Cerun bukit terdedah kepada hakisan tanah yang boleh disebabkan oleh pergerakan atau larian air di permukaannya. Untuk mengurangkan atau melindungi tanah daripada berlaku hakisan, terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk penstabilan.
1. Penstabilan boleh dilakukan dengan mengalihkan larian air di bahagian atas cerun
2. Membina beberapa siri teres di bahagian cerun untuk mengurangkan halaju larian / pergerakan air
Selain daripada itu, untuk melindungi cerun atau benteng daripada berlaku hakisan ialah dengan membina tembok riprap (rujuk rajah 2) atau gabion.
Riprap ialah lapisan batu yang disusun secara tidak teratur atau pecah-pecah dengan saiz batu yang berbeza atau saiz rawak yang diletakkan di atas tembok cerun yang dibina. Kedalaman lapisan itu pula mestilah lebih besar daripada saiz maksimum batu.
Selain riprap atau gabion, boleh juga menggunakan teknik cribbing walls atau bin walls (Rajah 3) untuk melindungi cerun atau benteng yang curam. Cribbing walls ialah rangka petak yang dibuat daripada sama ada besi, konkrit atau kayu yang dipasang berlapis atau secara bertingkat pada sudut tepat, diisi dengan tanah dan batu.
Bin walls pula ialah sejenis dinding penahan graviti yang dibentuk dengan cara susunan modular bertingkat atau unit-unit konkrit pasang siap yang boleh disambung. Manakala ruang kosong diisi dengan batu hancur dan batu kerikil.’
Teknik gabion. Gabion ialah bakul dawai yang diisi dengan batu dan disusun untuk membentuk struktur penahan atau penyangga untuk menstabilkan benteng seperti gambar di bawah.
Selain menggunakan teknik membina dinding penahan atau penyangga untuk menghalang hakisan, boleh juga menggunakan cara semulajadi seperti tanaman untuk mengurangkan hakisan. Tanaman boleh menutup permukaan cerun atau benteng dan membetuk rangkaian akar untuk mengikat tanah.
—————–
Rujukan: Francis D.K. Ching and Cassandra Adams (Third Edition). Building Construction Illustrated. New York: John Wiley & Sons, Inc.
Diterjemah dan diolah oleh : Azizi MY
** Jika anda ada cadangan / tambahan / pembetulan berkenaan dengan tajuk ini, boleh terus maklumkan kepada kami