Jalan Gerik-Jeli Antara Yang Dibincangkan Bersama PM

Kos bernilai RM80 Juta diperlukan untuk penggantian struktur laluan Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak-Jeli, Kelantan. Perkara itu dibincangkan delegasi kerajaan negeri Perak bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masalah jalan tersebut perlu tindakan segera kerana keadaan jalan yang membimbangkan dan berbahaya kepada pengguna jalan raya tersebut.

Pada Jun tahun 2022, beliau turun padang Bersama Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk melihat kerosakan teruk di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya berkenaan.

“Walaupun kerja-kerja penurapan sudah dilakukan, tetapi ia tidak memadai kerana kerja-kerja menggantikan keseluruhan struktur jalan mesti dilakukan tetapi ia menelan kos yang agak tinggi iaitu kira-kira RM80 juta.

“Namun saya dan rakan-rakan dalam kerajaan negeri tidak berputus asa. Hari ini, saya bersama delegasi kerajaan negeri Perak berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyuarakan beberapa isu yang perlu tindakan segera termasuk pembinaan semula Lebuh raya Timur Barat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook Saarani Mohamad pada Selasa.

Saarani berkata, pertemuan dengan Anwar di Perdana Putra, Putrajaya memberi peluang kepada delegasi kerajaan negeri Perak berkongsi pelbagai perkara.

Perkara yang diutarakan melibatkan hal-hal pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Perak dan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dan pertimbangan oleh kerajaan Persekutuan.

“Sepanjang pertemuan itu, Perdana Menteri memberi respon yang sangat positif yang memungkinkan perancangan kerajaan negeri untuk rakyat dan negeri dapat dilaksanakan.

“Saya yakin hubungan harmoni kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus diperkukuh demi rakyat,” katanya.

Imej via MSN

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *