Menceburi pekerjaan sebagai freelance architect bukan mudah jika anda tidak kental. Tambahan pula, dengan orang sekeliling yang tidak faham dengan kerja anda sebagai freelance. Ingin jadi freelance, anda mesti pastikan yang anda sudah bersedia sepenuhnya dan tahu apa kerja anda. Secara jujur, buat kerja freelance memang menyeronokkan tetapi siapa akan menyangka yang freelance juga boleh menjadi titik hitam buat anda.
Buat freelance adalah pilihan bijak jika belum lagi bekerja dengan mana-mana firma atau memulakan langkah untuk bekerja sendiri. Bukan sahaja anda boleh menjana pendapatan malah, anda boleh mempelajari banyak perkara yang mana, mungkin tidak dapat diperolehi ketika berkhidmat di mana-mana firma. Cuma, akuilah bila buat freelance skopnya memang kecil. Risikonya juga tinggi. Dan satu lagi, buat freelance architecture mestilah ada latar belakang bidang architecture!
Apa yang anda patut tahu apabila memulakan kerjaya sebagai freelance?
Cari Klien dengan Iklan
Promote diri anda dengan meletakkan nama dan perkhidmatan yang anda tawarkan di laman-laman web pengiklanan, facebook, instagram, twitter, blog dan sebagainya. Tunjukkan apa yang anda ingin tawarkan dengan jelas berserta kemahiran yang anda miliki. Tawarkan perkara yang anda betul-betul mahir, lokasi, target anda dan peringkat urusan. Elakkan membuat tawaran untuk perkara yang anda tidak mahir. Paling penting, jangan lupa letakkan nombor telefon.
Berurusan dengan Klien
Berurusan dengan klien adalah perkara yang paling penting. Kalau anda tidak ada premis yang sesuai untuk berurusan, bolehlah berurusan dari rumah dahulu. Tetapi berurusan dari rumah ni tidaklah disyorkan. Pertama, anda kena jaga privasi anda. Kedua, kadang-kadang, ada klien yang tidak selesa bila berurusan di rumah kerana tanggapan mereka akan berubah walaupun anda sebenarnya sangat profesional dengan kerja anda. Ketiga, mengelakkan daripada boleh disuruh dan diminta menyiapkan kerja pada bila-bila masa tanpa mengira waktu rehat anda.
Jika tiada ofis atau studio sendiri, lebih baik berurusan di luar saja. Contohnya di premis makanan, di cafe atau mana-mana tempat publik yang sesuai untuk berurusan. Paling tidak, cuba tawarkan diri untuk datang sendiri ke rumah klien atau tempat yang paling dekat dengan klien anda. Elakkan menyuruh klien datang ke tempat yang jauh dari lokasi klien atau tempat yang paling dekat dengan anda sendiri. Atau, minta pendapat klien anda tempat yang mudah untuk berurusan. Yang penting bukan tempat yang terlalu sunyi dan tempat yang terlalu ramai.
Jangan pergi library
Memang anda mahu berurusan dengan klien tetapi library ni adalah tempat publik yang tidak boleh berbuat bising. Lainlah jika di library ada menyediakan bilik perbincangan. Berbincang di library boleh mengganggu pengguna library yang lain. Malah, privasi anda dengan klien juga boleh terganggu dengan pengguna library yang lain. Mungkin ada yang pasang telinga. Kalau boleh, biarlah anda dan klien anda saja tahu tentang apa yang sedang dibincangkan.
Tempat yang ramai pula boleh mengganggu konsentrasi anda. Perbincangan boleh terganggu dengan suasana yang bising dan terlalu banyak pergerakan di sekeliling anda. Bila suasana terlalu bising, sangat susah untuk mendengar apa yang anda sedang dibincangkan. Mungkin terpaksa bercakap dengan nada suara yang tinggi.
Mungkin Starbuck atau Coffee Bean ke?
Sikap Dengan Klien
Tunjukkan sikap profesional. Ya. Anda belum jadi profesional arkitek. Itu adalah hal yang berbeza. Tetapi apabila berurusan dengan klien, anda mesti menunjukkan sikap profesional melalui cara bercakap, gaya percakapan, bahasa badan, tidak biadap dan tunjukkan hormat kepada klien. Mulakan dengan encik, cik, tuan, atau puan. Memang ada klien yang akan bercakap dengan anda menggunakan perkataan ‘awak’ saja, tak apa, anda gunakan juga ganti nama yang lebih terhormat kepada mereka. Walaupun anda tahu mereka lebih muda dari anda.
Selain itu, elakkan bergurau dan bercakap perkara yang lain daripada topik perbincangan. Anda mesti tunjuk yang anda seorang yang serius dengan kerja. Bukan main-main punya, ma !
Tidak memburukkan freelancer lain
Macam orang berniaga lah. Sikit-sikit nak mengata peniaga lain. Mulai sekarang, buanglah perangai yang suka memburukkan freelancer lain. Contohnya, anda mengatakan freelancer lain lebih mahal dan menganiaya orang, tapi dalam masa yang sama, anda pula membanggakan diri seolah-olah anda saja yang terbaik dan boleh memberikan harga yang murah.
Kadang-kadang ada klien suka mengadu tentang freelancer lain. Mahal-lah, lambat lah, tak siap-siaplah, berkiralah. Sebenarnya, anda tidak perlu masuk campur.
Terbuka
Apabila berurusan, wujudkan sikap terbuka. Memang adakalanya cadangan anda tidak diterima. Ada juga klien yang tanya pendapat anda, apabila anda sudah memberikan pendapat, mereka mempertikaikannya pula. Kadang-kadang rasa tercabar juga. Biasanya, situasi macam ni anda perlu bersikap positif.
Kena reject
Kena reject ni ada dua perkara. Pertama, tawaran harga dan servis anda tidak diterima. Kedua, design anda tidak disukai oleh klien. Dalam situasi ini, belajar terima penolakan. Bertenang dan anggap saja itu sebagai perkara biasa. Mungkin klien tiada bajet sebenarnya, walaupun apa yang anda buat tu adalah apa yang mereka inginkan semasa di awal perbincangan sebelumnya.
Anda bekerja bukan pekerja
Berurusan dengan klien, buatlah dengan cara profesional. Anda bukan kuli dan anda juga bukan pekerja kepada klien anda. Walaupun anda dibayar, mereka bukan bos anda. Buat kerja hanya di dalam waktu kerja sahaja. Segala arahan tergesa-gesa atau arahan di tengah malam dan waktu cuti, tidak patut dilayan. Tunggu sehingga waktu bekerja yang berikutnya.
Jangan jadi macam pak turut atau macam orang “takut-takut” saja bila berjumpa klien. Buat biasa saja. Anda boss. Mereka yang mahukan servis anda. Jika mereka tidak dapat menerima terma anda. Anda mesti bertegas.
Sediakan sebutharga, invois dan resit
Apabila berurusan dengan klien, nyatakan berapa caj yang anda kenakan untuk perkhidmatan anda. Senaraikan perkara seperti caj harga, perkara yang terlibat, peringkat urusan, peringkat bayaran, anggaran fi PBT, agensi-agensi terlibat dan sebagainya. Masukkan juga tawaran-tawaran lain seperti membuat 3D perspektif, membuat model bangunan bersekala, tambahan cetakan salinan pelan dan sebagainya. Ambil deposit untuk memulakan kerja sebagai perjanjian anda dengan klien. Dalam pada itu, nyatakan juga tempoh proses kerja sama ada secara lisan atau secara bertulis. Kos-kos lain adalah patut untuk disertakan sekali seperti kos perjalanan, kos percetakan dan kos urusan-urusan rasmi tambahan.
Siapkan sebut harga berserta salinannya sebelum berjumpa klien. Satu untuk anda dan satu lagi untuk klien anda. Bawanya bersama semasa temujanji dan selepas selesai perbincangan, tunjukkan pula sebut harga tersebut. Beri penerangan dengan jelas apabila klien bertanya. Kalau dapat buat sebut harga dengan terperinci adalah lebih baik. Jadi, apabila klien sudah faham anda tak perlu menjelaskan lagi. Bagaimana pula dengan diskaun? Itu terpulang kepada pertimbangan anda.
Apabila klien sudah setuju dan sudah membuat pembayaran deposit, barulah anda memulakan kerja. Setiap kali sebelum meminta bayaran, sediakan invois dan selepas menerima bayaran sediakan resit (atas permintaan).
Ketika memberikan sebut harga, fikirkan juga tentang freelancer lain. Maknanya, jangan hanya fikir untuk diri sendiri saja seperti meletak harga terlalu murah yang tidak masuk akal. Anda kena fikir banyak faktor. Kononnya mahu mudah untuk mendapatkan klien tetapi akhirnya, memakan diri sendiri. Itu yang terjadi sehingga ada penambahan kos.
Anda sudah buat kerja berjam-jam sampai sakit kepala, takkan tak ada reward? Anda layak terima bayaran selepas berhempas pulas berkerja.
Jangan tertipu dengan janji manis
Bila buat freelance, jangan tertipu dengan janji manis klien. Biasanya, klien orang awam tiada masalah. Yang selalu berjanji manis ni kebiasaanya, awal-awal lagi sudah memberitahu anda yang mereka ada banyak projek dan berjanji mahu memberikan kepada anda. Tapi, satu projek dengan anda pun masih belum muktamad. “Payment mana payment?”
“Awak buat dulu, saya ada banyak projek ni. Kalau okay servis awak, saya bagi lagi projek yang lain”
Anda kena tetapkan pendirian anda. Biar mereka jelaskan bayaran mereka dahulu, barulah anda buat kerja dan memberikan hasil kerja kepada mereka. Apabila bayaran sudah dijelaskan, baru buat perjanjian yang baru untuk projek baru. Selalunya, freelancer mudah terpedaya dengan janji manis.
Ayat yang hampir sama yang anda bakal jumpa. “Awak boleh siapkan 2 hari, tak? Banyak projek saya nak bagi kalau awak boleh siapkan cepat”
Sebenarnya, buatlah ikut kemampuan anda sendiri. Dikhuatiri, anda sudah berjaga sampai malam sedangkan bayaran anda masih belum pasti mereka akan bayar atau tidak.
“Buat dulu, nanti saya bayar”
Kadang-kadang, ada juga seperti ini “Boleh tak buat macam member-member, macam dah kenal lama, nanti dah siap sepenuhnya baru saya bayar penuh”
Itulah antara kata-kata yang anda kena waspada. Silap sikit, melopong lah jawabnya.
Tegas dan ikut perjanjian. Buat kerja mesti ikut perjanjian yang ada dalam tawaran anda. Jangan buat benda yang tiada dalam perjanjian. Contohnya, buatkan report, buatkan kertas kerja cadangan projek. Itu bukan tugas anda. Tiada istilah, sudah bayar, boleh minta macam-macam. Buat yang ditawarkan sahaja. Paling mencabar kesabaran sekali ialah ada yang belum bayar tapi sudah minta macam-macam. Mungkin istilah “No money no talk” perlu digunakan?
Ikut Masa
Kuat kerja itu bagus. Tapi, jangan buat kerja sehingga berjaga malam. Melainkan, jika terpaksa saja. Waktu rehat dan kecergasan anda mesti diutamakan. Jangan biasakan klien yang suka contact di tengah malam dan anda memberikan hasil kerja kepada mereka pada waktu tengah malam itu juga. Tunggu sehingga waktu kerja berikutnya, barulah anda memulakan kerja semula. Kalau anda sudah biasakan bekerja hanya dalam waktu kerja, klien anda juga akan menghormati masa anda. Tetapi, jika sebaliknya, klien anda akan fikir yang anda boleh disuruh tanpa mengira waktu rehat dan cuti.
Memaglah budak architecture ni biasa berjaga malam dan tiada istilah rehat dan tidur, tapi bukan sepanjang masa begitu. Jika dapat dilakukan waktu bekerja, maka buatlah waktu bekerja saja. Anda yang penat.
Buat research dulu
Kalau servis anda melibatkan urusan PBT, dapatkan maklumat daripada orang yang berpengalaman atau jumpa terus dengan pegawai PBT. Tanya pegawai PBT tentang prosedur dan perkara-perkara yang terlibat. Walaupun sudah tahu, kadang-kadang bertanya sebab mahu confirm-kan saja, dan manalah tahu terdapat maklumat tambahan dan terkini. Lagi pun, itu salah satu cara untuk anda membiasakan diri apabila berurusan dengan PBT. Kalau ada pegawai tidak mahu memberikan kerjasama atau asyik cakap person-in-charge tiada, anda boleh tegur mereka semula. Tapi, dengan cara yang lebih baiklah.
Banyak aduan sebenarnya yang pegawai Majlis Daerah / Majlis Perbandaran ni tidak mahu memberikan kerjasama. Malah, sebaliknya anda pula yang dimarahi. Tapi, itu cuma sikap segelintir pegawai. Masih ada yang ramah dan yang baik hati. Harap-haraplah. (Sebab, mula-mula jumpa okay, beberapa hari selepas tu pemarah pula)
Kepercayaan
Apabila pertama kali berjumpa memang akan wujud tentang perasaan percaya mempercayai. Bila sudah bertemujanji, bermakna klien anda dan juga diri anda sudah saling mempercayai antara satu sama lain. Ada klien suka minta salinan IC anda. Kononnya, susah nak percaya. Mula-mula okay dan boleh diterima. Tapi, kalau setiap kali jumpa dan setiap kali buat bayaran minta IC, itu sudah melampau sebenarnya. Ini bermakna, klien jenis ini sedang memperlekeh dan tidak percaya kepada anda. Sesetengah orang menganggapnya sebagai penghinaan. Untuk pengetahuan anda, sebenarnya, klien tiada hak untuk mengambil salinan IC anda. Jika berlaku dengan kerap, hentikan terus untuk berurusan dengan mereka. Jika itu projek pertama, selamat tinggal saja untuk projek seterusnya. Walaupun dia menawarkan anda 2 hingga 3 projek yang baru. Jika berlaku, anda patut buat benda yang sama. Minta salinan IC dia juga. Katakan juga apa yang dia pernah katakan kepada anda “klien pun susah nak percaya”
Tawaran Projek Juta-Juta.
Terdapat klien yang meminta anda buatkan dulu cadangan design untuk mereka. Biasanya untuk projek yang belum pasti. Mereka akan kata, “boleh tak awak design dulu dan berikan saya design siap dengan report, bila proposal ni berjaya, saya bayar awak. Projek ni nilainya berjuta-juta kalau saya dapat”.
Anda patut caj servis seperti biasa. Melainkan anda memang kenal dan mahu berkerjasama dengan mereka.
Tahu skop kerja.
Kalau tadi ada disebut, jangan buatkan report atau kertas kerja cadangan projek bagi pihak klien. Kali ini dengan PBT pula. Apabila kerap berurusan di PBT, mungkin anda sudah mula kenal dan mungkin sudah boleh berkawan. Bagaimana pun, ada batasnya. Baik macam mana pun anda dengan pegawai PBT, jangan sampai anda menjadi ‘kuli’ mereka. Maksudnya, jangan sampai mereka menggunakan atau tumpang hak anda seperti motor dan kereta untuk urusan-urusan rasmi mereka seperti melawat tapak, membuat inspection dan sebagainya.
“Nanti awak ambil saya di pejabat” Anda katakan saja “tidak boleh” kepada mereka. Buatlah alasan apapun asalkan dapat mengelakkan hak anda daripada digunakan oleh mereka. Urusan rasmi mereka mestilah menggunakan kemudahan rasmi mereka sendiri. Itu skop kerja mereka. Bukan skop kerja anda.
Siapkan Tugasan Sehingga Siap
Apabila anda menerima tugasan, pastikan ianya siap mengikut kepada apa yang diminta. Kalau sehingga peringkat rekabentuk, serahkan sehingga peringkat rekabentuk sahaja. Jika sehingga kelulusan PBT, siapkan sehingga mendapat kelulusan PBT. Ada sesetengah pihak, mereka suka mengambil sendiri pelan-pelan dan dokumen yang telah lulus daripada PBT. Ingatkan kepada pihak berkenaan supaya memberikan salinan kelulusan tersebut kepada anda sama ada melalui email, gambar atau poskan kepada anda. Jika pihak berkenaan tidak memberikan kerjasama atau tidak mahu memberikan kepada anda, anda catatkan isu berkenaan. Cara terbaik, lebih baik anda sendiri yang mengambil surat dan pelan yang telah mendapat kelulusan PBT itu.
Ingatkan klien Tentang Kerja Pembinaan
Selepas pelan yang telah lulus dikeluarkan oleh PBT, ingatkan mereka supaya mengikut apa yang telah diluluskan sahaja terutamanya bahagian setback. Ingatkan mereka juga untuk meneliti surat kelulusan yang telah dikeluarkan. Apatah lagi jika klien tidak memberikan anda salinan kelulusan yang mereka sendiri ambil di PBT. Anda perlu mengingatkan mereka untuk memaklumkan kepada anda apabila mereka hendak memulakan pembinaan. Jika pesanan anda tidak diendahkan atau tidak mendapat kerjasama, anda catatkan perkara tersebut.
Pastikan Pihak Yang Dilantik Juga Memberi Kerjasama
Adakalanya, anda terlibat dalam melantik perunding lain untuk tujuan kelulusan seperti pelan struktur atau pelan sistem kumbahan oleh Jurutera. Pastikan mereka menjayakan tugasan dengan baik dan sentiasa memaklumkan kepada anda sama ada tugasan telah siap, sudah lulus atau pun belum. Jika anda merasakan melantik sebagai ‘bagi pihak’ itu akan menyukarkan anda, disarankan supaya anda mencadangkan nama perunding itu terus kepada klien anda. Jadi, anda tidak perlu memikirkan perkara lain yang terlalu banyak. Termasuk bayaran.
Ada situasi di mana terdapat pihak perunding lain yang sering mengaku mereka boleh melaksanakan tugasan dengan baik dan sudah biasa dengan proses kelulusan di agensi-agensi tertentu, tetapi apabila tiba masanya, ia tidak diselesaikan dengan baik. Ada juga yang tidak mahu bertanggungjawab untuk berurusan di PBT atau agensi terlibat. Hanya duduk dan berharap anda pula yang menguruskan sepenuhnya. Ini akan menyukarkan anda. Malah, jika berlaku perkara yang tidak sepatutnya, anda pula yang akan dipersalahkan. Sebab itu, jika ini berlaku kepada anda, dinasihatkan untuk tidak lagi menjadi wakil melantik mereka dan lebih baik klien anda sendiri yang terus berurusan dengan mereka.
Terus terang saja. Ia meletihkan anda!
Terima Ugutan atau Berurusan Dengan Klien ‘Sombong’
Yang ini bergantung kepada pengalaman atau situasi anda. Seperti yang telah disebutkan di atas, pastikan anda menyiapkan tugasan dan sentiasa ‘take note’ atas setiap perkara yang anda telah lakukan seperti buat salinan atau ambil gambar setiap perkara penting termasuk screenshot. Selain itu, jika ada pihak atau klien yang tidak memberikan kerjasama, anda catatkan sahaja apa yang berlaku. Adakalanya anda akan dikatakan tidak menyiapkan kerja, walhal anda sudah selesaikan kerja. Pastikan anda ada bukti telah siapkan tugasan. Jika melibatkan kelulusan, pastikan anda tahu yang pihak klien juga akan menerima surat salinan atau ‘surat kepada’ yang dihantar oleh pihak atau agensi berkaitan selepas permohonan diluluskan. Jadi, anda tidak perlu risau. Cuma pastikan perkara tersebut dan buat salinan sebagai bukti.
Sekiranya anda berhadapan dengan klien yang seperti ini dan jika masih diperingkat awal, tamatkan sahaja urusan dengan mereka dan pulangkan deposit (jika ada) kerana semakin lama anda berurusan dengan mereka, dikhuatiri semakin sukar keadaan anda. Mungkin anda boleh tertekan. Jika sudah diperingkat akhir pula, contohnya peringkat CCC, selesaikan sahaja. Tetapkan di dalam diri anda, yang anda tidak akan lagi berurusan dengan mereka walaupun anda akan ditawarkan dengan projek yang lain yang lebih lumayan.
Tidak ‘Respect’
Yang ini paling teruk sekali. Tidak respect yang dimaksudkan ini ialah klien yang tidak hormat waktu kerja dan ketersediaan anda. Tambahan pula apabila anda mula dilabel dengan gelaran-gelaran yang memperlekeh kerja dan tugas anda. Sedangkan anda komited dengan kerja. Apa yang mereka fikir hanya, “Apa saya mahu, saya mahu terus dapat”. Kadang-kadang apabila anda tidak dapat melaksanakan tugasan on-time yang disebabkan oleh kekangan masa atau projek yang bertindan, mereka mula mempersoalkan anda. Ada yang beri masa 24 jam, 3 hari atau satu minggu sahaja untuk terima kelulusan PBT. Sedangkan untuk pengeluaran kelulusan bukan dibawah tanggungjawab anda. Apabila anda sudah memberikan penjelasan mereka menganggap anda hanya memberikan alasan. Mereka tidak mahu mendengar langsung penjelasan anda.
Ada sesetengah pihak hanya beranggapan, projek mereka sahaja yang mesti disiapkan. Sedangkan anda perlu fokus kepada projek-projek lain juga. Anda sudah susun jadual untuk proses kerja. Tetapi, ada pihak agak mementingkan diri. Anda perlu sedar yang anda sedang berurusan dengan pihak yang mempunyai sikap yang sangat negatif.
Terdapat juga sesetengah pihak yang suka mencari freelancer yang jauh daripada mereka. Kerana murah. Diperingkat awal semuanya sanggup untuk bayar, tetapi, apabila tiba masanya, dan anda mahu membuat tuntutan bayaran untuk tenaga, perjalanan dan kos perjalanan lain, mereka tidak mahu membayarnya. Sebenarnya, jika ada pihak tidak mahu membayar anda untuk kerja-kerja anda, anda tidak perlu melakukannya sehinggalah pihak berkenaan menyelesaikan pembayaran kepada anda bagi peringkat-peringkat tertentu.
Adakah mereka ini pembuli? Tidak tahulah. Boleh jadi.. Tetapi, situasi seperti ini memang sukar untuk ditangani. Apatah lagi, jika ada sesetengah pihak beranggapan yang duit boleh menyelesaikan segala-galanya dan dengan duit juga boleh membuli sesiapa sahaja.
Seperti di dalam saranan sebelum ini, jika anda mula merasakan tidak selesa, maka tamatkan sahaja urusan anda dengannya. Kalau projek jarak jauh, mungkin boleh difikirkan semula selepas ini sama ada mahu menerima tawaran daripada pihak yang jauh itu lagi ataupun tidak. Tidak semua projek itu akan menguntungkan anda. kadang-kadang ia akan lebih merugikan anda. Rugi masa, rugi tenaga dan rugi wang anda. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran lain daripada orang yang sama. Ingatlah, anda tidak sepatutnya meminum racun semata-mata untuk menghilangkan dahaga. Jika anda betul-betul yakin dan mempunyai pengalaman. Teruskan.
Tidak salah untuk anda timbulkan persoalan jika tiba-tiba ada tawaran projek daripada pihak yang terlalu jauh dengan anda “mengapa dari jauh sanggup tawarkan projek kepada anda?” Pelik, bukan? Tidak kenal pula tu. Boleh jadi, ada sesetengah pihak ini mempunyai masalah dengan freelancer sebelum anda. Oleh sebab itu, anda pula yang dicari. Atau mungkin juga sebab kos yang murah. Hati-hati. Jika anda ada wakil yang boleh membantu anda menguruskan projek yang jauh itu. Tidak mengapa. Tetapi, pastikan wakil anda boleh menjalankan tugasan dengan baik. Jika tidak, anda pula yang perlu selesaikan semuanya.
Walaupun, sebenarnya anda kena sentiasa bersikap positif, jiwa kental, kuat mental dan fizikal tetapi perlu juga ada sikap negatif untuk mengelakkan diri anda menjadi mangsa kepada pihak-pihak yang suka membuli ini.
Klien Tidak Faham Situasi Atau Memanipulasi Situasi Sebenar
Apabila anda dicari atau dilantik, maka cara kerja dan syarat kerja anda yang perlu dipatuhi oleh klien anda. Bukan sebaliknya. Kerana anda dibayar bukan sebagai pekerja mereka tetapi anda perlu dibayar atas perkhidmatan yang anda berikan. Mungkin ada pihak berkata, berurusan dengan mereka atas risiko anda sendiri. Itu salah! Dan itu sudah terbalik! Ini kerana mereka yang mencari anda. Sepatutnya, mereka perlu faham dan sanggup terima apa saja halangan atau isu yang timbul ketika berurusan dengan anda.
Ada sesetengah pihak akan merayu agar anda membantu mereka. Hubungi anda berkali-kali. Ada juga yang sanggup berhubung dengan anda walaupun jarak yang jauh. Umpama dari Kota Bharu ke Johor Bharu. Di peringkat awal, semuanya akan baik-baik saja, janji-janji manis untuk memberikan lebih banyak projek dan sanggup membayar lebih untuk kos perjalanan dan sebagainya. Tetapi, apabila anda sudah bersetuju untuk membantu mereka, atau menjadi arkitek bagi pihak mereka, lain pula jadinya. Tiba-tiba tempoh kerja mahu dipercepatkan, secara tiba-tiba juga hasil kerja anda jadi tidak memuaskan dan tidak menarik pada mereka, bayaran dilambatkan, tiada timbang rasa dan akhirnya, anda pula diugut atau cuba dipersalahkan. Ini adalah tidak betul. Sepatutnya, merekalah yang harus mematuhi terma dan syarat atau keadaan atau cara kerja anda sebagai orang yang melaksanakan tugasan. Maksudnya, jika ada halangan atau kekangan dalam tempoh perlaksanaan itu atau berlaku sesuatu yang memaksa masa urusan dianjakkan atau mungkin juga ditangguh, maka pihak klien harus patuh dan terima risikonya. Bukannya anda. Akhirnya, anda yang menjadi mangsa.
Ada juga yang tidak mahu memberikan kerjasama. Apa yang anda perlukan pun tidak diendahkan kerana menganggap anda tidak sepatutnya mengarahkan mereka dan mereka fikir mereka yang sepatutnya mengarahkan anda. Anda tahu sebab apa? Sebabnya, duit. Ada sesetengah pihak fikir, apabila mereka sudah membayar, maka anda duduk di bawah kaki mereka atau sebagai pekerja mereka. Semuanya, lump sum. Sebab itu, dengan sewenang-wenangnya mereka akan menyuruh anda untuk membuat kerja mereka tanpa mengira waktu dan skop kerja sebenar. Sebab itu, mereka berani mengugut. Ada juga yang cenderung untuk play victim. Pelik, bukan?
Situasi ini tidak sama jika anda sendiri yang meminta atau merayu atau melobi untuk mendapatkan projek daripada mereka. Jika itu keadaannya? Ya!
Bagaimana pun, bukan semuanya begitu. Anda mungkin akan jumpa kurang 1% sahaja dari kalangan klien anda yang mempunyai sikap yang negatif. Apa yang boleh dinasihatkan, sentiasa hati-hati dan sentiasa mengamalkan sikap professional. Bukan tunjuk gangster!
Kesimpulannya, apa yang disebutkan ini hanyalah sedikit perkongsian yang anda perlu tahu sekiranya anda baru mencuba, atau baru merancang untuk membuat freelance. Ia sebagai persediaan dan bertujuan membantu anda untuk sentiasa berhati-hati dari semasa ke semasa.
Selepas dapat projek dan cadangan design diserahkan kepada klien, beri peluang kepada klien untuk meneliti dan maklumkan kesediaan anda untuk meminda atau membuat tambahan pada pelan sehingga klien berpuas hati.
Dalam pada itu, gunakan kemudahan komunikasi seperti call, sms, whatsapp, telegram dan email untuk terus berhubung dengan klien.
Jangan lupa. Kopi wajib ada.