Stefano Boeri Architetti, bersama ARUP, Fabio Novembre, dan Balich Wonder Studio, telah melancarkan rekabentuk untuk Stadium Milan yang baru iaitu International Forest Stadium. Projek yang terletak di kawasan San Siro di bandar itu, mempunyai keluasan lebih 800 hektar merupakan sebahagian daripada sistem “Daerah Sukan dan riadah”. Ia dirancang untuk mengubah daerah San Siro menjadi pusat kecemerlangan dalam konteks sukan Eropah.
Projek ini direka untuk kegunaan awam dan separa awam sebagai tambahan kepada kemudahan sukan. Projek itu mengandungi pejabat, hotel, pusat persidangan dan ruang komersial, semuanya bertujuan untuk meningkatkan gabungan fungsi kawasan dan menggalakkan penggunaan bangunan yang berterusan.

Konsep projek ini ialah hutan, pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan mengelilingi padang dan tempat penonton. Ideanya untuk menggabungkan bola sepak dan hutan. Bangunan ini direka untuk menempatkan 5,700 meter persegi bumbung hijau, 7,000 meter persegi fasad hijau dengan 3,300 pokok, dan 56,300 pokok renek daripada 70 spesies berbeza. “Hutan bandar” ini dijangka dapat menyerap 162 tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun disamping membantu membersihkan udara, menyerap habuk halus, dan menurunkan suhu tempatan dengan mengurangkan kesan haba bandar. Permukaan fotovoltaik dan kajian teliti terhadap pengurusan air dan sisa melengkapkan imej arena serba tenaga dan mesra alam.

Akses dan Ruang Tersendiri
Di dalam stadium, fungsi pengedaran dalaman ditentukan oleh aliran penonton, pekerja, ahli sukan, pelawat, dan VIP. Setiap kategori pengguna mempunyai ruang dan laluan sendiri yang tidak bercampur pengguna lain. Beberapa fungsi dalam stadium juga direka supaya dapat diakses oleh komuniti setempat seperti kawasan komersial, muzium, gim, bar dan restoran. Bahagian atas terdapat trek larian yang membenarkan pengguna untuk berjalan dan berlatih.
Menara Cahaya, mercu tanda bercahaya untuk pasukan Milan, cahaya akan berubah warna bergantung kepada pasukan di atas padang. Bertepatan dengan model “Satu stadium untuk Dua”.

Persekitaran projek ini direka bagi menghormati sejarah Stadium Meazza. Ada ruang peringatan yang terbuka untuk orang ramai, cerita, lagenda dan sebagainya. Inisiatif gabungan ini adalah untuk mewujudkan gelanggang sukan sebagai mercu tanda baru senibina sukan di bandar.

