Disusun dan diolah oleh : Azizi MY
Rekabentuk rumah banglo sesebuah gaya rumah desa (country house) ini mengandungi empat (4) bilik tidur termasuk satu (1) bilik tidur utama dan empat (4) bilik air. Susun atur rumah banglo 1 tingkat ini mempunyai dua (2) pintu masuk utama. 1 pintu untuk ke ruangan tamu dan 1 pintu lagi untuk ke ruang dapur dan ruang keluarga. Tujuannya, untuk membahagikan antara ruang privasi dan ruang umum. Konsep rekabentuk ini pada asalnya dicadangkan kepada pasangan pemilik dari Tumpat, Kelantan. Bagaimana pun, terdapat beberapa pindaan terhadap konsep ini.
Cadangan rumah ini terdapat dua (2) ruang makan. Satu (1) ruang makan yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu yang mana ianya akan lebih dikhususkan kepada tetamu. Manakala satu (1) lagi terletak di antara ruang keluarga dan bilik tidur dua (2). Ruang dapur pula berada di belakang atau bersebelahan ruang keluarga.
Rumah banglo ini ialah rumah 1 tingkat dan aras lantai dinaikkan kepada ketinggian 450 mm atau 1 kaki setengah dari aras tanah untuk mengelakkan banjir dan supaya rumah kelihatan lebih tinggi.
Bahagian Luaran
Di bahagian luar rumah, disediakan dua (2) ruang anjung. Satu (1) ruang berada sebelum masuk ke ruang tamu, manakala satu (1) lagi berada di hadapan ruang keluarga. Di ruang belakang pula terdapat teres sebagai ruang tambahan untuk bilik dobi seperti bilik sidai pakaian yang tertutup dengan bumbung tingkap kaca. Selain membenarkan cahaya memasuki ke ruang sidai pakaian, ruang itu juga dapat membantu penghuni rumah kediaman menjaga hak privasi.
Saiz dan Ukuran
Rekabentuk rumah ini berkeluasan 2850 kaki persegi atau 264.7 meter persegi. Ukuran kasar panjang dan lebarnya ialah 50′ x 52′ kaki atau 15.250 meter x 15.860 meter. Ukuran bilik tidur pula antara 12′ kaki hingga 21′ kaki termasuk ukuran biik tidur utama.
Bilik Air
Setiap bilik tidur mempunyai akses ke bilik air tetapi bilik tidur 3 berkongsi akses ke bilik air dengan bilik tidur 4. Bilik air 4 pula terletak di antara bilik tidur 4 dan bilik setor. Sebelum akses ke bilik air 4, terdapat satu (1) ruang sebagai bilik basuhan atau bilik dobi.
Pintu Masuk
Terdapat dua pintu masuk iaitu di ruang tamu dan di ruang keluarga / ruang dapur. Pintu masuk di ruang keluarga/ruang dapur dikhususkan untuk ahli keluarga sahaja selain memudahkan penghuni kediaman membawa masuk barangan bahan mentah terus ke ruang dapur. Selain itu, terdapat juga pintu masuk untuk ke ruangan dapur melalui teres belakang iaitu tempat sidai pakaian.
Bukaan Tingkap dan Pintu
Bukaan yang digunakan bagi rumah banglo ini ialah bukaan jenis lebar, luas dan memanjang / labuh. Bukaan yang lebar membenarkan pencahayaan memasuki ruang dalam rumah dengan lebih banyak. Tujuannya untuk menjadikan ruang dalam rumah cerah dan terang. Selain daripada itu, bukaan yang luas juga membantu pengudaraan dan pengaliran pengudaraan yang baik ke dalam rumah. Ruang dalam dapat terus kekal sejuk ketika cuaca panas, kekal berangin dan cerah. Bagaimana pun, setiap bukaan juga perlu dikawal untuk supaya jumlah cahaya/haba dan udara/angin yang masuk tidak terlalu berlebihan. (Rujuk Pengudaraan dan Pencahayaan Semula Jadi)
Rumah DesaHouse
- Jurureka senibina : ZIZI + EUDA STUDIO (Architectural Designer)
- Gaya senibina : Rumah desa (country house)
- Keluasan : 2773 kaki persegi (kps)
- Jumlah tingkat : 1
- Bilik tidur : 4