Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes letupan yang menyebabkan kematian seorang pelayan di Pandan Indah, di sini, Khamis lalu direman tujuh hari.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 33 tahun dan isterinya berusia 30 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada malam Selasa.
Kedua-dua suspek terbabit direman hari ini (Rabu) sehingga 10 Jan.
Kejadian itu dipercayai bermotifkan rasa cemburu lelaki berkenaan terhadap mangsa.
Dalam kejadian pada 29 Dis lalu, media melaporkan seorang mangsa berusia 28 tahun maut selepas bungkusan yang diletakkan pada bonet keretanya meletup di tempat kejadian di hadapan sebuah restoran yang menjadi tempat kerjanya.
Siasatan awal mendapati mangsa telah melihat bungkusan pada Toyota Corolla Altis miliknya dan memegangnya sebelum ia meletup.
Letupan itu mengakibatkan kecederaan parah di badan dan lengannya sebelum orang awam membawanya ke Hospital Ampang. Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam selepas dirawat akibat kecederaannya.
Polis menemui beberapa objek dipercayai bahan letupan yang digunakan berhampiran tempat kejadian namun masih menyiasat perkara itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.