Senibina – Kepentingan dan Peranan Tanaman

Diterjemah dan diolah Oleh: Azizi MY

Tanaman atau pokok-pokok merupakan salah satu elemen yang mempunyai peranan dalam senibina. Bukan sahaja untuk nilai estetika akan tetapi juga baik untuk menjimatkan tenaga, memberikan pemandangan yang menarik atau menapis pemandangan yang kurang menarik, mengawal bunyi bising, mengurangkan hakisan dan sebagainya.

plant material in architecture

FAKTOR YANG PERLU DIPERTIMBANGKAN DALAM PEMILIHAN TANAMAN / POKOK UNTUK SENIBINA & LANDSKAP:

1. Struktur tanaman dan bentuknya

2. Musim, tekstur dan warna dedaun

3. Tempoh atau kadar pertumbuhan tanaman

4. Had ketinggian dan kelebaran dedaun

5. Keperluan untuk tanah, air, cahaya matahari dan kadar suhu

6. Kedalaman dan had struktur akar

7. Kesesuaian tanaman terhadap cuaca

8. Tanaman yang masih sihat atau tanaman yang asal seharusnya dikekalkan dan dipelihara. Ketika kerja-kerja pembinaan dijalankan, kawasan tanaman perlu dilindungi bersamaan dengan diameter tanaman itu. Sistem akar yang terlalu rapat dengan bangunan boleh mengganggu sistem asas bangunan dan sistem utiliti dalam tanah.

9. Tanah juga mestilah boleh menyerap lembapan, membekalkan nutrien yang sesuai, pengudaraan dan sebagainya.

plant material in architecture
Diameter pokok

RUMPUT, POKOK MELATA ATAU POKOK MENJALAR

Tanaman seperti rumput, rerumput atau yang sejenisnya dapat mengawal suhu dengan menyerap sinaran daripada matahari dan menggalakkan penyejukan melalui proses penyejatan. Tanaman jenis rerumput juga dapat menstabilkan struktur tanah dan dapat mencegah daripada berlakunya hakisan tanah.

Pokok jenis menjalar pula boleh mengurangkan penyebaran haba pada dinding yang menghadap cahaya matahari. Ia melindungi dan menyejukkan persekitaran dengan kadar segera juga melalui proses penyejatan.

plant material in architecture
Pokok menjalar pada dinding – By Khalid Mahmood – Own work, CC BY-SA 3.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=14758142
plant material in architecture
Pokok Menjalar

POKOK MEMPENGARUHI PERSEKITARAN BANGUNAN MELALUI CARA BERIKUT

Menyediakan Teduhan

Jumlah sinaran matahari dapat dihalang atau ditapis oleh pokok bergantung kepada:

  • Orientasinya kepada matahari
  • Jaraknya dengan bangunan atau ruang luar
  • Bentuk, kelebaran dan ketinggian
  • Ketebalan dedaun dan struktur dahan
plant material in architecture - shading

Pokok-pokok meneduhkan bangunan atau ruang luar yang paling berkesan ialah daripada tenggara ketika waktu pagi dan daripada barat daya ketika waktu lewat petang iaitu semasa matahari berada pada altitud rendah dan menghasilkan bayang-bayang panjang.

Binaan unjuran pada bangunan atau bukaan yang menghadap selatan dapat menyediakan teduhan yang lebih berkesan ketika waktu tengah hari apabila matahari berada di kedudukan yang tinggi dan akan menghasilkan bayang-bayang pendek.

Daun yang lebat dapat menyediakan teduhan dan perlindungan terhadap silau ketika waktu atau musim panas. Dalam masa yang sama, ia membenarkan sinaran matahari melalui celah-celah dahan atau ranting ketika musim sejuk.

Pokok malar hijau (evergreens) dapat menyediakan teduhan sepanjang tahun dan membantu mengurangkan kesilauan salji semasa musim sejuk.

trees provide shades - bayang pokok, teduhan
Menyediakan Teduhan kepada Bangunan
trees provide shades - long shades / bayang pokok
Teduhan kepada ruang bangunan

Berfungsi Sebagai Penahan Angin

Pokok malar hijau (evergreens) boleh membentuk penahan angin yang berkesan dan mengurangkan kehilangan haba dari bangunan semasa musim sejuk. Selain itu, daun pokok yang lebat membantu mengurangkan habuk yang ditiup oleh angin.

Menentukan ruang

Selain bertindak sebagai penahan angin, pokok juga boleh membentuk ruangan luar untuk aktiviti dan pergerakan.

Menumpukan atau Menapis Pandangan

Pokok-pokok boleh membingkai pandangan yang menarik atau menumpukan kepada sesuatu pemandangan yang baik. Dalam masa yang sama, ia juga dapat menapis pemandangan yang tidak diingini dan menyediakan ruang privasi di ruang kawasan luar.

plant material in architecture - screening view
Menapis / skrin pandangan

Mengawal Bunyi

Gabungan pokok luruh dan pokok malar hijau sangat berkesan dalam menyerap dan menapis gelombang bunyi terutamanya apabila digabungkan dengan timbunan tanah, struktur tanah berbukit atau tanah bertambun.

plant material in architecture - pengawalan bunyi
Pokok Mengawal Bunyi

Meningkatkan Kualiti Udara

Pokok-pokok akan memerangkap kotoran seperti habuk atau debu melalui daun-daun pokok dan kemudiannya dibersihkan ke tanah semasa hujan turun. Dalam pada itu, dedaun pokok dapat menyerap gas dan bahan pencemaran lain. Manakala asap dan bau-bauan lain akan diproses melalui proses fotosintesis.

photosynthesis - plant material in architecture
Proses fotosintesis

Menstabilkan Tanah

Struktur akar pokok dapat membantu menstabilkan tanah, meningkatkan kebolehtelapan tanah terhadap air dan udara serta mencegah berlakunya hakisan tanah.

Kesan Pokok dalam Mengurangkan Hakisan

Rujukan: Francis D.K. Ching and Cassandra Adams (Third Edition). Building Construction Illustrated. New York: John Wiley & Sons, Inc.

** Jika anda ada pandangan / tambahan / pembetulan berkenaan dengan tajuk ini, boleh terus maklumkan kepada kami

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *