Rumah Fallingwater oleh Arkitek Frank Lloyd Wright

Disusun dan diolah oleh: Azizi MY

Senibina rumah kediaman Fallingwater atau Fallingwater House merupakan senibina rumah kediaman yang paling terkenal dan termasyhur yang dihasilkan oleh Arkitek terkemuka Frank Lloyd Wright. Rumah yang terletak di Mill Run, Pennsylvania, Amerika Syarikat itu dibina sebagai rumah hujung minggu kepada keluarga Edgar Kaufmann. 

Sejarah Permulaan Rumah Fallingwater

Edgar Kaufmann telah diperkenalkan kepada Arkitek Frank Lloyd Wright oleh anaknya yang pada ketika itu sedang belajar di Wright, Taliesin Fellowship. Pada ketika itu, Frank Lloyd Wright berusia 67 tahun.

Rancangan asal pemilik kediaman Fallingwater itu menjangkakan akan dapat melihat pemandangan air terjun kegemaran mereka, tetapi mereka terkejut dengan cadangan rekabentuk yang ditawarkan oleh Arkitek Wright apabila rumah idaman mereka dicadangkan betul-betul di atas air terjun itu. 

Arkitek Frank Lloyd Wright berhujah yang dia tidak mahu menjadikan air terjun itu sekadar untuk tatapan mata sahaja, tetapi dia terus mahu membawa air terjun itu ke dalam kehidupan seharian keluarga itu. 

Dengan meletakkan terus kediaman di atas air terjun, keluarga Kaufmann akan sentiasa dapat mendengar dan menyedari kehadiran air terjun.

Foto Frank Lloyd Wright via : New York World-Telegram and the Sun staff photographer: Al Ravenna

Pembinaan

Selepas beberapa hujah dan keraguan, akhirnya pembinaan Fallingwater bermula pada tahun 1936. Sebahagian besar pembinaan itu telah siap pada tahun 1937 dan keluarga Kaufmann menduduki rumah itu pada musim luruh.

Projek rumah itu cepat tular pada waktu itu dan sangat tersohor apabila majalah Time memaparkan Arkitek Wright dan lukisan bangunan itu pada muka depan majalah itu pada Januari 1938.

Dalam pada itu, Arkitek Wright juga telah menambah rumah tamu ke tapak itu pada tahun 1939 untuk menampung pengunjung yang ingin tahu tentang Kaufmann.

Idea Arkitek Frank Lloyd Wright

Rumah Fallingwater merupakan karya agung Arkitek Wright yang berusaha untuk menyatukan manusia, senibina dan alam semula jadi. 

Fallingwater timbul dari landskap batu. Teres konkritnya terapung di atas air terjun tetapi masih mengekalkan ruangnya. Bentuknya yang mendatar dan warna kuning tanah menyerlahkan lagi bongkah-bongkah batu di bawahnya. 

Foto : Jack E Boucher, HABS staff photographer

Walaupun ia nampak seperti terapung, sebenarnya ia berpaut pada struktur batu di tengah rumah itu dengan penyangga. Struktur tengah itu ialah pendiang api yang juga titik tumpuan keseluruhan bangunan. Ideanya juga untuk menjadikan ruang dalam dirasakan agak mampat seperti gua tetapi terus mengembang apabila menghampiri kawasan luar.

Rumah Fallingwater membuktikan Arkitek Frank Lloyd Wright bukan arkitek yang ketinggalan zaman tetapi seorang yang terus bersedia mengekori peredaran masa malah melangkaui zamannya. Beberapa projek berprofil tinggi terus datang kepadanya selepas itu, antaranya Muzium Guggenheim di New York City.

Foto via : Daderot

Selepas keluarga Kaufmann menetap di rumah Fallingwater, mereka mula menyedari yang teres utama mula kendur akibat keengganan Arkitek Frank Lloyd Wright menggunakan keluli tambahan selepas dicadangkan oleh kontraktornya. Bagaimana pun, teres itu telah dibaiki dengan menambah kabel keluli.

Pada tahun 1963, rumah Fallingwater telah diamanahkan iaitu bangunan itu dan tanah berdekatan kepada Western Pennsylvania Conservancy oleh anak Edgar Kaufmann selepas kematian ibu bapanya dan kemudiannya, rumah Fallingwater telah dijadikan muzium.

Pengiktirafan

Pada tahun 2019, rumah Fallingwater bersama tujuh bangunan Frank Lloyd Wright yang lain telah dijadikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO. 

Sumber: Britannica

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *