PHM Minta PM Campur Tangan Penerokaan Kledang Saiong

Parti Hijau Malaysia (PHM) meminta Perdana Menteri untuk campur tangan berhubung dakwaan rancangan projek ladang kayu hutan dalam kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong.

Menurut Zabri Mokhtar, langkah segera perlu dilakukan kerana dibimbangi projek di kawasan seluas 4,280 hektar itu memberi impak besar terhadap ekosistem alam sekitar.

Katanya, pembersihan hutan bakal menyebabkan kehilangan tadahan hujan tropika dan habitat bagi beberapa jenis hidupan liar yang dilindungi dan terancam.

“Projek yang berskala besar ini juga bakal menjejaskan kehidupan harian, sumber air dan punca pendapatan kira-kira 200 masyarakat orang asli Bukit Chermin yang terletak 200 meter dari kawasan projek.

“Jadi PHM menggesa agar Perdana Menteri atas kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen Tambun untuk masuk campur menolak projek ladang kayu hutan ini demi menjaga alam sekitar di negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

PHM membantah sekeras-kerasnya rancangan Perak untuk melaksanakan projek ladang kayu hutan berkenaan dan meragui pelaksanaan projek itu.

“Kami menerima maklumat, kawasan itu pada asalnya adalah bagi projek penanaman buluh, tetapi sekarang berubah kepada penamaan pokok kayu hutan secara besar-besaran,” katanya yang turut merancang untuk menghantar memorandum berkaitan perkara itu kepada pihak Istana.

Pada 28 Disember tahun lalu,Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengumumkan sedang menyemak laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek itu, yang dibuka untuk tatapan umum sehingga 26 Januari.

Menurut laporan EIA, projek itu bertujuan menanam hasil hutan dalam bentuk kayu – dengan eucalyptus, khaya dan kelampayan menjadi pilihan utama.

– Sinar

Imej via MSN

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *