan, kelebaran jalan, longkang baru dan sedia ada, kontur, kemudahan-kemudahan, infrastruktur, landskap, sistem sanitari, aras tanah, aras tapak bangunan dan sebagainya.

Untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, penyediaan pelan tapak perlu mematuhi kehendak-kehendak yang telah ditetapkan dengan menyediakan maklumat dan perincian tentang cadangan pembangunan tersebut. Ini termasuklah juga data-data atau maklumat perincian tanah.

Merujuk kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) & Perintah (Sehingga 5 September 2020), Bahagian IV, Kawalan Perancangan, Seksyen 21, Permohonan untuk kebenaran merancang, muka surat 50,

[Pind. Akta A933]: (1) Sesuatu permohonan untuk kebenaran merancang berkenaan dengan suatu pemajuan hendaklah dibuat kepada pihak berkuasa perancangan tempatan dan hendaklah dalam bentuk dan hendaklah mengandungi butir-butir dan disertakan dengan dokumen, pelan dan fi yang ditetapkan.

(2) Jika pemohon itu bukan pemunya tanah yang di atasnya pemajuan hendak dijalankan, keizinan bertulis pemunya tanah mengenai pemajuan yang dicadangkan itu hendaklah diperoleh dan dicatatkan dalam permohonan itu.

(3) Jika pemajuan itu melibatkan pendirian suatu bangunan, pihak berkuasa perancang tempatan boleh memberikan arahan bertulis kepada pemohon itu berkenaan dengan mana-mana daripada perkara yang berikut, iaitu-

(a) aras tapak bangunan itu;

(b) garisan hadapan dengan bangunan yang berjiran;

(c) penaikan bangunan itu;

(d) kelas, reka bentuk, dan rupa bangunan itu;

(e) bahagian belakang bangunan itu ke suatu garisan bangunan;

(f) laluan masuk ke tanah yang di atasnya bangunan itu akan didirikan; dan

(g) apa-apa perkara lain yang difikirkan perlu oleh pihak berkuasa perancangan tempatan bagi maksud perancangan.

Biasanya, pelan lokasi dan pelan bangunan itu merupakan salah satu komponen yang wajib disediakan. Tapak cadangan itu mesti ditandakan merah bagi menunjukkan lot, kawasan dan cadangan baru. Dalam pada itu, setiap pelan perlu menunjukkan skala yang sesuai, menandakan arah utara, arah kiblat dan apa sahaja yang berkaitan bagi memudahkan pelan cadangan itu dapat dibaca dengan jelas.

Selalunya, pelan tapak yang lengkap mesti disediakan di dalam kertas bersaiz A1.

Contoh-contoh pelan tapak

Contoh umum pelan tapak 1.0
Contoh umum pelan tapak 1.1
Site Plan Imej oleh Archibald & Fraser Architects Ltd. – Lochaber Community Development Association, Public Domain, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=22623928
Contoh umum pelan tapak 1.2
Site Plan Imej oleh https://www.loc.gov/pictures/item/il0382.sheet.00001a, Public Domain, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=34035409

Pelan tapak yang lengkap perlu merujuk kepada perkara-perkara berikut:

  1. Nama dan alamat pemilik tanah
  2. Pengesahan tanah
  3. Sumber dan tarikh ukur tanah
  4. Penerangan tentang persempadanan tapak, garis sempadan, batu sempadan, bearing, sudut penjuru dan jejari lengkungan
  5. Arah utara dan skala lukisan
  6. Kedudukan dan penanda aras yang menunjukkan kedudukan lokasi
  7. Menandakan dan ukuran jalan-jalan bersebelahan, lorong-lorong dan jalan awam yang berdekatan
  8. Lokasi dan ukuran setiap kemudahan atau jalan yang melintasi tapak cadangan tersebut
  9. Ukuran anjakan
  10. Lokasi dan saiz ukuran struktur sedia ada and penerangan mana-mana perobohan yang diperlukan bagi pembinaan baru
  11. Lokasi, bentuk dan saiz struktur cadangan untuk pembinaan, termasuklah bumbung dan mana-mana unjuran
  12. Lokasi dan ukuran laluan berturap, jalan masuk dan tempat letak kenderaan sedia ada.
  13. Lokasi kemudahan sedia ada seperti air, sistem kumbahan, tiang elektrik, punca elektrik, talian telefon, kabel internet, pili bomba serta titik-titik sambungan cadangan baru
  14. Garisan kontur sedia ada atau yang baru, jalan, rumput atau pemukaan yang dibaiki selepas pembinaan dan sebagainya.
  15. Pokok-pokok sedia ada yang hendak dikekalkan dan yang hendak dibuang
  16. Saliran air seperti longkang, anak sungai, kawasan banjir, perairan atau garisan pantai atau tasik atau pinggir laut dan yang seumpama dengannya
  17. Cadangan landskap seperti pagar, tembok penahan dan penanaman.
  18. Jika saiz tapak yang besar dan luas, landskap atau mana-mana bahagian pembangunan boleh disertakan dalam lampiran pelan tapak yang berasingan

** Jika ada sesuatu yang terkurang atau tertinggal yang sepatutnya dimasukkan ke dalam artikel di atas, boleh memaklumkan kepada kami di ruangan komen di bawah.

Semoga bermanfaat.

Sumber:

  1. Building Construction Illustrated (Third Edition), Francis D.K Ching and Cassandra Adams
  2. Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) & Perintah (Sehingga 5 September 2020)
  3. FirstInArchitecture.com

No responses yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kalendar
August 2021
M T W T F S S
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  
Tentang Kami

Membantu menyediakan perkhidmatan pelukis pelan arkitek di Kelantan, merekabentuk rumah kediaman, rekabentuk bangunan, rekabentuk perancangan pembangunan, rekabentuk dalaman dan urusan kelulusan PBT

Temui Kami

Lokasi

  • Bandar Baru Pasir Mas, Kelantan

 

Masa

  • Ahad—Khamis
  • 9:00 PG – 5:00 PTG
  • 0
  • 19