Diterjemah dan diolah: Azizi MY
Antara aspek penting dalam perancangan pelan tapak ialah dengan menyediakan akses dan laluan pergerakan di pelan tapak untuk pejalan kaki, kenderaan bermotor, kenderaan perkhidmatan dan yang seumpamanya. Ia juga mempengaruhi kedudukan bangunan dan orientasi laluan masuk ke dalam kawasan pembangunan tersebut.
Berikut kriteria asas yang diperlukan untuk laluan pejalan kaki, jalan raya dan tempat letak kenderaan sebagai panduan:

1. Menyediakan akses laluan dan pergerakan yang selamat dan selesa ke pintu masuk bangunan dari kawasan tempat letak kereta, hentian pengangkutan awam dengan jalan lintasan yang minimum
2. Mengenalpasti jumlah tempat letak kenderaan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Perancang Bandar mengikut jenis penghunian, jumlah bilangan unit atau keluasan lantai bangunan.
3. Memastikan tempat letak kereta bagi orang kurang upaya (OKU) mencukupi dan diletakkan di lokasi yang bersesuaian dengan turut menyediakan ramp atau curb cuts untuk memudahkan pergerakan dan laluan merujuk kepada kehendak yang ditetapkan oleh PBT atau Perancang Bandar.
4. Menyediakan ruang muatan bas dan pengangkutan awam lain yang seumpama dengannya.
5. Meletakkan ruang untuk kenderaan servis dan pemunggahan di lokasi yang bersesuaian dan jauh daripada laluan awam dan kenderaan keluar masuk yang sibuk.
6. Menyediakan akses untuk laluan kecemasan seperti ambulan dan bomba.
7. Menentukan lokasi dan kelebaran curb cuts yang diperlukan serta jarak yang betul dari simpang jalan utama.
8. Memastikan garisan laluan jalan yang jelas untuk kenderaan keluar masuk dari jalan utama
9. Menyediakan ruangan untuk landskap termasuk tanaman untuk ruang tempat letak kenderaan.
10. Kawalan akses ke ruangan tempat letak kenderaan seperti sistem parking berbayar, tanda laluan keluar masuk kenderaan dan sebagainya.
11. Membuat cerun di laluan pejalan kaki dan tempat letak kenderaan atau laluan berturap untuk saliran.
12. Perlu diadakan ruangan simpanan peralatan kerja-kerja penyelenggaraan. Jika tempat yang beriklim sejuk, tempat peralatan membuang salji juga perlu disediakan.
Rujukan: Francis D.K. Ching and Cassandra Adams (Third Edition). Building Construction Illustrated. New York: John Wiley & Sons, Inc.
** Jika anda ada pandangan / tambahan / pembetulan berkenaan dengan tajuk ini, boleh terus maklumkan kepada kami