Foster + Partners Memenangi Pertandingan Rekabentuk Lapangan Terbang CPK di Poland

Arkitek Foster + Partners dan Buro Happold telah diumumkan sebagai pemenang untuk pertandingan merekabentuk lapangan terbang CPK yang baru, yang terletak di antara Warsaw dan Łódź, di Poland. Projek ini dikatakan sebagai pertukaran pengangkutan abad ke-21, yang mana ia menggabungkan pengangkutan udara, kereta api dan jalan raya.

Idea rekabentuk ini ialah untuk mencapai keseimbangan antara kecekapan operasi, tanggungjawab alam sekitar dan ekspresi simbolik yang mencerminkan identiti nasional negara itu. Rekabentuk lapangan terbang itu pada asalnya untuk menampung sehingga 40 juta penumpang bagaimana pun ia diubah supaya dapat memenuhi sasaran 65 juta penumpang pada 2060.

IMEJ VIA ARCHDAILY

“Kami percaya bahawa projek ini akan merevolusikan sepenuhnya perjalanan ke seluruh negara dan seterusnya. Bentuk senibina tenunan disengajakan dan ditonjolkan dengan kuat. Ia boleh membentuk bangunan dan membawa penumpang melalui ruangnya, di samping berfungsi sebagai rujukan simbolik yang kuat kepada warisan budaya Poland yang kaya dan kesatuan rakyatnya”. Kata Grant Brooker, Ketua Studio, Foster + Partners.

Rekabentuk lapangan terbang CPK berpusat di sekitar plaza dengan kehijauan dan menerima cahaya semula jadi yang banyak. Plaza itu mewujudkan hubungan antara mod pengangkutan utama seperti pengangkutan udara, kereta api, dan jalan raya. Sebagai titik fokus, projek ini mewujudkan sambungan yang cekap dan mudah dinavigasi, sekali gus memudahkan penumpang untuk memilih kaedah perjalanan.

IMEJ VIA ARCHDAILY

Bentuk bumbung berkubah di atas plaza secara langsung mengarahkan penumpang dari plaza ke arah pesawat dengan mudah. Konsep ini menumpukan kepada pengalaman penumpang, yang bertujuan mewujudkan persekitaran yang boleh diakses dan inklusif.

IMEJ VIA ARCHDAILY

Susun aturnya lebih kepada cara ia berfungsi dan fleksibel kerana pertukaran aras yang diminimumkan untuk membenarkan aliran penumpang yang lancar dan dapat dioptimumkan. Pemandangan terbuka ke ruang landskap sekelilingnya juga membantu kepada peredarannya dalamannya. Rekabentuk lapangan terbang itu juga akan menggunakan sistem modular dan pasang siap yang dapat disesuaikan dengan keperluan operasi yang sentiasa berubah.

IMEJ VIA ARCHDAILY

Salah satu projek lapangan terbang oleh Foster + Partners yang sedang dalam pembinaan ketika ini ialah di Arab Saudi iaitu The Red Sea International Airport. Buro Happold pula telah bekerjasama dengan BIG dan HOK untuk rekabentuk Lapangan Terbang Global Zurich, dan dengan OMA untuk mencipta rekabentuk untuk Pusat Kesihatan Daerah Al Daayan di Doha, Qatar.

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *