Jika disebutkan tentang Korea semua orang tahu. Para peminat Korea bertebaran di seluruh dunia. Minat terhadap Korea itu bukan sahaja terhadap industri hiburan, tetapi juga kepada perkara yang lain juga. Antaranya, makanan, budaya, gaya fesyen, bahasa dan banyak lagi. Pengaruh budaya dari Korea ke seluruh dunia boleh dikatakan sangat kuat sekali. Contoh terdekat, di negara kita sendiri, ada begitu banyak premis makanan Korea dibuka terutamanya di pusat membeli-belah dan di pusat-pusat bandar seluruh negara. Termasuklah produk ‘mi ramen’ yang lengkap dengan cop halal.
Bandaraya Seoul
Seoul ialah ibu negara dan bandar metropolis terbesar di Korea Selatan dan merupakan bandaraya yang ke 16-terbesar di dunia berdasarkan kepada populasinya yang terlalu ramai. Ekonomi di Seoul Korea membangunan dengan sangat pesat sehingga sekarang. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terlalu banyak senibina moden hebat dan bangunan pencakar langit di bina di sini berbanding waktu sebelumnya.
Berikut adalah beberapa tempat yang wajib dikunjungi oleh arkitek dan peminat senibina moden apabila berkunjung ke Seoul, Korea.
Leeum Samsung Museum
Muzium Seni Leeum Samsung sebuah tempat yang menggabungkan karya seni tradisional dan moden oleh artis Korea dan antarabangsa. Ia merupakan galeri senipaling terkenal di Seoul. Bangunan muzium ini direka oleh 3 arkitek yang bekerjasama iaitu OMA, Mario Botta dan Jean Nouvel merekabentuk kompleks seni yang disatukan dengan baik. Ada 3 bangunan berbeza dalam satu kawasan.
Setiap muzium mempunyai galeri masing-masing. Muzium 1 direka oleh Arkitek Mario Botta. ialah koleksi artifak tradisional Korea dengan atrium tangga di tengah sebagai identitinya. Muzium 2 oleh arkitek Jean Nouvel, yang menyediakan tempat untuk pelbagai karya daripada artis kontemporari antarabangsa dan Korea. Ruang dewan utama adalah ruang terbuka sepenuhnya.
Rem Koolhaas pula menyediakan rekabentuk untuk Pusat Pendidikan & Kebudayaan Kanak-kanak Samsung. Ia adalah ruang yang besar dengan tiang konkrit tinggi dengan fasad kaca. Laluan utama ke lobi Muzium 1 adalah melalui struktur kaca Koolhaas. Ada tanjakan kayu (ramp kayu) untuk dilalui oleh para pengunjung apabila memasuki muzium. Koolhaus menggunakan pilotis yang bukan sahaja membenarkan lebih banyak cahaya tetapi juga untuk memberikan pemandangan bangunan dan tapak sekitarnya. Fasad bangunan tiga tingkat itu terdiri daripada keluli dan kaca.
Dongdaemun Design Plaza (DDP)
Salah satu bangunan yang hebat di Bandar raya Seoul ialah Dongdaemun Design Plaza (DDP). Jika lihat kepada senibina bangunan ini, rasanya anda sudah tahu siapakah arkitek bangunan ini. Rekabentuk bangunan yang berani dengan lengkungan halus ini telah direka oleh arkitek terkemuka dunia, Zaha Hadid. Bangunan yang terletak di Jung-gu, Seoul ini telah siap pada tahun 2014 dengan keluasan lantai 89,574 m².
DDP merupakan projek awam pertama yang menggunakan teknologi 3D BIM atau 3-Dimensional Building Information Modelling (BIM) dan alat digital yang lain dalam pembinaan. Ciri-cirinya adalah unik dan sangat kontemporari dan neo-futuristik, melambangkan kuasa dan keanggunan. Kompleks ini menempatkan pelbagai dewan pameran dan kedai kraf, serta tempat untuk persembahan, seperti Minggu Fesyen Seoul dwi-tahunan.
EWHA Woman’s University
EWHA Woman’s University atau dikenali sebagai ECC oleh pelajar Ewha, terletak di dalam landskap, membentuk pintu masuk besar ke bangunan melalui laluan “seperti lembah”. Landskap hijau terletak di atas struktur bangunan itu yang indah menjadi antara daya tarikan unik untuk dikunjungi.
Bangunan ini direka oleh Arkitek Dominique Perrault dan sangat sesuai dengan perkataan “bangunan”, “landskap” dan “arca”.
Bangunan ini dirasmikan pada tahun 2008. Kampus ini sebahagian besar strukturnya berada di bawah tanah, tetapi tetap terang secara semula jadi, terbuka dan lebih lapang.
Jong-No Tower
Bangunan Jong-no Tower ini jika dilihat dari luar tiada yang istimewa berbanding bangunan lain. Ia nampak hanya sebuah bangunan pejabat biasa sahaja. Ia sebenarnya sebuah bangunan pejabat 33 tingkat dengan ketinggian sekitar 132 meter. Bahagian atas terdapat sebuah struktur cincin besar dan disokong dan dihubungkan oleh struktur lift.
Di tingkat teratas dipenuhi dengan restoran dan bar yang terkenal dengan pemandangan daerah Jong-no dan kawasan lain di Seoul. Direka oleh Arkitek Rafael Vinoly seorang arkitek dari Uruguay.
Seoul City Hall (Dewan Bandaraya Seoul)
Bangunan lama Dewan Bandaraya Seoul telah dijadikan Perpustakaan Metropolitan Seoul. Ini berikutan untuk memberi laluan kepada bangunan serba baru dengan senibina moden dan futuristik.
Bangunan baru ini telah disiapkan pada tahun 2012. Jika dilihat kepada senibina bangunan ini di bahagian depan, ia kelihatan seperti gelombang ombak laut yang tinggi. Ruang dalamnya pula sangat hebat untuk dilihat dan diteliti. Ada ruang sisi yang meninggi ke atas dan banyak lagi sangat hebat untuk dikunjungi.
Dinding Hijau adalah tarikan yang paling popular di bangunan Dewan Bandaraya Seoul. Merentasi kawasan seluas 1,516m2, seluas padang bola sepak, taman hijau menegak ini memanjat dinding dalaman, dari tingkat pertama hingga ke tujuh. Ia telah disenaraikan dalam Guinness World Records sebagai taman menegak terbesar di dunia.
Direka oleh Arkitek KERL YOO, jumlah keluasan lantai bangunan dewan bandaraya ini ialah 90,743m², termasuk bangunan dewan bandaraya lama, yang kini menjadi Perpustakaan Metropolitan Seoul.
62 peratus daripadanya ialah pejabat kerajaan. Manakala ruang orang ramai ialah 38 peratus. Bangunan ini sangat cekap, kerana ia dibina dengan sistem fasad kulit berganda. Kira-kira 28.3 peratus daripada tenaga yang digunakan dalam bangunan itu datang daripada sumber tenaga mesra alam, termasuk fotovoltaik, terma suria dan geoterma. Rujukan
The 63 Building
Bangunan ini dinamakan 63 Building kerana jumlah tingkatnya iaitu 3 tingkat di bawah tanah, 60 tingkat di atas tanah. Dibuka pada tahun 1985, Bangunan Insurans Korea merupakan adalah salah satu bangunan yang paling terkenal di Seoul kerana fasadnya yang keemasan dan menjadi salah satu menara tertinggi di bandar.
Ia dibuat tepat untuk menjadi simbol Sukan Olimpik 1988. Tingkat atas adalah rumah kepada pameran seni dan ruang awam yang serupa, yang memberikan pemandangan penuh bandar. Direka oleh Arkitek SOM, bangunan ini mempunyai keluasan lantai 166,207 meter atau 545,299 kaki dengan ketinggian 249 meter atau 817 kaki.
Pulau Terapung Buatan
Pulau Terapung atau Pulau Sebitseoum bermaksud 3 pulau yang bersinar menerangi Sungai Hangang. Pulau Terapung ini merupakan ruang budaya terapung pertama di dunia bertemakan bunga dipanggil Vista, Viva dan Terra.
Pulau Terapung juga sangat popular untuk hiburan malam di Korea Selatan, mempunyai lampu LED berwarna-warni dan cantik yang memantulkan Sungai Hangang, menjadikannya lokasi penggambaran popular untuk pelbagai drama dan filem.
Sebitseom terdiri daripada tiga pulau bercahaya. Nama pulau ini ialah Gavit, Chavit dan Solvit. Bersama Yevit, tempat yang menayangkan pelbagai klip video.
Pulau Gavit (Vista) sebuah pulau seni persembahan. Ia mengandungi dewan persembahan dan yang terbesar daripada tiga pulau buatan. Ia disediakan untuk acara festival, konsert dan kebudayaan dan boleh memuatkan sehingga 700 orang dalam satu masa.
Pulau Chavit (Viva) ialah ruang untuk kebudayaan dan persembahan kebudayaan. Ini termasuk hiburan dan juga pameran.
Pulau Solvit (Terra) ialah pulau riadah air dan yang terkecil daripada tiga pulau. Sudah tentu, ciri menariknya termasuk banyak aktiviti masa lapang seperti sukan air dan gelongsor air.
Samsung Town
Bandar Samsung ini terletak di daerah Gangnam merupakan tempat yang menempatkan ibu pejabat Samsung. Di sini terdapat 3 bangunan khusus untuk ibu pejabatnya. Setiap satunya merupakan setiap jabatan, iaitu, Samsung Electronics, Samsung Life Insurance dan Samsung C&T. Ia merupakan salah satu destinasi yang wajib dikunjungi oleh arkitek.
Kring Kumho Culture Complex
Dengan fasad bersalut keluli dan gelombang sepusat seperti tingkap bulat, Kompleks Kebudayaan Kring Kumho salah satu bangunan yang wajib anda kunjungi. Direka oleh Arkitek Unsangdong, strukturnya adalah eksperimen dan futuristik dalam bentuk sebenar. Kompleks ini menempatkan bilik persidangan, ruang pameran dan pejabat.
Keluasannya 4110 m².
Sumber disusun dan diolah daripada: rethinking the future
* Jika terdapat pembetulan/pindaan/tambahan maklumat, sila maklumkan kepada kami