Perkara Yang Perlu Diketahui Sebelum Membuat Rumah Kediaman Sendiri

Membina rumah kediaman sendiri memang menjadi impian setiap daripada kita terutamanya apabila sudah memiliki pekerjaan tetap atau sudah berkeluarga. Paling baik apabila dapat membina rumah kediaman sendiri di atas tanah sendiri. 

Secara ringkasnya, ada beberapa perkara yang perlu diketahui oleh kita yang ingin membina rumah kediaman sendiri di atas tanah sendiri. Ianya adalah seperti keluasan rumah, ukuran rumah dan juga rekabentuk rumah tersebut berdasarkan kepada keluasan tanah yang ada.

Untuk membina sebuah rumah kediaman, perkara yang penting yang perlu diketahui ialah berapakah saiz dan keluasan tanah yang dimiliki dan berapakah saiz rumah yang dapat dibina berdasarkan saiz tanah tadi. Contohnya, sekiraya anda mempunyai tanah dengan ukuran 50 kaki x 80 kaki berapa besar dan berapa luas yang anda boleh bina di atas tanah tersebut dengan keluasan yang ada. Adakah mengikut betul-betul sebesar ukuran tanah tersebut? Jawapannya tidak. Walaupun anda memiliki tanah sebesar 50 kaki x 80 kaki, itu bukanlah bermakna anda boleh membina betul-betul mengikut ukuran saiz tanah itu. Daripada saiz tanah itu pula, perlu ada anjakan daripada garis sempadan lot sehingga dinding bangunan. Kita andaikan ukuran lebar tanah anda ialah 50 kaki lebar dari sudut pandangan hadapan, tolak anjakan 10 kaki daripada garis sempadan yang bersempadan dengan lot bersebelahan hingga ke dinding bangunan di kedua-dua bahagian kiri dan kanan bangunan. Maka, jumlah ukuran yang tinggal ialah 30 kaki. Contoh layout di bawah:

Rajah 3.1 (IMEJ DISEDIAKAN OLEH DZ CREATION STUDIO/HAKMILIK DZ CREATION)

Manakala, panjangnya pula, iaitu dari hadapan ke belakang, kita andaikan sepanjang 80 kaki. Daripada 80 kaki itu, hendaklah membuat anjakan sebanyak 20 kaki dari garisan sempadan lot yang menghadap jalan hingga ke dinding hadapan dan anjakan 10 kaki belakang dari garis sempadan lot hingga ke dinding belakang bangunan. Maka, jumlah ukuran yang tinggal ialah 50 kaki. Contoh seperti di dalam layout di bawah:

Rajah 3.2 (IMEJ DISEDIAKAN OLEH DZ CREATION STUDIO/HAKMILIK DZ CREATION)

Jadi, kawasan yang tinggal yang dibenarkan untuk membuat binaan ialah 30 kaki x 50 kaki bersamaan dengan 1500 kaki persegi berbanding keluasan tanah sebenar 50 kaki x 80 kaki bersamaan dengan 4000 kaki persegi. Bermakna, jumlah yang perlu dikosongkan tanpa binaan (binaan berdinding) ialah 4000 kps tolak 1500 kps bersamaan dengan 2500 kps. Seperti layout pelan tapak di bawah ini :

Rajah 3.3 (IMEJ DISEDIAKAN OLEH DZ CREATION STUDIO/HAKMILIK DZ CREATION)

Syarat atau kehendak ini terguna pakai di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara seperti Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 atau UBBL 1984. Bagaimanapun, setiap PBT juga mempunyai garis panduan sendiri yang mana pihak tuan tanah atau orang yang hendak membina rumah kediaman boleh terus merujuk kepada PBT berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas. Tetapi secara asasnya adalah seperti yang dinyatakan di dalam rajah-rajah di atas.

[LAGI ARTIKEL BERKAITAN] INFOGRAFIK: SETBACK SEBELUM MEMBINA RUMAH KEDIAMAN

Sebagai permulaan,  ini adalah apa yang perlu anda ketahui sekiranya anda bercadang untuk membuat binaan atau rumah kediaman di atas tanah sendiri seterusnya memohon mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Semoga panduan ringkas ini boleh memberi sedikit gambaran awal tentang bagaimana keluasan dan saiz rumah kediaman anda dapat dibina dan juga mengetahui syarat atau kehendak yang telah ditetapkan oleh PBT yang perlu dipatuhi dan perlu dinyatakan di dalam lukisan pelan arkitek untuk dimajukan kepada PBT bagi tujuan kelulusan pelan.

Anda juga boleh terus merujuk kepada PBT atau pihak yang menyediakan perkhidmatan seperti arkitek dan pelukis pelan untuk mendapatkan gambaran dan memahami garis panduan yang telah ditetapkan oleh PBT. 

* Sekiranya terdapat pembetulan/pindaan/tambahan kepada maklumat di atas, sila maklumkan terus kepada kami melalui ruang komen atau hantar pesanan di bahagian contact.


Nota:

  • PBT – Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Daerah/Perbandaran/Bandaraya
  • kps – kaki persegi
  • Anjakan – Setback
  • Rajah disediakan: DZ CREATION STUDIO

About The Author

26 thoughts on “Perkara Yang Perlu Diketahui Sebelum Membuat Rumah Kediaman Sendiri”

  1. Jika saiz keluasan binaan lebih dari yg pbt tu ada apa2 masalah atau tindakan ke? Kadang saya lihat kawasan rumah terutama lot2 banglow, ada pelbagai jenis binaan yg tak memgikut saranan tersebut. Mohon pencerahan

    1. Jika dalam kawasan operasi / pemantauan PBT, memang akan ada tindakan daripada PBT. Tapi, ia bergantung kepada beberapa keadaan contohnya:

      1. Membuat binaan melebihi kawasan yang dibenarkan tanpa izin atau binaan tanpa kebenaran PBT dan PBT telah menerima aduan, maka akan ada tindakan daripada PBT.

      2. Tidak membina mengikut lukisan pelan yang telah diluluskan. Apabila PBT membuat pemantauan dan mendapati berlaku perubahan pada binaan atau tidak sama seperti di dalam lukisan pelan yang telah diluluskan maka, akan ada tindakan daripada PBT.

      3. Membuat apa2 binaan baru tanpa kelulusan PBT pun akan ada tindakan daripada PBT. Sama ada PBT sendiri membuat pemantauan atau telah menerima aduan.

      4.
      Kalau ada rumah2 atau bangunan yang kita nampak tak mengikut syarat yang telah ditetapkan, kita kena tengok beberapa keadaan juga.

      Pertama: Mungkin pemilik bangunan tersebut pernah membuat permohonan untuk membuat binaan tambahan dan ubahsuai. Jika ada kebenaran PBT / kelulusan PBT, maka ia dibolehkan.

      Kedua: Mungkin pemilik telah didenda. Selalunya PBT tak akan robohkan binaan yang sudah dibina melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti binaan masuk tanah orang lain atau binaan terkeluar daripada sempadan lot. Jumlah denda dan tindakan bergantung kepada PBT.

      Ketiga: Mungkin rumah lama yang pernah terlibat dengan pengambilan jalan. Dan disebabkan pengambilan jalan tu, pagar rumah atau sempadan rumah terpaksa dianjak lebih rapat.

      Untuk makluman, apabila kita hendak memohon kelulusan pelan rumah / pelan bangunan yang baru adalah wajib kepada pemohon untuk menghantar lukisan pelan yang telah mengikut syarat yang ditetapkan PBT. Contohnya macam jarak anjakan rumah dengan sempadan lot. Kalau dalam lukisan pelan tidak mengikut syarat anjakan yang ditetapkan, maka permohonan akan terus ditolak.

      Kalau rumah sedang dalam pembinaan, didapati terdapat pindaan atau tak ikut lukisan pelan yang sudah diluluskan, maka PBT akan keluarkan notis, pembinaan perlu dihentikan, pemilik perlu menghantar lukisan pelan pindaan yang baru, tunggu kelulusan dan jika lulus, binaan boleh diteruskan. Pemilik pun akan dikenakan denda.

      Memang betul, ramai yang buat binaan tak ikut syarat PBT dan ada juga yang buat binaan secara senyap-senyap tanpa kebenaran / kelulusan PBT namun, sebarang tindakan itu sebenarnya bergantung kepada pihak PBT. Tapi, untuk lebih jelas kena rujuk dengan PBT sendiri.

      Aduan kejiranan dan orang awam pun penting untuk memberi maklum kepada PBT. Mungkin ada beberapa keadaan telah mengganggu dan menjejaskan kejiranan contohnya, gangguan laluan, binaan melebihi sempadan, bising disebabkan kerja-kerja pembinaan dan sebagainya.

  2. Salam sy nk tnya berkenaan lot tanah yg bentuk lot kapak..cntoh depan belakang kiri & kanan lot jiran..cuma lot jiran depan ada simpanan jln utk ke lot kapak tu..so anjakan 10kaki utk setiap sisi, anjakan 20kaki utk sedikit bahgian sempadan jalan tu..betul?..harapnya tuan faham soalan sy😅

    1. Salam. ya betul. hanya bahagian yang bersempadan dengan jalan perlu buat anjakan 20 kaki. Bahagian lain yang bersebelahan dengan lot jiran, 10 kaki.

      Maksud lot ‘kapak’ tu lot ‘L’ shaped la kan? harap kami pun faham maksud cik. 🙂

  3. Assalamualaikum, untuk bina tembok/pagar sekeliling rumah… perlu berada dalam keluasan 30′ x 50′ atau 50′ x 80′?

    1. Waalaikumsalam.

      Untuk pagar boleh ikut garis sempadan. Biasanya maksimum ketinggian 1.5 meter/5 kaki. Dicadangkan juga untuk buat sedikit anjakan dari garis sempadan ke dinding pagar sekitar 1 kaki. untuk lebih terperinci atau kepastian, tuan/puan perlu rujuk dengan PBT berkaitan, berkenaan dengan kehendak-kehendak yang perlu dipatuhi untuk membina pagar rumah.

  4. salam tuan.

    Nak tanya untuk rumah dua tingkat, dinding untuk tingkat kedua boleh lebih setback atau tidak?
    terima kasih.

    1. Waalaikumsalam.

      Tak boleh. Kena ikut setback juga.. Tapi, lebih baik rujuk dengan PBT yang berkaitan.. mungkin ada kelonggaran / syarat yang perlu dipatuhi.

      1. HASNIZA BINTI OTHMAN

        asslm…
        utk binaan pagar rumah perlu bpe jarak yee dari sempadan tanah. Sebab tanah rizab jalan agak besar depan rumah dalam 30 kaki. Mohon pencerahan.

        terima kasih

        1. wsalam,

          maaf ye atas kelewatan membalas pertanyaan tuan/puan.

          Untuk binaan pagar, boleh dibina di sempadan lot (di belakang garisan sempadan lot). Ketinggian pagar maksimum 1.5 meter dari aras tanah (Boleh rujuk PBT berdekatan). Dan pastikan juga 50% – 80% daripada pagar adalah ruang terbuka atau ada bahagian yang boleh dilihat dari luar atau tidak mengganggu penglihatan (Rujuk PBT berdekatan). Jika ada bahagian yang melibatkan ruang privasi, dibolehkan buat pagar penghadang tapi pastikan terdapat ruang pengudaraan. Contohnya, ruang jemuran.

          – Layla

    1. Waalaikumsalam.

      Ia bergantung juga kepada keadaan. Banyak faktor yang perlu diambil kira seperti lokasi, jarak dengan pekan atau bandar atau tempat kerja, kejiranan, fasiliti, kewangan dan sebagainya.

      Adakalanya, beli tanah dan bina banglo sendiri lebih bagus. Adakalanya, beli sahaja banglo yang sudah siap pun bagus juga.

      Pada pendapat kami, beli tanah dan bina rumah sendiri itu lebih berbaloi. Anda bebas untuk mendapatkan rekabentuk pelan dan rekabentuk rumah mengikut citarasa sendiri.

      Atau, cari rumah pada harga murah dan buat ubahsuai/renovasi.

  5. Salam tuan.

    Nak tanya contohnya lot banglo di kampung dibawah MPAJ, adakah setback nya terpakai sama seperti di bandar? Sebab ada yang kata setback di kawasan kampung diberi sedikit kelonggaran.

    1. Salam. Setback untuk lot kediaman pada asasnya sama saja. Sebaiknya, rujuk terus kepada MPAJ untuk jarak anjakan / setback paling minimum yang dibenarkan.

    2. Assalamualaikum tuan,
      Seandainya binaan rumah ngam² pada keluasan 30′ x 50’… bolehkah ada lebihan sekaki dua dari keluasan binaan yg dibenarkan? Selalunya brp jarak setback manima yg dibenarkan?

      Lantai Porch depan/belakang/tepi rumah juga termasuk dalam kiraan keluasan binaan ke tuan?

    3. Assalamualaikum tuan,
      Seandainya binaan rumah ngam² pada keluasan 30′ x 50’… bolehkah ada lebihan sekaki dua dari keluasan binaan yg dibenarkan? Selalunya brp jarak setback manima yg dibenarkan?

      Lantai Porch depan/belakang/tepi rumah juga termasuk dalam kiraan keluasan binaan ke tuan?

      1. Waalaikumsalam. Sebenarnya memang kena ikut 30’x50′. Tak boleh lebih (berdinding). Sekiranya terlebih atau melebihkan, itu atas budi biacara PBT. Setback minimum yang dinyatakan di atas (kalau tiada pindaan) adalah setback standard yang diguna pakai di seluruh PBT. Tapi, boleh rujuk dengan PBT untuk dapatkan berapa had paling minima yang PBT tersebut benarkan.

        Lantai porch atau teres termasuk. Tapi dari segi ruang setback ia dikecualikan jika tidak berdinding. Tiang porch sekurang-kurangnya 10 kaki dari sempadan.

    4. Mahu tanya dri tanah jiran sebelah berapa jarak perlu di jarakkan sekiranya saya hendak membuat rumah dari sempadan tanah jiran

  6. Salams Tuan,

    Bagaimana pula dengan corner lot sbb sisi depan dan kanan bersempadan dengan jalan.

    Bagi bahagian kanan yg bersempadan dengan jalan perlu anjakan 20 kaki juga ker?

    Terima kasih.

    1. Salam.

      Secara asasnya, setback untuk semua bahagian yang menghadap jalan mesti 20 kaki. termasuk sama ada menghadap jalan dari sisi kanan/kiri/belakang. Cuma, tuan boleh rujuk dengan Majlis Dearah / Majlis Perbandaran berdekatan tentang jumlah setback paling minima yang dibenarkan oleh PBT untuk bahagian lain yang menghadap jalan. Ada sesetengah PBT, selalunya, bahagian yang menghadap jalan selain jalan hadapan, mereka membenarkan setback paling minima dari sempadan jalan ialah sekurang-kurangnya 15 kaki.

      Tetapi, perlu rujuk dulu dengan pihak Majlis Daerah/Majlis Perbandaran berdekatan tentang jumlah yang dibenarkan.

    1. Waalaikumsalam,

      PBT bermaksud Pihak Berkuasa Tempatan dan yang dimaksudkan ialah Pihak Majlis Daerah/Majlis Perbandaran/Majlis Bandaraya. Bahagian Jabatan Bangunan/Jabatan Perancang Bandar

      Siapa PBT boleh rujuk di sini sebagai rujukan -> Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *