Salam sejahtera!
Projek rumah Lotus House merupakan cadangan rekabentuk rumah 2 tingkat yang mengandungi 4 bilik tidur dan 5 bilik air. Projek cadangan rekabentuk ini terletak di salah satu mukim di Kota Bharu, Kelantan.
Pembahagian ruang
Rekabentuk rumah ini dibahagikan mengikut aras. Tingkat bawah lebih kepada tempat berkumpul dan untuk para tetamu. Manakala, tingkat atas dikhususkan untuk ahli keluarga sahaja. Oleh kerana tingkat bawah dirancang untuk menjadi tempat berkumpul dan untuk para tetamu, maka tingkat bawah direka supaya mempunyai ruang yang lebih luas dan besar.
Tingkat bawah
Di tingkat bawah mempunyai ruang tamu yang berada di bahagian kanan bersama-sama dengan ruang keluarga. Di bahagian tengah pula terdapat bilik solat dan bilik tamu. Di antara kedua bilik itu diletakkan bilik air yang lengkap dengan bilik wuduk. Ruang makan pula berada di hadapannya atau di bahagian yang menghadap jalan. Bilik tidur utama atau bilik tidur khas berada dekat dengan pintu masuk utama. Bilik itu dikhaskan untuk ahli keluarga atau saudara mara terdekat. Dalam masa yang sama, boleh juga digunakan oleh ahli keluarga sendiri.
Ruang dapur berada di bahagian kiri hujung bangunan beserta dengan bilik serba guna atau setor, laundri dan bilik air tambahan.
Tingkat atas
Tingkat atas pula ditempatkan dilik tidur utama, bilik tidur 2 dan bilik tidur 3. Di tingkat atas juga terdapat ruang keluarga yang dikhususkan untuk ahli keluarga sendiri sahaja. Jadi, ruang keluarga di tingkat atas tidak akan terganggu atau dapat diakses oleh orang lain.
Keistimewaan bagi rekabentuk ini ialah, tingkat atas dapat melihat atau terdapat ruang tinjau yang boleh melihat tetamu yang hadir di tingkat bawah.
Tempat letak kereta berada di sebelah kiri yang dapat memuatkan 2 buah kereta dalam satu masa.
Bukaan
Rekabentuk rumah ini mempunyai banyak bukaan untuk membenarkan lebih banyak pengudaraan dan pencahayaan semulajadi memasuki ruang dalam bangunan. Hampir setiap ruang menggunakan tingkap jenis lebar dan labuh. Terdapat 6 akses untuk memasuki rumah yang mana 2 akses di bahagian kanan, 1 akses di bahagian tengah dan selebihnya berada di bahagian kiri.
Rekabentuk luaran
Rekabentuk ini merupakan rekabentuk akhir yang dipersetujui sebelum ia sekali lagi dipinda di saat-saat akhir sebelum permohonan kelulusan dibuat. Pindaan paling akhir yang dilakukan ialah pada bahagian bumbung bilik tidur utama yang dipanjangkan sehingga ke tempat letak kereta.
Siri cadangan dan pindaan
Rekabentuk rumah ini melalui beberapa siri cadangan dan pindaan terutamanya bentuk bumbung yang mana kami akan kongsikan cadangan rekabentuk tersebut di dalam artikel-artikel seterusnya.
- LOTUS HOUSE
- Jurureka: ZIZI + EUDA STUDIO / DZ CREATION
- Keluasan: 5,019 kps
- Tahun: 2019
- Imej render: ZIZI + EUDA STUDIO / DZ CREATION STUDIO
- Lokasi cadangan: Kota Bharu
- Negeri: Kelantan
* Rekabentuk rumah ini disediakan oleh ZIZI+EUDA STUDIO / DZ CREATION. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami melalui pautan di sini