UKBS 1984: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Perkara-perkara yang perlu ditunjukkan di dalam lukisan pelan senibina
Mengemukakan pelan bangunan bukan sekadar menyediakan pelan lantai sahaja, tetapi ia merangkumi beberapa perkara yang mesti dinyatakan di dalam pelan sebelum ia dapat diterima oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Antaranya ialah pelan tapak atau lot tapak cadangan yang lengkap dengan nombor lot, pelan bangunan, pelan sisi bangunan, kedudukan tapak, jalan masuk, jarak dengan garisan sempadan, cadangan perparitan dan laluan masuk.
Selain itu, ukuran bangunan seperti panjang dan lebar sesuatu bangunan itu mestilah dinyatakan dinyatakan dengan jelas, menyatakan bukaan seperti pintu dan tingkap, saiz bata, arah aliran sistem perparitan atau longkang, nama-nama ruang dan sebagainya.
Berdasarkan kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian II, di bawah tajuk Pengemukaan Pelan-Pelan Untuk Diluluskan, Perkara No. 10, Pelan-pelan yang dikehendaki.
Berikut ialah perkara-perkara yang perlu ada di dalam pelan bangunan atau pelan pembangunan yang dicadangkan untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
10. Pelan-pelan yang dikehendaki.
(1) Semua pelan berkenaan dengan sesuatu bangunan hendaklah, melainkan tidak berkenaan, mengandungi yang berikut:
(a) suatu pelan tapak yang menunjukkan-
(i) tapak lot bangunan yang dicadangkan itu bersama dengan nombor lot dan nombor seksyennya;
(ii) jalan masuk ke tapak itu dari jalan dan nama jalan itu;
(iii) jaraknya daripada tengah dan tepi jalan yang ditunjukkan dengan terang atas salah satu daripada pelan-pelan itu;
(iv) jika dikehendaki oleh pihak berkuasa tempatan dimensi lot itu;
(v) garisan-garisan lengkap bagi saliran air permukaan dan air kotor dan takat kadar alir parit-parit yang dicadangkan itu dengan sempadan-sempadan;
(vi) skel, titik Utara dan nombor-nombor lot atau bangunan yang bersampingan;
(vii) dimensi kelegaan di antara bangunan yang dicadangkan itu dengan sempadan-sempadan;
(viii) semua garis pelarasan tanah atau bangunan yang dicadangkan untuk membaikkan jalan, sungai atau saliran dan yang seumpamanya, jika berkenaan, menunjukkan lebar jalan baharu atau jalan baharu yang dicadangkan itu serta sambungannya dengan jalan awam yang berhampiran sekali;
(ix) paras tanah tapak yang sedia ada dan yang dicadangkan.
(b) suatu pelan lantai bagi tiap-tiap tingkat kecuali apabila tingkat-tingkat lain itu adalah bersamaan atau serupa, yang mengandungi maklumat berikut-
(i) dimensi berangka mengenai panjang dan lebar bangunan itu dan bilik-biliknya dan ketebalan dinding-dindingnya;
(ii) dimensi berangka mengenai ruang buka semua pintu dan tingkap, kawasan telaga udara yang mendapat cahaya matahari, kawasan belakang dan ruang-ruang terbuka bangunan itu;
(iii) dimensi berangka di antara dinding-dinding, tembok-tembok sambut dan tiang-tiang besi di atas pelan atas tapak bangunan itu;
(iv) garisan saliran kekal tapak itu dengan anak-anak panah yang menunjukkan arah alirannya, parit-parit yang ke dalamnya ia disalur keluar dan saiz parit-parit itu;
(v) nama dan kegunaan bilik-bilik
(c) muka-muka keratan lintang, membujur dan muka-muka keratan lain untuk menggambarkan dengan nyata binaan bangunan itu dan menunjukkan-
(i) paras tanah yang sedia ada dan paras tanah baharu yang dicadangkan jika paras tapak itu hendak ditinggi atau direndahkan;
(ii) paras jalan, parit sisi jalan dan jalan kaki lima (jika bangunan itu bersempadanan dengan jalan);
(iii) lebar dan dalamnya asas tapak dan ketebalan dinding, dinding sekat dan lantainya;
(iv) tingginya tingkat, tangga, pintu, tingkap dan lubang pengudaraannya;
(v) saiz, tempat letak dan arah gelegar lantai dan rasuk dan binaan bumbungnya; dan
(vi) bahan-bahan yang hendak digunakan dalam pembinaan struktur itu.
(d) tampak depan, belakang dan sisi yang menunjukkan-
(i) paras lorong jalan kaki, jalan kaki lima, jalan yang bersimpangan dan paras bahagian sama yang dicadangkan;
(ii) sebahagian daripada tampak bangunan bersampingan yang sedia ada menunjukkan paras lantai, kepala tembok utama, parapet dan tinggi berandanya;
(iii) bahan-bahan yang dicadangkan untuk dinding, tingkap dan bumbung, jika berkenaan dan boleh dilihat.
(2) Orang berkelayakan atau pemunya atau penduduk itu, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah memberi pihak berkuasa tempatan apa-apa maklumat tambahan sebagaimana dikehendaki oleh pihak berkuasa tempatan itu.
(3) Semua pelan hendaklah sama ada dicetak dengan terang dan tidak boleh dipadam atau dilukis dengan warna hitam dan bahan-bahan yang berlainan ditunjukkan dengan warna-warna tertentu dan semua struktur yang sedia ada ditunjukkan dengan warna neutral.
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [P.W. 5178/85] (Hingga 1HB November 2015), Bahagian II, Pengemukaan Pelan-Pelan Untuk Diluluskan, Perkara No. 10, Pelan-pelan yang dikehendaki. Muka Surat 22, 23 & 24.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Imej via Freepik