Bonggol yang dibina di laluan utama dekat Universiti Selangor (UniSel) seksyen 7, Shah Alam telah menyebabkan beberapa kereta yang tidak menyedari kewujudan bonggol tersebut melambung dan hampir hilang kawalan.
Video klip yang dikongsikan di media sosial twitter dan tiktok menunjukkan beberapa kenderaan ‘terbang’ selepas melanggar bonggol tersebut. Walaupun di dalam video tersebut tidak berlaku kemalangan namun, kenderaan yang melambung tinggi dikhuatiri mengalami kerosakan ketika ‘mendarat’ semula di atas jalan raya. Ini kerana kedengaran bunyi yang agak kuat selepas itu.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof meminta pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan sewajarnya dengan segera bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Saya telah maklumkan ke Ahli-Ahli Majlis MBSA @sacitycouncil sebaik menerima aduan/berita mengenai bonggol ini.
“Tindakan segera mesti diambil untuk elak kemalangan,” ciapnya dengan perkongsian video pengguna Twitter dikenali dengan nama Abang Kiah di laman Twitternya.
Difahamkan pihak MBSA telah meletakkan papan tanda amaran di laluan berkenaan pada petang Ahad sebelum selesai mengecat jalur kuning pada sebelah malamnya.
Perubahan tersebut belum disedari oleh pengguna jalan raya yang menyebabkan pemandu memandu pada had kelajuan biasa.
*Nota: Gambar sebelum wujud bonggol