TELOSA, Projek Mirip THE LINE Versi Amerika Syarikat

Satu lagi projek bandar mega, Telosa, diumumkan bakal menjadi projek bandar futuristik padang pasir di Amerika Syarikat yang mempunyai persamaan dengan projek The Line, Arab Saudi.

Projek Telosa yang bernilai sekitar $400 bilion dollar itu dikatakan sebuah projek bandar futuristik yang serupa dengan projek NEOM, The Line milik Arab Saudi dari segi skala dan tujuan projek itu dibina.

Bandar Futuristik

Projek Telosa akan dibina di tengah padang pasir di Amerika Syarikat sama seperti NEOM, yang akan menyediakan sebuah bandar besar futuristik yang lengkap dengan infrastruktur dan dirancang dengan penuh teliti termasuk jalanraya dan kemudahan untuk kenderaan elektrik. Bandar itu akan menjadi sebuah bandar yang cekap dan mempunyai sebuah urus tadbir yang mampan.

Bandar Telosa ialah pembangunan terancang yang bukan sahaja sebuah bandar raya masa depan, tetapi juga untuk menjadi model yang baru untuk masyarakat. Ia sama seperti projek mega, Neom Arab Saudi. Bandar-bandar besar yang dirancang ini adalah sebagai tindak balas kepada masalah yang timbul di dunia hari ini seperti lebihan penduduk, pencemaran dan perubahan iklim.

Pentakrifan Semula Bandar Mampan

Mentakrifkan semula maksud sebuah bandar adalah tujuan projek ini dilaksanakan. Ia mampan, berdaya tahan, inklusif dan saksama untuk semua penduduknya.

Nama Telosa berasal dari perkataan Yunani kuno telos yang jika diterjemahkan, ia membawa bermaksud “tujuan terbesar”.

Projek Telosa pertama kali didedahkan kepada umum pada September 2001, yang dicetuskan oleh jutawan Amerika, Marc Lore. Ia diumumkan selepas dia meletak jawatan sebagai presiden dan CEO syarikat peruncitan Amerika, Walmart.

Matlamat Marc Lore

Dalam pengumumannya, Marc Lore menyatakan matlamatnya yang sangat bercita-cita tinggi iaitu mewujudkan sebuah bandar Telosa seperti yang dirancang. Melalui projek berwawasan ini, beliau berhasrat untuk “mewujudkan masa depan yang lebih saksama dan mampan yang boleh menjadi pelan tindakan generasi akan datang”.

“Kami mempunyai peluang untuk membuktikan model baharu untuk masyarakat yang menawarkan kualiti hidup yang lebih tinggi dan peluang yang lebih besar kepada orang ramai. Apabila saya melihat 30 tahun dari sekarang, saya membayangkan Ekuiti berfungsi sebagai pelan tindakan untuk bandar-bandar lain – dan juga dunia – dan Telosa menjadi tempat kebanggaan bagi semua yang tinggal di sana”. – Kata Marc Lore.

Arkitek Bjarke Ingels Imej Via dezeen

Arkitek yang bertanggungjawab di sebalik Telosa ialah arkitek Denmark yang terkenal di dunia, Bjarke Ingels yang sebelum ini pernah ditugaskan oleh Toyota untuk mencipta sebuah bandar pintar masa depan yang lebih kecil di Jepun. Menurut Lore, konsep Telosa ialah untuk mewujudkan sebuah bandar yang pada asasnya disediakan untuk masyarakat atau orang ramai. Setakat ini, lebih daripada 50% penduduk di dunia kini tinggal di bandar dan dijangka akan meningkat sebanyak 70% menjelang tahun 2050.

TOYOTA, Woven City Imej via Dezeen

Oleh sebab itu, bandar telah menjadi pusat sangat penting untuk pendidikan, penyelidikan dan peluang ekonomi untuk berjuta-juta orang di dunia. Menurut Lore, memang benar, kehidupan bandar memberikan banyak manfaat kepada segelintir masyarakat tetapi tidak semua orang mendapat manfaat secara langsung daripada pembangunan itu. Ini disebabkan oleh jurang kekayaan yang semakin meningkat.

Kesamarataan

Dia sangat mengimpikan sebuah bandar yang semua orang mempunyai peluang yang sama, tidak kira latar belakang sosioekonomi atau budaya mereka. Untuk mencapai visi ini, sistem ekonomi yang dikenali sebagai ekuiti dirancang. Ideanya ialah untuk mewujudkan sebuah komuniti di mana rakyat akan mendapat manfaat secara langsung daripada pertumbuhan sesebuah bandar. Dalam sistem ini, Telosa akan memiliki semua tanah bandar itu, manakala warganya diberi kebebasan untuk membina dan menjual rumah di atas tanah ini.

Untungnya, apabila bandar itu berkembang, nilai tanah juga akan turut berkembang bersamanya. Dana yang dijana ini kemudiannya akan dilaburkan semula ke bandar ini melalui perkhidmatan awam, pengangkutan, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Dengan itu memenuhi visi ekuiti di mana semua rakyat mempunyai akses yang sama kepada perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Lokasi

Lokasi untuk bandar Telosa belum lagi diputuskan, namun, orang di belakangnya merancang untuk membina bandar di tanah padang pasir yang terdapat di Amerika Barat antaranya di Nevada, Utah, Idaho, Arizona atau Texas. Pertimbangan lain adalah untuk bandar itu dibina di sekitar Wilayah Appalachian di sebelah timur.

Sebab-Sebab Pemilihan Kawasan Padang Pasir

Salah satu sebab utama keputusan untuk membangunkan bandar itu di kawasan padang pasir ialah kerana terdapat banyak tanah belum dibangunkan yang murah dan mudah didapati di Barat Amerika. Dengan perancangan Telosa untuk membayar balik nilai tanah yang meningkat kembali kepada perkhidmatan bandar, tanah murah ini berpotensi untuk membayar semula apabila bandar itu berkembang dari semasa ke semasa.

Halangan

Walaupun tanah untuk projek Telosa mungkin datang pada harga yang agak murah, membina sebuah bandar metropolis yang sibuk di tengah padang pasir bukanlah usaha yang paling ideal atau paling bijak. Sebagai contoh, Projek Neom dan The Line di Arab Saudi telah menunjukkan dengan jelas tentang permasalahan ini, yang turut akan dihadapi oleh Telosa jika ia dibangunkan kelak. Projek Neom pada awalnya dijangka dapat menyiapkan sebahagian projek itu menjelang tahun 2020 tetapi telah dilanjutkan kepada tahun 2050. Ini telah menunjukkan yang pembinaan Neom sudah terkebelakang dari jadual asalnya.

Membangunkan tanah gurun memerlukan kepada pembinaan kemudahan operasi untuk menempatkan peralatan dan kakitangan pembinaan yang bersesuaian dengan keadaan iklim. Beberapa masalah lain yang sedang dihadapi oleh projek Neom dan projek The Line pada ketika ini ialah suhu tinggi, ketersediaan air dan kesan tenaga pembinaan keseluruhan bandar dalam persekitaran yang agak keras.

Tenaga Boleh Perbaharui

Telosa juga akan dikuasakan sepenuhnya oleh sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Setiap bangunan di bandar akan mempunyai sel fotovoltaik yang dipasang di atas bumbung mereka.Turbin angin pula akan diletakkan secara strategik merentasi sempadan bandar yang akan menyediakan kapasiti tambahan untuk menggerakkan Telosa.

Imej via dezeen

Bandar ini dirancang untuk menjana lebih banyak kuasa daripada apa yang digunakannya, menjadikannya sebuah bandar yang berdikari terutamanya penjanaan kuasa elektrik. Di samping itu, di tengah-tengah bandar Telosa akan dibina Menara Ekuiti, sebuah struktur tertinggi di bandar ini yang berfungsi sebagai mercu tanda ikonik bandar itu. Menara itu akan menempatkan dek pemerhatian, sistem penyimpanan air bertingkat dan ladang aeroponik yang akan membekalkan bandar dengan hasil segar.

Perbandingan Konsep Dengan Projek The Line

Satu lagi ialah rekabentuk bandar dan sistem pengangkutan yang membolehkan penduduk sentiasa berada dalam jarak 15 minit berulang-alik dari lokasi dan perkhidmatan utama seperti pejabat, sekolah, taman, kedai dan restoran. Tidak seperti The Line yang akan berpaksikan pejalan kaki sepenuhnya dengan tumpuan pada transit massa. Telosa akan menggunakan gabungan sistem transit yang dirancang dengan teliti dan kenderaan elektrik autonomi. Bandar ini akan menggunakan konsep “superblock” perancangan bandar di mana trafik yang lebih padat tertumpu di sempadan blok manakala basikal dan EV yang bergerak perlahan akan diberi keutamaan di jalan dalam.

Ini sekaligus dapat mencapai dua matlamat iaitu memastikan orang ramai boleh bergerak di antara blok dengan mudah dan seterusnya, supaya kawasan perumahan akan berada padsa jarak yang cukup jauh dari jalan-jalan utama untuk mengelakkan bunyi bising yang berlebihan. Pembinaan Telosa akan dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama dijangka siap pada tahun 2030.

Kos Perbelanjaan Keseluruhan

Buat masa ini, bandar itu akan mampu menempatkan seramai 50,000 penduduk di dalam kawasan seluas 6 kilometer persegi. Fasa kedua pembangunan pula bertujuan untuk membina sepenuhnya seluruh bandar dalam tempoh empat puluh tahun akan datang. Bandar Telosa akan menjadi sebesar bandar San Fracisco tetapi dengan lebih daripada enam kali penduduknya tinggal di kawasan yang sama. Secara keseluruhan, projek itu dianggarkan akan menelan kos sebanyak $400 bilion dollar US untuk disiapkan.

Pembiayaan

Bagaimana pun, pembiayaan projek Telosa ini tidak sama seperti projek The Line, milik Arab Saudi. Ini kerana, pembiayaan projek Telosa adalah bergantung kepada pelabur swasta yang berpotensi dan geran kerajaan. Manakala, projek The Line dibiayai sepenuhnya oleh kekayaan Saudi dan juga daripada kerajaan Arab Saudi sendiri dengan anggaran perbelanjaan sebanyak $500 bilion USD.

Halangan terbesar bagi projek Telosa oleh Marc Lore ini ialah pembiayaan yang besar. Jadi, ia memerlukan usaha untuk meyakinkan para pelabur kerajaan dan swasta untuk meminjamkan dana berbilion dolar walaupun Telosa berjanji untuk menjadi sebuah bandar yang berbeza. Lebih menyukarkan lagi apabila pembinaannya masih belum dimulakan lebih setahun selepas ia diumumkan oleh Marc Lore.

Optimis

Tetapi Marc Lore dan pasukannya masih optimis dan berazam untuk memastikan visi mereka tentang bandar yang paling mampan dan inklusif di dunia dapat dicapai menjelang tahun 2030.

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *