Kelantan atau Kelantan Darul Naim sebuah negeri yang terletak di timur laut semenanjung Malaysia. Nama Kelantan berasal daripada perkataan kilatan atau kelam hutan atau gelam hutan. Kelantan yang dikenali sebagai Negeri Cik Siti Wan Kembang atau Serambi Mekah ini mempunyai keluasan 15,040 kilometer persegi dan kedudukannya menghadap Laut China Selatan serta bersempadan dengan Selatan Thailand.

Oleh kerana kedudukannya yang berjiran dengan Thailand, gaya hidup dan budaya masyarakat negeri itu turut dipengaruhi dari negara jiran itu. Contohnya, makanan, pertuturan, pakaian dan sebagainya.

Selain itu, Negeri Kelantan juga merupakan salah sebuah negeri tertua di Malaysia. Dipercayai telah diduduki sejak zaman pra sejarah dengan penemuan beberapa barangan purba di Gua Cha, Gua Musang.

Kelantan juga kaya dengan khazanah warisan yang masih kekal sehingga ke hari ini. Antaranya, dikir barat, wayang kulit, permainan wau, gasing, batik dan sebagainya.

Di Kelantan juga terdapat beberapa senibina bersejarah yang masih dipelihara sehingga kini. Antaranya adalah seperti berikut:

Istana Balai Besar

Foto oleh DZ Creation Studio

Istana Balai Besar sangat terkenal dan menjadi ikonik kepada Negeri Kelantan khususnya Kota Bharu. Ia wujud bersama-sama dengan Bandar Kota Bharu iaitu pada tahun 1844 yang dibangunkan oleh Sultan Muhammad II. Baginda, Sultan juga telah mendirikan sebuah bangunan Istana Balai Besar bagi menggantikan Istana Kota Lama yang pernah dijadikan sebagai tempat bersemayam sultan-sultan sebelumnya iaitu Sultan Muhamad II (1839-1886), Sultan Ahmad (1886-1889), Sultan Muhammad III (1890-1890) dan Sultan Muhammad IV.

Istana Balai Besar telah dibina oleh seorang tukang yang sangat mahir di Kelantan, Muhammad Salleh yang berasal dari Terengganu dan menetap di Pasir Mas, Kelantan, mengetuai pembinaan Istana Balai Besar ini.

Beliau sangat berpengalaman dan berkemahiran dalam kerja-kerja pertukangan pada ketika itu.

Pada tahun 1845, istana ini siap dibina sepenuhnya. Upacara yang pertama sekali diadakan pada ketika itu ialah Majlis Istiadat Menyambut Surat Sejabat atau pengiktirafan daripada Raja Siam kepada Sultan Muhamad II.

Bank Pitis Di Hadapan Istana Balai Besar. Foto Oleh DZ Creation Studio

Kemudian, beberapa penambahan telah dilakukan terhadap Istana Balai Besar seperti balai penghadapan dan bahagian penghadapan. Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan rekabentuk asal bangunan istana tersebut. Sejak tahun 1845 sehingga ke hari ini, Istana Balai Besar telah dijadikan pelbagai upacara rasmi dan adat istiadat diraja.

Walaupun Kota Bharu semakin maju, Istana ini masih kekal dalam keadaan bentuk asalnya dan tetap dipelihara senibinanya kerana ia merupakan salah satu institusi warisan kebudayaan bangsa sangat tinggi nilainya.

Masjid Muhammadi

Foto oleh DZ Creation Studio

Masjid Muhammadi merupakan masjid negeri yang terletak di Kota Bharu, Kelantan. Pada asalnya ia diberi nama Masjid Besar Kota Bharu. Kemudian, ia ditukar kepada nama Masjid Muhammadi bersempena nama Sultan Muhammad IV kerana jasa kepada Negeri Kelantan. Ia dikatakan mula dibina pada tahun 1867, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II yang memerintah Kelantan pada tahun 1837 hingga tahun 1886. Namun, ada pendapat yang mengatakan ianya telah dibina lebih awal iaitu pada zaman Sultan Muhammad I, iaitu sekitar tahun 1801 hingga tahun 1837. Pada asal, ia merupakan sebuah masjid kayu yang dibina di pinggir Sungai Budor sebelum ia dipindahkan atas sebab banjir.

Foto oleh DZ Creation Studio

Kemudian, bangunan masjid daripada kayu itu telah ditukarkan kepada binaan konkrit pada tahun 1922 dan telah dirasmikan pembukaannya oleh KDYMM Baginda Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931. Pada 21 Ogos 1922, Baginda Sultan juga telah menyempurnakan perletakan batu asas masjid.

Keluasan masjid ini ialah 10, 600 kaki persegi (kps) untuk menampung jemaah sehingga 2,400 orang dan mempunyai 4 buah menara dengan ketinggian 70 kaki. Salah satu daripada 4 menara itu dihiasi dengan 4 buah jam besar yang dapat dilihat daripada ke empat-empat penjuru masjid.

Masjid Langgar

Foto oleh DZ Creation Studio

Masjid Langgar atau Masjid D’Raja Long Yunus, Kg. Langgar telah dibina pada akhir tahun 1870. Ia terletak di Kg. Langgar, Kota Bharu, Kelantan. Bersebalahan dengan bangunan masjid ini ialah tapak pemakaman iaitu makam yang dikhaskan untuk kaum kerabat d’Raja Kelantan.

Dari segi senibinanya, ia direka dengan bentuk yang memanjang, dua kali lebih panjang daripada lebarnya. Bumbung direka tiga lapis dengan bahagian puncaknya dihiasi dengan “tebar layar” dan “pemeleh” di bahagian tepi tebar layar ini.

Ruang dalamnya di kelilingi oleh dinding yang diukir. Tiada ruang terbuka disediakan untuk pengudaraan dan pencahayaan semulajadi selain tingkap dan pintu. Di dalam ruang masjid ini, disediakan ruang yang dipanggil sebagai anjung yang luas yang dikhaskan untuk orang kebanyakan. Selalunya ia digunakan untuk tempat membaca dan mempelajari Al-Quran.

Struktur binaan masjid ini dibina daripada kayu cengal keras yang disokong dengan tapak tiang konkrit. Jubin atapnya pula berasal dari Selatan China sewaktu negeri Kelantan terlibat dengan perdagangan di antara China dan Patani. Tiada sebarang menara pada bangunan masjid ini sebaliknya menggunakan sistem beduk tradisional untuk membuat pengumuman atau menyampaikan azan.

Pada Januari 1985, kerja-kerja tambahan dan ubahsuai 3 tingkat telah dilakukan untuk menampung jumlah jemaah yang semakin ramai. Ia siap sepenuhnya pada tahun 1987. Nama Masjid Langgar ini telah ditukar kepada Masjid D’Raja Long Yunus, Langgar pada tahun 2014.

Masjid Kampung Laut

Foto Masjid Kg. Laut di Nilam Puri oleh asrol affandiOriginal uploader was BukanTeamBiasa at ms.wikipedia – Masjid Kampung Laut, Nilampuri, Kelantan, Malaysia on FlickrTransferred from ms.wikipedia, CC BY 2.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=15896171

Masjid Kampung Laut memang sangat terkenal bukan sahaja di Kelantan, tetapi turut dikenali di seluruh negara. Menarik tentang masjid ini ialah, ia dibina sepenuhnya dengan kayu dan tidak menggunakan paku sebaliknya hanya menggunakan teknik pasak. Ia masih kekal dan utuh untuk dijadikan tempat ibadah. Masjid ini bernama Masjid Kampung Laut kerana asalnya ia terletak di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan. Kemudian, ia dipindahkan di Kota Bharu iaitu di Nilam Puri.

Masjid ini merupakan masjid tertua di Kelantan dan antara yang tertua di Nusantara. Ia mula dibina pada abad ke 18 atau sekitar 300 tahun yang lalu oleh pendakwah Islam yang berulang-alik dari Champa dan Jawa dengan bantuan penduduk tempatan. Pada asalnya, ia terletak di Kampung Laut, Tumpat, iaitu di pinggir Sungai Kelantan. Oleh kerana, asas tapak masjid itu tidak kuat dan sering dilanda banjir, malah, sebahagian daripada struktur bangunan masjid ini telah hanyut ketika banjir besar 1966, maka, pada tahun 1968, masjid itu dibuka dan dipasang semula di tapak baru iaitu di dalam kawasan Sekolah Pengajian Tinggi Nilam Puri. Ia dibina semula mengikut senibina asalnya dan menggunakan bahan-bahan lama seboleh yang mungkin. Tetapi, hanya ruang utama masjid sahaja yang dapat didirikan semula.

Pada tahun 1988, masjid ini telah diperbaiki disamping tiang-tiang dan dinding masjid juga dihias dengan ukiran-ukiran kayu. Bangunan masjid ini juga telah menjadi keluasan sekitar 5,200 kps, lebih besar daripada struktur binaan masjid yang asal. Demi memastikan rekabentuk dan binaan asal masjid terus kekal, satu jawatankuasa telah diwujudkan untuk kerja-kerja pengelolaan, membaikpulih dan memelihara bangunan masjid.

Foto Masjid Kampung Laut di Laman Warisan Seni oleh DZ Creation Studio

Pada tahun 2022, Masjid Kampung Laut kembali dipindahkan ke lokasi asalnya iaitu di Kampung Laut, Tumpat dan lokasinya diberi nama, Laman Warisan Seni Kampung Laut. Dikeliling dan kawasan sekitarnya terdapat beberapa kilang pembuatan serunding yang merupakan makanan tradisional masyarakat tempatan.

Foto Masjid Kampung Laut di Laman Warisan Seni oleh DZ Creation Studio

Muzium Adat Istiadat, Istana Jahar

Foto oleh DZ Creation Studio

Istana Jahar telah dibina pada tahun 1887. Ia merupakan Istana Raja Bendahara Long Kundur Bin Sultan Ahmad. Istana ini pernah menjadi tempat persemayaman beberapa sultan termasuk Almarhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV (1920-1944)

Pada tahun 1992, ia telah dijadikan sebagai Muzium Adat Istiadat yang tlah dirasmikan oleh Al-Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 27 Julai 1992. Bangunan ini dikelola oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan pada tahun 2005, ia telah diwartakan sebagai bangunan bersejarah Negeri Kelantan di bawah Akta 645.

Di dalam muzium ini dipamerkan barangan adat istiadat Negeri Kelantan dan beberapa barangan lain yang turut dipamerkan di sini.

Bayaran Masuk, RM2.00 dewasa, RM1.00 kanak-kanak.

Muzium DiRaja, Istana Batu

Foto via TripAdvisor

Muzium DiRaja dahulunya merupakan sebuah Istana yang bernama Istana Batu. Istana ini dipanggil sebagai Istana Batu kerana binaan daripada bahan binaan konkrit. Ini kerana, dua binaan istana seperti Istana Jahar dan Istana Balai Besar dibina daripada bahan kayu. Istana Batu ini telah dibina pada tahun 1939 iaitu ketika zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. Ia dibina khas sebagai hadiah perkahwinan kepada KDYMM Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim (1961-1979) dengan DYMM Tengku Zainab Binti Tengku Muhammad Petra.

Keluarga Almarhum Sultan Yahya Petra perkenan meminjamkan Istana Batu ini dijadikan Muzium DiRaja. Pada tahun 1991, Muzium DiRaja ini telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Lokasi Muzium DiRaja ini terletak di Kota Bharu, dekat dengan Istana Balai Besar, Muzium Kraftangan, Istana Jahar dan Masjid Muhammadi serta tidak jauh dengan Pusat Bandar Kota Bharu dan Restoren terkenal Nasi Ulam Cikgu.

Muzium Perang, Bank Kerapu

Foto oleh DZ Creation Studio

Bangunan Muzium Perang, Bank Kerapu ini juga terletak di Kota Bharu. Berhampiran dengan Masjid Muhammadi, Padang Merdeka dan Muzium Islam. Muzium Perang ini juga dikenali sebagai Memorial Perang Dunia II. Sejarahnya, ia merupakan sebuah bank iaitu “The Mercantile Bank of India Limited” yang beroperasi pada tahun 1912. Kemudian, ketika perang dunia kedua, ia telah dijadikan sebagai Pejabat Polis Rahsia Jepun dan lokap untuk mereka yang anti-Jepun. Selepas perang dunia kedua, ia diambil oleh “The Hongkong & Shanghai Bank”.

nama Bank Kerapu diambil berdasarkan kepada keadaan dinding yang bergerutu. Pada tahun 1981 Kerajaan Negeri Kelantan mengambil alih bangunan tersebut dan pada tahun 1991, “Memorial Perang Dunia II” ditubuhkan. Ia digunakan sebagai tempat pameran kesan-kesan sejarah Peperangan Dunia II (1941-45).

Muzium Islam

Foto oleh DZ Creation Studio

Muzium Islam tidak jauh dengan Muzium Perang, Masjid Muhammadi dan Bangunan bersejarah lainnya. Menurut sejarah, bangunan ini pada asalnya ialah bangunan kediaman bekas Menteri Besar Kelantan, En. Hassan Bin Mohd Salleh (1895-1990). Ia dibina pada tahun 1902 dengan gaya senibina melayu Kelantan.

Pada tahun 1917 hingga tahun 1990, bangunan ini pernah dijadikan sebagai pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu. Bangunan ini kini telah dijadikan sebagai galeri Muzium Islam yang dirasmikan pada tahun 1991.

Senibina Bangunan Lama Lain Yang Terdapat di Kelantan

Selain senibina bersejarah di atas, terdapat juga beberapa bangunan lama terutamanya di kawasan pekan lama yang masih wujud. Ada diantara bangunan itu masih lagi digunakan dan terpelihara. Bagaimanapun, ada sebahagiannya telah pun diubahsuai dan rekabentuk yang asal juga sudah tidak dapat dilihat lagi.

Dalam pada itu, terdapat juga bangunan yang sudah tidak lagi digunakan, sudah roboh dan musnah. Antara lokasi bangunan lama yang masih dapat dilihat di Kelantan ini ialah di Bandar Kota Bharu seperti di Jalan Temenggong, Jalan Hilir Pasar, Jalan Dato’ Pati, Jalan Suara Muda, Jalan Merbau, Pekan Tumpat dan Bandar Pasir Mas.

Walaupun tidak banyak cerita tentang bangunan-bangunan lama di sekitar Kelantan ini, tetapi daripada struktur binaan dan kondisi bangunan itu sendiri sudah cukup membuktikan bahawa ia turut menyimpan 1001 kisah di sebalik kewujudannya termasuklah bagaimana ia dibina, siapa yang membina, bagaimana ia berkembang dan bagaimana kehidupan masyarakat pada ketika itu. Percayalah, sebenarnya ada banyak lagi cerita dan lokasi bersejarah di Kelantan ini yang masih tersimpan rapi.

Bagi memastikan bangunan lama dan bersejarah terus kekal dan terpelihara, satu garis panduan perlu dikuatkuasakan agar bangunan lama dan bersejarah ini dapat dilihat oleh generasi akan datang selain dapat menjadi daya tarikan kepada pelancong luar. Mungkin hanya berapa peratus sahaja dibenarkan untuk tujuan ubahsuai, manakala selebihnya perlu kepada pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan. Bangunan lama yang telah rosak atau telah musnah dipastikan supaya rekabentuk bangunan yang asal dapat dibina semula dengan rekabentuk gaya baru tetapi masih mengekalkan identitinya.

Sumber rujukan tambahan: DOSM, AttractionsInMalaysia, MAIK, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan

** Sekiranya anda ada cadangan / tambahan / pembetulan berkenaan dengan tajuk ini, boleh terus maklumkan kepada kami

No responses yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

July 2022
M T W T F S S
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Tentang Kami

Menulis blog, melukis pelan, melakar pelan, merekabentuk rumah, fotografi senibina. Membantu menyediakan rekabentuk pelan rumah kediaman dan bangunan sehingga kelulusan PBT. Hubungi kami untuk dapatkan bantuan pelukis pelan arkitek.

Temui Kami

  • Bandar Baru Pasir Mas, Kelantan

Masa

  • Hari : Ahad - Khamis
  • Waktu: 9.00 pagi - 5.00 petang
  • 0
  • 8
  • 541,469