UKBS 1984: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Perakuan kelayakan menduduki bangunan atau Certificate of Fitness for Occupation (CF) adalah dokumen perakuan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak yang berwajib, seperti pihak berkuasa tempatan yang memperakui bahawa bangunan atau struktur yang dibina itu telah siap dan memenuhi syarat-syarat dan selamat untuk digunakan.
Merujuk kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian II, di bawah tajuk Pengemukaan Pelan-Pelan Untuk Diluluskan, Perkara No. 25, Perakuan kelayakan menduduki.
Pengeluaran perakuan ini biasanya dibuat sebelum bangunan itu boleh diduduki sama ada untuk perniagaan, pejabat, kediaman, hospital dan yang seumpama dengannya. Perakuan akan dikeluarkan selepas proses melawat tapak dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan termasuk pemeriksaan struktur, kebakaran, elektrik, anjakan bangunan dan sebagainya.
Perakuan kelayakan menduduki bangunan (CF) adalah penting untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penghuni dan pengguna bangunan. Perakuan ini boleh digunakan sebagai rujukan untuk tujuan insurans dan penilaian hartanah.
Bagaimana pun, selepas tahun 2007, Perakuan Kelayakan Menduduki (CF/CFO) telah digantikan dengan Perakuan Siap dan Pematuhan atau Certificate of Completion and Compliance (CCC). Ini disebabkan oleh proses untuk mendapatkan CF terlalu panjang dan lama sehingga menyebabkan kelewatan.
25. Perakuan kelayakan menduduki (CF)
(1) Perakuan kelayakan menduduki sesuatu bangunan hendaklah diberi jika-
(a) Orang-orang berkelayakan semasa kerja itu dialankan telah memperakui dalam Borang E sebagaimana dinyatakan dalam Jadual Kedua Undang-Undang Kecil ini bahawa mereka telah mengawasi pembinaan bangunan itu, dan sepanjang pengetahuan dan kepercayaan mereka bangunan itu telah dibina mengikut undang-undang kecil ini dan apa-apa syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan dan mereka bersetuju menerima tanggungjawab sepenuhnya mengenai bahagian-bahagian yang berkaitan dengan mereka masing-masing dan pihak berkuasa tempatan atau seorang pegawai yang diberi kuasa secara bertulis olehnya bagi maksud itu telah memeriksa bangunan itu.
(b) Semua perkhidmatan perlu, termasuk jalan akses, pandangan darat, tempat letak kereta, parit, pemasangan alat-alat kebersihan, air dan elektrik, lif bomba, pili bomba dan lain-lain jika dikehendaki, kehendak-kehendak pembentungan dan pembuangan sampah telah disediakan.
(c) apabila berpuas hati dengan kehendak di bawah sub-perenggan (a) dan (b) pihak berkuasa tempatan hendaklah mengeluarkan perakuan kelayakan menduduki kepada orang berkelayakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pengemukaan Borang E.
(d) sekiranya orang berkelayakan tidak menerima perakuan kelayakan menduduki daripada pihak berkuasa tempatan dalam tempoh yang ditetapkan, permohonan bagi perakuan kelayakan menduduki hendaklah disifatkan telah diluluskan.
(e) pihak berkuasa tempatan kemudian hendaklah mengeluarkan perakuan kelayakan menduduki kepada pemilik bangunan.
(2) Tiada apa-apa pun yang terkandung dalam Undang-Undang Kecil ini boleh mencegah pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa secara bertulis olehnya bagi maksud itu daripada memeriksa apa-apa kerja bangunan pada mana-mana peringkatnya dan menarik perhatian kepada apa-apa penyimpangan daripada pelan yang diluluskan atau tidak mematuhi mana-mana Undang-Undang Kecil in yang didapatinya dan daripada memberi notis secara bertulis memerintahkan supaya penyimpangan ini diperbetulkan.
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [P.W. 5178/85] (Hingga 1HB November 2015), Bahagian II, Pengemukaan Pelan-Pelan Untuk Diluluskan, Perkara No. 25, Perakuan kelayakan menduduki. Muka Surat 29.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Imej via Freepik