Sekurang-kurangnya 2,530 orang terkorban dan lebih 4,500 lagi cedera di Syria dalam satu siri gempa bumi kuat yang berpusat di selatan Turki. Kementerian Kesihatan rejim Syria berkata, sekurang-kurangnya 1,250 orang terkorban dan 2,045 yang lain cedera di wilayah Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus, lapor Agensi Anadolu.
Sementara itu, di kawasan yang dikawal oleh pembangkang di barat laut Syria, sekurang-kurangnya 1,280 orang mangsa dilaporkan terkorban dan lebih 2,600 yang lain cedera, angka yang disusun oleh Pertahanan Awam Syria, Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria dan sumber kesihatan tempatan yang lain.
Sebilangan besar bangunan juga musnah atau rosak di kawasan yang dikuasai pembangkang di utara Syria, di mana pasukan penyelamat mencari mangsa yang terselamat.
Di Turki, Agensi Anadolu melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 7,108 orang terbunuh dan 40,910 yang lain cedera setakat ini.
Lebih 96,670 pasukan mencari dan menyelamat sedang menjalankan operasi di lapangan, kata Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) dalam satu kenyataan.
“Hasil rundingan dengan Kementerian Luar Turki, sebanyak 5,309 kakitangan yang datang dari negara lain untuk bantuan telah dihantar ke kawasan bencana,” tambahnya.
Selain pasukan penyelamat, selimut, khemah, makanan, dan pasukan sokongan psikologi turut dihantar ke kawasan yang terjejas.
Sebanyak 70,818 khemah keluarga didirikan untuk menempatkan mangsa yang terselamat, kata AFAD.
Ia menambah bahawa 5,434 kenderaan, termasuk jengkaut, traktor dan dozer, dihantar ke kawasan bencana.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan pantas, Türkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah, termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye, dan Sanliurfa.
“Kami menghadapi salah satu bencana terbesar bukan sahaja dalam sejarah Republik Turki tetapi juga geografi kami dan dunia,” kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada hari Selasa. – Bernama
– Imej via