Gempa bumi paling kuat melanda Turki dan Syria dalam tempoh hampir satu abad mengorbankan lebih 2,300 orang pada Isnin.
Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada awal pagi, diikuti oleh berpuluh-puluh gempa susulan, memusnahkan seluruh bandar-bandar utama Turki yang dipenuhi dengan berjuta-juta penduduk.
Penyelamat bertungkus untuk mengalihkan runtuhan untuk mencari mangsa yang terselamat, dalam beberapa keadaan boleh mendengar mangsa meminta bantuan di bawah serpihan runtuhan.
“Sejak saya tinggal di zon gempa bumi, saya biasa digoncang,” kata Melisa Salman, seorang wartawan di bandar Kahramanmaras, Turki.
“Tetapi itu adalah kali pertama kami mengalami apa-apa seperti itu,” katanya kepada AFP.
“Kami fikir ia adalah kiamat.”
Ketua Pusat Gempa Bumi Kebangsaan Syria, Raed Ahmed, menyifatkannya sebagai “gempa bumi terbesar yang direkodkan dalam sejarah”.
Sekurang-kurangnya 810 orang terbunuh dalam bahagian yang dikawal kerajaan di Syria, kata media kerajaan dan sumber perubatan, sementara Turki melaporkan sebanyak 1,498 lagi kematian.
Gempa bumi itu diikuti puluhan gempa susulan, termasuk gegaran berukuran 7.5 magnitud yang menggegarkan rantau itu ketika kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dilakukan.
Mangsa yang terselamat di Turki bergegas keluar ke jalan-jalan yang dilitupi salji.
“Tujuh anggota keluarga saya berada di bawah serpihan,” kata Muhittin Orakci, mangsa yang terselamat di bandar Diyarbakir di Turki, kepada AFP.
“Kakak saya dan tiga anaknya ada di sana. Dan juga suaminya, bapa mertuanya dan ibu mertuanya.
Penyelamatan menjadi lebih sukar disebabkan oleh ribut salji musim sejuk yang meliputi jalan-jalan utama di dalam ais dan salji.
Akibat daripada itu, tiga lapangan terbang utama di kawasan itu tidak boleh beroperasi, seterusnya merumitkan penghantaran bantuan penting.
Gegaran besar pernah melandaTurki pada tahun 1939, berukuran 7.8 magnitud yang telah mengorbankan 33,000 orang di timur wilayah Erzincan.
Gempa bumi pertama semalam melanda pada 4:17 pagi (0117 GMT) pada ke dalaman kira-kira 18 kilometer (11 batu) berhampiran bandar Gaziantep, Turki, yang merupakan rumah kepada sekitar dua juta orang, kata Kajian Geologi AS.
Sementara itu, Institut Geologi Denmark berkata, gegaran telah melanda pantai timur Greenland kira-kira lapan minit selepas gegaran yang berlaku di Turki.
Salah seorang mangsa yang terselamat, Osama Abdel Hamid memberitahu, keluarganya sedang tidur ketika gegaran berlaku.
“Saya bangunkan isteri dan anak-anak saya dan kami berlari ke arah pintu,” katanya. “Kami membukanya dan tiba-tiba semua bangunan runtuh.”
Jurucakap pertahanan awam Syria berkata, pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
“Banyak bangunan di bandar-bandar dan kampung-kampung yang berbeza di barat laut Syria runtuh… Malah kini, banyak keluarga berada di bawah runtuhan,” kata Ismail Alabdallah.
Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia semua segera menghantar ucapan takziah dan tawaran bantuan.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menawarkan untuk memberikan “bantuan yang diperlukan” kepada Turki.
Imej di televisyen Turki menunjukkan penyelamat menggali runtuhan di seluruh pusat bandar dan kawasan perumahan di hampir semua bandar besar yang berjalan di sepanjang sempadan dengan Syria.
Beberapa kemusnahan paling teruk berlaku berhampiran pusat gempa antara Kahramanmaras dan Gaziantep, di mana seluruh blok bandar ranap dalam runtuhan di bawah salji.
Sebuah masjid terkenal sejak abad ke-13 turut runtuh sebahagiannya di wilayah Maltaya, di samping sebuah bangunan 14 tingkat dengan 28 pangsapuri yang menempatkan 92 orang juga runtuh.
Di bandar-bandar lain, catatan media sosial menunjukkan sebuah istana atas bukit berusia 2,200 tahun yang dibina oleh tentera Rom di Gaziantep juga ranap, sebahagian dindingnya bertukar kepada runtuhan.
“Kami mendengar suara di sini – dan di sana juga,” seorang penyelamat terdengar seperti berkata di televisyen NTV di hadapan sebuah bangunan rata di bandar Diyarbakir.
“Mungkin terdapat 200 orang di bawah runtuhan.”
Kementerian Kesihatan Syria melaporkan kerosakan di seluruh wilayah Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus, di mana Rusia menyewa kemudahan tentera laut.
Wartawan AFP di utara Syria berkata penduduk yang ketakutan berlari keluar dari rumah mereka selepas tanah bergegar.
Malah sebelum tragedi itu, bangunan-bangunan di Aleppo, yang pernah menjadi hab komersial sebelum perang Syria, sering runtuh akibat infrastruktur usang, mengalami kekurangan pengawasan semasa perang.
Pemotongan bekalan gas asli dan kuasa dilakukan di seluruh rantau ini sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk menutup sekolah selama dua minggu.
“Saiz gempa susulan, yang mungkin berterusan selama beberapa hari walaupun kebanyakannya berkurangan, membawa risiko keruntuhan struktur yang sudah lemah oleh peristiwa sebelumnya,” kata David Rothery, pakar gempa bumi di Universiti Terbuka di Britain.
“Ini menjadikan usaha mencari dan menyelamat menjadi berbahaya.”
Turki berada di salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia.
Wilayah Duzce, Turki mengalami gempa bumi bermagnitud 7.4 pada tahun 1999, apabila lebih daripada 17,000 orang mati – termasuk kira-kira 1,000 di Istanbul.
Pakar-pakar telah lama memberi amaran gempa bumi besar boleh memusnahkan Istanbul, sebuah megalopolis yang mempunyai 16 juta penduduk yang dipenuhi dengan rumah rosak. — AFP
– NST, IMEJ