Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan memastikan pelaksanaan rangkaian 5G akan segera disambung sementara menunggu ia disemak semula. Lapor FMT.
Menurutnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mahu ada sebarang gangguan dalam pelaksanaan itu projek.
“Beliau mahu ia dilakukan secepat mungkin. Negara lain sudah laksanakan dan ada negara yang sudah merancang mengenai 6G, jadi kita perlu cepat supaya ia dilaksanakan segera,” katanya.
Sebelum itu, Perdana Menteri, DS Anwar berkata pelaksanaan rangkaian 5G perlu disemak semula kerana ia dilakukan “tanpa proses tender yang sewajarnya”.
Bagaimana pun, Digital Nasional Berhad (DNB), berkata, proses tender untuk rangkaian itu dilakukan dengan telus dan diuruskan firma akauntan terkenal Ernst & Young.
Berkenaan dengan sama ada DNB akan diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital atau Kementerian Kewangan, Fahmi berkata, Jemaah Menteri akan memutuskan perkara itu.
“Ketika ini Jemaah Menteri memutuskan kedua-dua kementerian akan memantau situasi.
“Terdapat banyak perkara yang perlu kita lihat. Jadi beri kami sedikit masa dan kami akan memberi lebih penjelasan pada minggu depan,” katanya.
Tahun lalu, Tengku Zafrul Aziz yang juga bekas menteri kewangan mengumumkan semua syarikat telekomunikasi utama telah menandatangani perjanjian dengan DNB iaitu pembekal tunggal operator rangkaian 5G Malaysia.
Syarikat telekomunikasi yang dimaksudkan itu ialah Maxis, U Mobile, Celcom Axiata, Digi Telecommunications, YTL Communications dan Telekom Malaysia (TM).
Maxis, bagaimana pun, dilaporkan mahu mendapatkan persetujuan pemegang saham sebelum memasuki perjanjian dengan DNB.
Sebelum itu, Fahmi telah mengumumkan pertukaran nama kementeriannya kepada Kementerian Komunikasi dan Digital yang mana sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Sumber Imej – Image by pikisuperstar on Freepik