Disusun dan diolah oleh: Azizi MY
Arab Saudi mengumumkan bahawa mereka telah memenangi hak untuk menjadi tuan rumah Asian Winter Games atau Sukan Musim Sejuk Asia 2029 di pusat peranginan Trojena sebagai sebahagian daripada pembangunan Neom.
Direka oleh Zaha Hadid Architects, UNStudio, Aedas, LAVA dan Bureau Proberts, Sukan Musim Sejuk Asia 2029 akan dihoskan di pusat peranginan ski dan aktiviti luar di atas tapak seluas 60 kilometer persegi yang dijangka siap pada tahun 2026 sebagai sebahagian daripada projek Neom iaitu projek tenaga boleh diperbaharui yang sedang dibangunkan di Arab Saudi.
“Trojena akan mempunyai infrastruktur yang sesuai untuk mewujudkan suasana musim sejuk di tengah-tengah padang pasir, untuk menjadikan Sukan Musim Sejuk ini sebagai acara global yang belum pernah berlaku sebelum ini,” jelas ketua eksekutif Neom, Nadhmi al-Nasr.
Pusat peranginan itu akan “menawarkan ski luar sepanjang tahun” sedang dibina sekitar 50 kilometer dari pantai Teluk Aqaba di kawasan pergunungan yang mempunyai ketinggian antara 1,500 meter hingga 2,600 meter. ia juga akan menjadi lokasi pertama di negara itu di mana aktiviti ski luar dapat dilakukan.
Pembangunan itu sedang direka oleh sekumpulan arkitek dari seluruh dunia termasuk arkitek dari UK, Zaha Hadid Architects, UNStudio, Aedas, LAVA dan arkitek Australia, Bureau Proberts.
Pelan induk atau masterplan projek itu disediakan oleh LAVA yang juga merekabentuk projek “futuristic folded-vertical village” iaitu salah satu projek oleh Neom.
Sepanjang perkampungan itu, terdapat juga tasik buatan manusia yang direka oleh Bureau Proberts. Manakala Zaha Hadid Architects menyediakan rekabentuk yang lain pula. Aedas pula ditugaskan merekabentuk perkampungan ski itu sendiri dan UNStudio pula menyediakan siri vila cerun ski.
Secara keseluruhannya, pembangunan itu akan mengandungi lebih daripada 3,600 bilik hotel dan 2,200 rumah.
Projek resort ini merupakan salah satu daripada 10 wilayah yang dibangunakan oleh Neom Arab Saudi. Ia akan bersambung dengan Bandar Mega The Line yang sedang dibina.
Sumber: dezeen