Disusun dan diolah oleh: Azizi MY
Selepas beberapa dekad, akhirnya Battersea Power Station atau Stesen Janakuasa Battersea dibuka kepada orang ramai. Mercu tanda terkenal dunia itu telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan ditemani oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, H.E. Dato’ Zakri Jaafar, dibuka kepada orang ramai selepas proses pemulihan selama lapan tahun. Bangunan bersejarah itu telah disenaraikan sebagai Grade II* dijadikan sebagai pusat membeli belah yang mana di dalamnya terdapat lebih 100 kedai, restoran, apartment dan dilengkapi dengan kawasan riadah disekitarnya.
Grade II** bermaksud bangunan itu mempunyai kepentingan bersejarah dan/atau seni bina tertentu, dan tertakluk kepada peraturan yang melindungi ciri uniknya. Gred II juga bermaksud hartanah yang mempunyai kepentingan sejarah yang istimewa, menjadi keajaiban seni bina atau terletak di kawasan yang mempunyai minat bersejarah. Oleh itu, ia memerlukan sedikit penjagaan tambahan untuk memastikan ia dipelihara dengan sewajarnya. (rujukan: Yopa UK)
Bangunan yang direkabentuk semula oleh Arkitek WilkinsonEyre dimiliki oleh konsortium Malaysia iaitu Sime Darby Properties, SP Setia dan Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP).
Pengunjung boleh menerokai Dewan Turbin Stesen Janakuasa yang telah dipulihkan dengan teliti dan melihat kedai-kedai dari jenama British dan antarabangsa seperti Nike, Uniqlo, Mulberry, Hugo Boss, Theory, Mango, Kedai Buku Battersea dan banyak lagi.
Sejarah Ringkas
Battersea Power Station itu pada awalnya direkabentuk oleh Arkitek Giles Gilbert Scott sekitar tahun 1930an sebelum ditamatkan pengoperasiannya antara tahun 1975 dan 1983. Ia kekal kosong selama 30 tahun sehinggalah ia dibangunkan semula oleh Arkitek WilkinsonEyre untuk dijadikan sebagai pusat komersil dan kawasan kediaman baru di Battersea.
Mengekalkan Keaslian
WilkinsonEyre berhasrat untuk mengekalkan dan menekankan seberapa banyak ruang dan bahan asal stesen janakuasa sepanjang merekabentuk, sambil secara logiknya mengatur pelbagai fungsi besar bangunan memandangkan ia disenaraikan sebagai Grade II.
“Tindak balas senibina utama adalah untuk memperkenalkan campuran kegunaan yang kaya yang menggunakan ruang dengan sewajarnya,” kata pengarah WilkinsonEyre, Sebastien Ricard.
Rekabentuk Secara Umum
Stesen Janakuasa Battersea atau Battersea Power Station ini terletak di London di atas tapak tapak brownfield industri seluas 42 ekar (lebih 8 juta kaki persegi) dengan kos keseluruhan projek bernilai £9 bilion.
Arkitek Terlibat
Keseluruhan projek ini dibahagikan kepada lapan fasa dengan setiap fasa ditugaskan kepada arkitek yang berlainan seperti SimpsonHaugh and Partners dan De Rijke Marsh Morgan (dRMM) di Circus West Village (Fasa 1), WilkinsonEyre di Battersea Power Station (Fasa 2), dan Foster + Partners dan Gehry Partners di The Electric Boulevard, Battersea Roof Gardens dan Prospect Place , (Fasa 3).
Fasa 1, Circus West Village, telah siap pada 2017 dan kini menempatkan lebih 1,800 penduduk, serta gabungan eklektik bar, restoran dan kemudahan riadah, termasuk pawagam dan teater.
Fasa 2 (Battersea Power Station) dibuka kepada orang ramai. Dijadikan sebagai pusat membeli-belah yang baru, kafe dan restoran di kedua-dua Turbin Hall yang bersejarah itu. Disamping di kedua-dua bahagian bangunan terdapat kawasan kediaman.
Bangunan itu boleh diakses melalui dataran menuju ke dewan masuk dengan atrium yang tinggi disebaliknya. Eskalator yang disediakan di dewan masuk ini menuju ke ruang pejabat di tengah bangunan itu, yang akan diduduki oleh Apple.
Setiap tempat mempunyai fungsi yang sesuai untuk mengoptimumkan volum dan akses cahaya semula jadi masuk ke dalam setiap pelusuk bangunan. Boiler House yang di atas pula dijadikan ruang untuk mencipta kreativiti, ruang pejabat terbuka yang fleksibel. Switch Houses pula seperti terkeluar sedikit dan boleh diakses dengan mudah dari bawah. Boleh nampak ia memang kawasan kediaman.
Pusat membeli-belah berada di kedua-dua Turbin Halls dan agak terbuka menjadikan pengalaman yang terbaik kepada pengunjung dari kedai ke kedai yang lain. Kedudukan kedua-duanya berada bersebelahan dengan kawasan kediaman.
Pelaburan £5 bilion
Menteri Pelaburan, Lord Johnson, berkata: “Stesen Janakuasa Battersea ialah contoh cemerlang kuasa positif pelaburan asing. Pelaburan £5 bilion setakat ini oleh Konsortium Malaysia bukan sahaja telah membantu menjana semula mercu tanda ikonik London tetapi juga menambah baik secara besar-besaran sambungan pengangkutan di Wandsworth.
“Paling penting, pembangunan itu mewujudkan beribu-ribu pekerjaan tempatan, merentasi pembinaan, peruncitan dan hospitaliti. Ia merupakan bukti nyata kepada perkongsian perdagangan dan pelaburan kami yang berkembang maju dengan Malaysia dan kepentingan perdagangan untuk mewujudkan pekerjaan dan memacu pertumbuhan.”
Pelaburan Baharu Selepas 40 Tahun
Datuk Bandar London, Sadiq Khan berkata: “Sebagai warga London Selatan sepanjang hayat, saya amat gembira melihat Stesen Janakuasa Battersea yang ikonik membuka pintunya buat kali pertama dalam tempoh empat puluh (40) tahun sebagai tambahan baharu kepada landskap membeli-belah dan hiburan London yang berkembang maju.
“Pembangunan semula mercu tanda London abad ke-20 ini telah membantu menyediakan pelaburan baharu, hubungan pengangkutan penting dan pekerjaan untuk penduduk tempatan. Battersea Power Station kini akan memberi nafas baharu kepada bahagian London ini – menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan ekonomi kami ketika kami membina London yang lebih baik untuk semua orang.”
Kebanggaan Malaysia
Dato’ Jagan Sabapathy, Pengerusi Syarikat Induk Projek Battersea turut berkata yang pembukaan Stesen Janakuasa Battersea merupakan titik perubahan bagi kejiranan tepi sungai ini dan kemuncak kerja keras dan dedikasi selama sepuluh tahun. Dengan membuka semula bangunan berprestij ini sangat bermakna kepada warga London dan dunia, menunjukkan apa yang boleh dicapai oleh rakyat Malaysia, bekerja secara kolaboratif dengan rakan kongsi dari seluruh dunia. Ia adalah projek yang membanggakan seluruh Malaysia sambil mengharap akan lebih ramai yang akan datang melawat.
Battersea Power Station ini boleh diakses melalui pengangkutan awam seperti bas, kereta api, tiub dan bot.
Sumber: dezeen, batterseapowerstation
** Sekiranya terdapat tambahan/pembetulan terhadap kandungan di atas, boleh terus maklumkan kepada kami