Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperuntukkan RM1.467 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk membangunkan infrastruktur yang kukuh dan berkesan melalui pelaksanaan projek pembetungan di seluruh negara.
Menterinya berkata, pelaksanaan projek itu bagi memastikan keselamatan air dapat direalisasikan di bawah Transformasi Sektor Air 2024.
“Ini akan membolehkan rakyat mengakses sistem bekalan air dan sanitasi yang berpatutan, boleh dipercayai, mencukupi, bersih dan berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Loji Rawatan Kumbahan Berpusat (LRK) Langat dan Taman Eko Langat di sini hari ini.
Beliau berkata projek itu selaras dengan teras strategik Malaysia iaitu memastikan kesejahteraan rakyat dan Matlamat Pembangunan Mampan iaitu meningkatkan akses kepada bekalan air bersih dan sanitasi.
Mengenai Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat dan Taman Eko Langat, beliau berkata ia adalah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang menelan belanja RM1.595 bilion.
“Loji itu meliputi kawasan tadahan seluas 77.6 kilometer persegi termasuk Cheras Batu 11, Cheras Jaya, Kampung Baiduri, Kajang 1 dan 3 dengan kapasiti loji rawatan kumbahan 920,000 Setara Penduduk,” katanya.
Beliau berkata kenaikan itu telah dimaklumkan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) pada 20 April tahun lepas , berkenaan dengan kenaikan tarif perkhidmatan pembetungan bersambung dan mengosongkan tangki septik bagi kategori domestik.
Kenaikan antara RM5 hingga RM8 sebulan berkuat kuasa 1 Oktober 2022 iaitu bagi perkhidmatan mengosongkan tangki septik. Sebanyak RM2 bagi perkhidmatan sambungan berkuat kuasa 1 Januari 2023. – BERNAMA
Sumber imej