Peniaga OKU dapat rumah dari Yang di-Pertuan Agong

Peniaga kedai runcit Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Khairi Othman,47 dari Kampung Tanjung Pulai di sini menzahirkan kegembiraannya selepas menerima kejutan besar apabila ditawarkan sebuah rumah oleh Seri Paduka Baginda, Agong.

“Pada mulanya saya sangka Tuanku hanya datang untuk bertanya khabar namun penghujung pertemuan ternyata ada rezeki buat saya dan keluarga.

“Tuanku kata hendak beri saya sebuah rumah memandangkan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diduduki ketika itu terlibat banjir.

“Kecil tapak tangan, nyiru saya ditadahkan,” itu yang keluar dari mulut saya selepas mendengar tawaran Tuanku itu,” katanya.

Mohd Khairi merupakan penerima rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (Yasa) yang diserahkan sendiri Seri Paduka Baginda dalam satu majlis di sini pada Rabu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, turut hadir pada majlis itu.

“Sebelum ini saya menerima rumah PPRT namun dibina atas tanah milik ahli keluarga namun kini impian itu menjadi kenyataan atas keprihatinan Tuanku.

“Rumah ini dibina kira-kira dua bulan lalu dan diserahkan hari ini (Rabu),” katanya.

Rumah yang mesra OKU itu turut dilengkapi ruang untuk kedai runcit diusahakan Mohd Khairi.

Selain mengusahakan kedai runcit, dia juga turut turun ke sungai sebagai nelayan darat untuk mencari pendapatan samping.

“Sebelum ini saya pernah mengusahakan ternakan ikan sangkar namun usaha itu terpaksa dihentikan selepas sangkar musnah akibat banjir besar beberapa tahun lalu.

“Hendak mulakan kembali, modal diperlukan besar jadi saya terpaksa cari sumber pendapatan lain dengan menjalankan perniagaan secara kecilan,” katanya.

– Imej via Sinar

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *