Disusun dan diolah: Azizi MY
Seperti yang dilaporkan oleh News Strait Times, Gamuda Bhd telah memperoleh kontrak kereta api bernilai RM2.13 bilion di Taiwan.
Syarikat itu telah mengumumkan yang mereka telah dilantik sebagai kontraktor utama bagi Pakej CJ18 Stesen Komuter PingZhen oleh Biro Kereta Api Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Taiwan bernilai RM2.13 bilion.
Gamuda berkata dengan perkembangan pesat bandar TaoYuan baru-baru ini dan pelan infrastruktur strategik kerajaan, jajaran bawah tanah baharu itu akan mengoptimumkan penggunaan tanah di daerah PingZhen.
Projek itu dijangka meningkatkan mobiliti dan mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi oleh penduduk TaoYuan. Projek itu akan membina landasan kereta api berkembar bawah tanah sepanjang 3.73 kilometer dengan stesen komuter bawah tanah di PingZhen. Ia dijangka siap dalam tempoh 96 bulan.
Projek pembinaan itu akan dilaksanakan oleh usaha sama tidak diperbadankan 60:40 antara Gamuda dan Asia World Engineering & Construction Co. (AWEC), masing-masing.
Projek pertama Gamuda di Taiwan ialah pakej 3.86 kilometer dari Laluan Transit Aliran Massa Metropolitan Kaohsiung sepanjang 43 kilometer.
Projek Gamuda yang sedang berjalan di Taiwan antaranya ialah termasuk pembinaan dan penyiapan Jambatan Marin sepanjang 1.23 kilometer di Guantang, dan sambungan jambatan sepanjang 376 meter; tembok laut sepanjang 4,014 meter di Pelabuhan Taipei.
Sumber: MSN News