Banjir: Papan ACP, gam silikon selamatkan rumah dari banjir

Idea yang timbul sebelum rumah dinaiki air berjaya menyelamatkan sebuah rumah di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, dimasuki air.

Menurut Zuhri Taib, dia menggunakan papan aluminium composite panel (ACP) lebihan atap tambahan (awning) rumahnya dan dilekatkan menggunakan gam silikon akuarium untuk menutup lima pintu termasuk pintu bilik air.

Idea memasang APC itu selepas melihat inisiatif mangsa banjir yang menggunakan plastisin untuk menutup lubang rumah dari dimasuki air tidak berjaya.

“Saya belum pernah lihat orang buat macam ni sebelum ini dan kebetulan idea ini datang daripada rakan-rakan yang menyarankan supaya cuba guna gam silikon.

“Waktu pasang papan ni air dah naik paras tangga rumah dan ketika itu saya rasa rumah saya sudah tidak Selamat.

“Mujurlah kelima-lima pintu iaitu pintu depan, pintu tepi, pintu belakang dan dua pintu bilik air berjaya ditutup dalam tempoh satu jam lebih,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di kediamannya, baru-baru ini.

Ketinggian papan yang perlu dipasang bergantung kepada jangkaan paras air yang mungkin memasuki rumah.

“Kos bahan yang digunakan pun tidak begitu mahal dalam RM300 sebab papan ACP agak mahal namun bagi saya, ia berbaloi berbanding terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan harta benda.

“Ia juga tidak membazir kerana ACP tahan lama, boleh disimpan semula jika tidak digunakan dan boleh pasang semula,” Katanya.

“Saya bersyukur dan berpuas hati kerana rumah tidak dimasuki air walaupun air bergenang melepasi paras pintu rumah.

Dia turut menyarankan kepada rumah mereka yang bersesuaian dengan kaedah ini untuk sediakan peralatan ini dan pasang sebelum air naik.

“Penduduk di perumahan Taman Desa Tanjung Damai (fasa ke-4) kali pertama berdepan bencana banjir kerana kawasan ini ditambun lebih tinggi.

“Saya pun baru setahun duduk di sini dan ini adalah kali pertama berlaku banjir dan kawasan rumah dinaiki air. Sebenarnya saya tak jangka air akan masuk ke dalam rumah,” katanya.

Namun, ini adalah salah satu kaedah yang boleh digunakan ketika berhadapan banjir. Bukan cara yang mesti digunakan. Mungkin ada lagi kaedah lain yang lebih berkesan untuk menghalang air banjir memasuki rumah lebih-lebih lagi di saat-saat akhir sebelum air naik.

Cara yang paling baik ialah perbaiki pengurusan saliran air dan perparitan oleh pihak berkenaan supaya masalah banjir dapat dibendung dan tidak menyusahkan rakyat di masa akan datang.

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *