Waktu kerja seperti melawat tapak cadangan memang selalu saja berdepan dengan situasi tapak cadangan yang terlalu semak. Yang macam hutan pun ada. Kadang-kadang, memang susah nak masuk site sebab keadaan dan lokasi tapak cadangan yang jauh ke dalam yang terpaksa melalui jalan kampung dan jalan kecil. Jalan masuk ke tapak cadangan pun tidak berapa elok. Ada yang berlopak dan berlubang yang menyukarkan lagi aktiviti untuk melawat tapak cadangan.

Untuk mengatasi masalah ini, Drone lah jawapannya. Zaman serba teknologi baru ni, sudah sampai masanya arkitek dan architecture student mengikut perkembangan semasa dengan sekurang-kurangnya mempunyai sebuah drone. Rasanya, sekarang pun sudah ramai arkitek dan architecture student memiliki drone mereka sendiri.
Bayangkan jika tapak cadangan yang terlalu besar, jika mempunyai drone sendiri, sudah pasti dapat juga kita meninjau keseluruhan tapak cadangan dari hujung ke hujung tapak. Dalam masa yang sama, dapat juga mengambil gambar keadaan sekeliling tapak, kedudukan tapak dan sekitarnya. Kalau nak diharapkan dengan Google Maps mungkin gambar yang kita dapat bukanlah yang terkini dan gambarnya pun kurang jelas.
Paling teruk ialah apabila keadaan tapak yang ingin dilawati itu terlalu semak sama macam hutan simpan. Jujurnya, kalau saya sendiri yang datang ke lokasi seperti itu, memang tak akan masuklah ke tapak tu. Masalah yang macam ni selalunya cukup sekadar ambil gambar dari luar tapak atau tepi jalan saja. Gila! Kalau ada lubang ke, kawasan berpaya ke macam mana, kan? Rupa pun dah macam hutan. Kalau ada binatang buas macam mana pula tu? Kalau memiliki drone sendiri tak adalah kunjungan ke tapak cadangan tu sekadar sia-sia saja. Bolehlah diharapkan kepada drone untuk dijadikan wakil kita meninjau ke kawasan tapak, ambil gambar dan melihat keadaan tapak. Sekurang-kurangnya, dapat juga selamatkan diri dari risiko berdepan dengan binatang liar dan cuaca panas.

Selain melawat tapak, boleh juga digunakan untuk membuat case study. Meninjau keseluruh kawasan, melihat aktiviti penduduk dan aktiviti bandar. Dalam pada itu, dapat juga melihat perincian bangunan dengan lebih dekat, meneliti ornamen, meninjau layout bangunan, study master plan dan sebagainya. Ada sesetengah bangunan atau tapak case study terlalu besar, jadi dengan drone inilah kegunaannya apabila kita berdepan dengan situasi yang agak sukar. Dalam masa yang sama, boleh menjimatkan banyak tenaga dan juga masa.

Selain tujuan lawatan tapak dan case study, drone juga sepatutnya dapat digunakan untuk melihat perkembangan sesuatu projek. Melihat bagaimana projek tersebut dibina adakah ianya dibina mengikut seperti yang terkandung di dalam pelan arkitek atau pun tidak. Apatah lagi jika bangunan yang tinggi atau bangunan yang bertingkat.
Memiliki drone ini bukanlah untuk keseronokan semata-mata tetapi ia boleh menjadikan kerja-kerja architecture itu jadi lebih menarik dan menyeronokkan.