Selain pencahayaan semulajadi, pengudaraan semulajadi atau Natural ventilation juga merupakan salah satu elemen yang penting yang menggunakan teknik pengudaraan daripada sumber alam semulajadi. Teknik pengudaraan semulajadi ialah satu sistem untuk membenarkan pengudaraan dari luar bangunan masuk ke dalam sesebuah bangunan atau sesebuah rumah kediaman.
Pengudaraan dan pencahayaan semulajadi selalunya saling berkait kerana di dalam keadaan tertentu kedua-dua elemen ini sangat saling memerlukan di antara satu sama lain.
Pengudaraan semulajadi juga bermaksud satu proses yang membawa udara atau angin daripada luar ke dalam bangunan dan menyingkirkan udara di ruang dalam bangunan tanpa menggunakan sistem mekanikal. Selain itu, ia juga membawa maksud kepada aliran udara luar masuk ke dalam bangunan yang disebabkan oleh perbezaan tekanan udara terhasil daripada tindakbalas alam semulajadi. Bagaimanapun, keberkesanan pengudaraan semulajadi ke dalam bangunan bergantung kepada keadaan angin yang berada di luar bangunan.
Nota: udara sejuk yang lebih tumpat akan masuk menggantikan udara panas yang kurang tumpat.
Setiap kali membuat rekabentuk sesebuah bangunan atau rumah kediaman, mestilah menyediakan ruang bukaan seperti tingkap untuk membenarkan pengudaraan dan pencahayaan semulajadi masuk ke dalam bangunan. Ini merujuk kepada kehendak-kehendak Uniform Building By-Law (UBBL) 1984, By Law 39, Natural Lighting and Ventilation, Muka Surat 28, 1 November 2013, (1) Every room designed, adapted or used for residential, business or other purpose except hospitals and schools shall be provided with natural lighting and natural ventilation by means of one or more windows having a total area of not less than 10% of the clear floor area of such room and shall have opening capable of allowing a free uninterrupted passage of air not less than 5% of such floor area.
Berdasarkan kepada UBBL 1984, kehendak-kehendak yang mesti dipatuhi ialah dengan menyediaan bukaan untuk membenarkan pengudaraan semulajadi masuk ke dalam bangunan mestilah sekurang-kurangnya 5% daripada keluasan setiap ruang.
Contoh. Sekiranya keluasan bilik ialah 100 kaki persegi (kps) atau 9.3 meter persegi (mps), jumlah minimum ruang bukaan pengudaraan yang mesti disediakan ialah 5 kps atau 0.465 mps. Berdasarkan contoh rajah di atas, jumlah bukaan yang telah disediakan ialah 2.1 mps atau 22 kps dan telah melebihi jumlah minimum yang ditetapkan.
Oleh sebab itu, keberkesanan teknik pengudaraan semulajadi ke dalam sesebuah bangunan adalah bergantung kepada:
- Rekabentuk bangunan
- Beban haba dalaman
- Kedudukan bukaan (biasanya tingkap)
Terdapat tiga (3) teknik asas terhadap penggunaan sistem pengudaraan semulajadi:
- Pengudaraan Tunggal (Single-sided Ventilation)
- Pengudaraan Melintang/Silang (Cross Ventilation)
- Perolakan Pengudaraan (Stack Ventilation)
Rekabentuk sesebuah bangunan
Rekebantuk sesebuah bangunan perlu menitikberatkan kepada teknik pengudaraan semulajadi. Rekabentuk bangunan mestilah dapat memerangkap angin daripada luar untuk masuk ke dalam bangunan supaya suhu di dalam bangunan dapat di kawal dengan baik, udara panas atau haba dapat disingkirkan dan dapat menyejukkan ruang di dalam bangunan. Sama ada dengan membuat bukaan, atau membuat perangkap angin, atau mengikut arah lazim angin dan sebagainya.
Menyediakan Bukaan
Contohnya ialah menyediakan bukaan tingkap di setiap ruang. Tingkap pula mestilah tingkap yang boleh dibuka dan ditutup jika perlu. Tujuannya supaya penghuni di dalam bangunan dapat menerima udara dengan baik, berasa selesa dan dapat mengawal suhu di dalam bangunan. Jika rasa panas, tingkap boleh dibuka dan jika rasa terlalu sejuk tingkap boleh ditutup atau dikecilkan sedikit bukaannya. Cuba bayangkan jika tingkap tidak dibuka langsung, sudah tentu kita akan berasa panas, lemas dan tidak selesa. Ini kerana, tekanan udara di dalam bangunan atau sesuatu ruang itu menjadi terlalu tinggi, haba atau udara panas tidak dapat keluar daripada bangunan yang menyebabkan kita yang berada di dalam bangunan akan berasa tidak selesa.
Begitu juga ketuka kita memasak di dalam rumah tetapi tidak membuka tingkap atau pintu. Selain keadaan di dalam rumah menjadi panas atau berhaba, bau masakan juga tidak dapat dibebaskan yang akan menyebabkan keadaan di dalam rumah berbau, suhu meningkat dan gangguan pernafasan yang akan mengakibatkan sistem pengudaraan menjadi tidak selesa. Oleh sebab itu, setiap ruang mesti diadakan bukaan untuk memudahkan pengudaraan keluar masuk ke dalam bangunan.
Untuk mendapatkan kesan pengudaraan semulajadi yang baik, penyediaan bukaan juga perlu diatur dengan betul. Satu bukaan akan membawa masuk udara sejuk atau angin dan satu bukaan lagi akan menyingkirkan udara panas atau haba di dalam bangunan.
Selain itu juga, untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengudaraan semulajadi ialah dengan menyediakan perangkap atau penangkap angin pada bangunan. Perangkap atau penangkap angin boleh dibuat dengan pelbagai cara. Salah satunya ialah dengan membuat koridor. Perangkap atau penangkap angin koridor berfungsi apabila angin yang kuat di luar bangunan menghentam dinding bangunan lalu angin tersebut akan masuk melalui koridor-koridor yang disediakan, seterusnya angin tersebut memasuki ruang dalam bangunan melalui bukaan yang terdapat pada bangunan tersebut. Keberkesanan teknik pengudaraan ini dapat dipertingkatkan lagi jika sistem pengudaraan melintang/silang (cross ventilation) dipraktikkan di dalam bangunan tersebut. Selain itu, kehadiran angin melalui teknik perangkap angin ini dapat menyejukkan dan menstabilkan suhu di dalam sesebuah bangunan. Semakin mengecil laluan angin, semakin laju pergerakan angin.
Pengudaraan Tunggal (Single-sided Ventilation)
Pengudaraan tunggal selalunya ada pada bilik tidur, atau pejabat atau mana-mana ruang yang hanya mempunya bukaan pasa satu bahagian atau sisi sahaja. Bukaan seperti ini selalunya lebih efektif untuk tujuan pembebasan haba atau udara panas yang berada di dalam bangunan sahaja.
Pergerakan angin ke dalam bangunan juga agak terbatas. Untuk kesan yang lebih baik, cuba buka pintu bilik supaya pergerakan angin dari luar yang masuk ke dalam bilik melalui tingkap itu akan bergerak dengan lancar. Kesan pengudaraan akan menjadi lebih baik apabila tingkap atau bukaan di ruang-ruang yang lain juga dibuka. Teknik ini akan jadi seperti teknik pengudaraan melintang/silang.
Pengudaraan Melintang/Silang (Cross Ventilation)
Jika kita biasa ke bangunan hospital lama yang bertingkat, kita boleh jumpa teknik ini dengan mudah. Selalunya di ruang wad atau bahagian wad biasa. Jika anda perhatikan betul-betul, ada dua bukaan pintu gelangsar yang besar di sebelah kiri dan kanan bilik wad itu. Bukaan besar ini akan memudahkan laluan keluar masuk angin daripada luar bangunan masuk ke dalam bangunan untuk menyingkirkan haba yang ada dalam bangunan tersebut. Walaupun, fungsi sebenar bukaan pintu gelangsar itu bukan sahaja untuk laluan angin bagi tujuan pengudaraan, tetapi dengan adanya bukaan dari kedua-dua bahagian atau sisi, secara tidak langsung teknik pengudaraan semulajadi dapat dipraktikkan dengan lebih efisyen. Jadi, keadaan di dalam bangunan akan sentiasa berasa sejuk. Ia sama dengan bangunan sekolah.
Ini menunjukkan bahawa, arkitek yang bertanggungjawab terhadap bangunan tersebut telah membuat kaji selidik terlebih dahulu supaya keberkesanan rekabentuk bangunan tersebut dapat dipraktikkan sepenuhnya.
Teknik ini juga boleh dipraktikkan pada rumah kediaman dengan membina dua bukaan dari sisi yang berbeza. Contohnya, sebelah kanan rumah adalah ruang makan, manakala sebelah kiri pula ialah ruang keluarga. Kedua-duanya terdapat bukaan seperti tingkap atau pintu gelangsar. Jadi, angin dari luar bangunan boleh keluar masuk ke dalam bangunan dengan lebih mudah seterusnya dapat menyingkirkan haba yang terdapat di dalam sesebuah bangunan itu dengan lebih cepat.
Perolahan Pengudaraan (Stack Ventilation)
Di dalam rajah di atas menunjukkan udara panas atau haba meningkat dan naik ke atas. Ini kerana udara panas adalah kurang tumpat berbanding udara sejuk. Apabila udara panas naik ke atas iaitu aras bumbung, ia akan menghasilkan sedikit vakum di bahagian bawah seterusnya ia akan menarik udara luar atau angin dari tingkap di dinding bahagian bawah. Keadaan ini telah mencipta aliran udara semulajadi. Stack ventilation atau perolahan pengudaraan berlaku apabila tingkap di bumbung dibuka untuk membenarkan udara panas atau haba keluar daripada bangunan melalui bumbung seperti dalam rajah di atas dan membenarkan udara segar semulajadi atau angin dari luar masuk ke dalam bangunan. Proses ini bermaksud udara sejuk akan menyingkirkan udara panas keluar melalui tingkap yang berada di bumbung. Jika bukaan di bumbung dibuka dengan lebih luas, jumlah udara panas yang keluar akan lebih pantas dan proses pengudaraan juga akan berjalan dengan lancar.
Bagaimanapun, saiz bukaan juga perlu dikawal supaya suhu di dalam bangunan tidak terlalu rendah dan menjadi terlalu sejuk. Jumlah angin yang merentas masuk terlalu banyak atau terlalu kuat juga boleh menyebabkan keadaan di dalam bangunan menjadi tidak terkawal.