UKBS 1984: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Perakuan Siap dan Pematuhan
Perakuan siap dan pematuhan atau Certificate of completion and compliance (CCC) merupakan dokumen yang dikeluarkan oleh orang yang berkelayakan atau orang yang mengemukakan (Principal Submitting Person – PSP) yang memperakui bahawa bangunan yang dibina itu sedia dan selamat untuk diduduki. PSP terdiri daripada Arkitek, jurutera profesional dan pelukis pelan berdaftar1.
PBT masih terlibat
Walaupun CCC dikeluarkan sendiri oleh PSP, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga turut terlibat dalam proses pengeluaran CCC itu dengan melakukan pemeriksaan dan memastikan pembinaan telah mengikut pelan yang telah diluluskan. PBT juga berhak untuk menahan pengeluaran CCC jika terdapat binaan yang telah siap tidak mematuhi kehendak-kehendak yang ditetapkan.
Merujuk kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian II, di bawah tajuk Pengemukaan Pelan-Pelan Untuk Diluluskan, Perkara No. 25A, Perakuan siap dan pematuhan.
25A. Perakuan siap dan pematuhan.
(1) Suatu salinan perakuan siap dan pematuhan dalam Borang F dalam Jadual Kedua hendaklah diberikan kepada pemilik rumah berasingan yang dibina secara tunggal apabila orang yang berkelayakan telah memperakukan dalam Borang F bahawa-
(a) dia telah mengawasi pembinaan dan penyiapan rumah berasingan yang dibina secara tunggal itu dan bahawa sepanjang pengetahuan dan kepercayaannya rumah berasingan yang dibina secara tunggal itu telah dibina mengikut Undang- Undang Kecil ini;
(b) syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan telah dipenuhi;
(c) semua perkhidmatan perlu telah disediakan; dan
(d) dia menerima tanggungjawab penuh bagi bahagian yang berkenaan dengannya.
(2) Orang yang berkelayakan hendaklah menyerahkan suatu salinan perakuan siap dan pematuhan itu kepada pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Arkitek Malaysia.
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [P.W. 5178/85] (Hingga 1HB November 2015), Bahagian II, Pengemukaan Pelan-Pelan Untuk Diluluskan, Perkara No. 25A, Perakuan siap dan pematuhan. Muka Surat 30.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
- Imej via Freepik
- Jabatan Kerajaan Tempatan KPKT, Perakuan siap dan pematuhan (CCC), https://jkt.kpkt.gov.my/ms/Perakuan-Siap-dan-Pematuhan-CCC