UKBS 1984: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984

Apa itu pancang tanda?
Pancang tanda yang dimaksudkan di sini ialah kerja-kerja pemancangan di tapak binaan. Pancang tanda bermaksud kerja-kerja penandaan di tapak untuk menunjukkan titik awal dan titik akhir kerja-kerja pembinaan. Ia sangat penting untuk menentukan lokasi yang tepat sebelum memulakan binaan supaya tidak berlaku kesalahan semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan.
Mengikut pelan yang diluluskan
Apa yang paling penting ialah kerj-kerja penandaan mesti mengikut pelan tapak yang telah diluluskan. Ia termasuk jarak anjakan bangunan dengan sempadan lot, kedudukan bangunan, tiang dan sebagainya.
Apabila kerja-kerja pemancangan di tapak siap dan mengikut pelan tapak yang diluluskan oleh PBT maka, orang yang berkelayakan hendaklah memaklumkan dengan mengemukakan Borang C kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pindaan atau Ubahsuai Binaan
Sekiranya berlaku pindaan atau pembinaan tidak mengikut pelan tapak yang telah diluluskan, orang yang berkelayakan hendaklah mengemukakan pelan pindaan atau pelan baru yang mengikut ubahsuai di tapak binaan sebelum binaan itu siap sepenuhnya.
Merujuk kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian II, di bawah tajuk Pengemukaan Pelan-Pelan Untuk Diluluskan, Perkara No. 23, Notis siapnya pancang tanda.
23. Notis siapnya pancang tanda
(1) Sebaik sahaja selepas pemancangan tanda bangunan itu disiapkan, orang berkelayakan itu hendaklah memberi notis bertulis kepada pihak berkuasa tempatan dalam Borang C sebagaimana dinyatakan dalam Jadual Kedua Undang-Undang Kecil ini, memperakui bahawa sama ada pemancangan tanda itu telah dijalankan mengikut pelan tapak yang diluluskan atau, jika ada sesuatu penyimpangan daripada pelan tapak yang diluluskan itu, bahawa dia mengakujanji untuk mengemukakan sejumlah pelan-pelan tapak pindaan yang dikehendaki itu untuk diluluskan sebelum bangunan itu siap.
(2) Dalam mana-mana hal orang berkelayakan itu hendaklah memperakui bahawa dia bersetuju menerima tanggungjawab sepenuhnya bagi mempastikan supaya semua kehendak perancangan bandar dan bangunan dipatuhi.
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [P.W. 5178/85] (Hingga 1HB November 2015), Bahagian II, Pengemukaan Pelan-Pelan Untuk Diluluskan, Perkara No. 23, Notis siapnya pancang tanda. Muka Surat 28.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Imej via Freepik