MVRDV berkongsi imej rekabentuk projek pengubahsuaian Koblenz Theater, di Jerman. Projek ini termasuk rekabentuk semula ruang dalaman dan mengubahsuai elemen penting di belakang pentas. Cadangan reka bentuk ini dijalankan dengan mengambil kira pemuliharaan sejarah bangunan, penambahbaikan teknikal penting dan pemulihan bumbung teater.
Rekabentuk ini juga melibatkan kerja-kerja ubahsuai di bahagaian hadapan bangunan operasi di Clemensstraße yang mana rekabentuknya akan memberikan penambilan yang lebih moden dan juga untuk menonjolkan pintu masuk belakang teater bagi memisahkannya dengan pintu masuk tetamu yang hadir untuk menyaksikan persembahan atau pertunjukan.
Bangunan ini telah dibina pada tahun 1787 dan dibina semula pada tahun 1980an. Bangunan ini mempunyai fasad gaya klasik yang menghadap ke Deinhardplatz di Koblenz. Kompleks ini sering melakukan penambahan dalam beberapa tahun sebelum ini yang mana telah menyebabkan beberapa ruang seperti bilik pakaian, bilik persalinan, bilik latihan dan sebagainya telah ditempatkan di bangunan luar yang bersambung dengan bangunan teater yang lama.
Clemensstraße merupakan tempat di mana sebahagian besar ruang operasi itu berada. Walau bagaimanapun, bangunan teater ini tidak nampak seperti sebuah institusi kebudayaan yang penting dari luar bangunan dan pada waktu yang sama, tidak menyediakan kondisi kerja yang sesuai untuk pekerja teater. Jadi, dengan projek pengubahsuaian ini, teater ini diharap dapat mengembalikan kepentingannya dan dapat memberikan nafas baru serta menarik perhatian kepada orang ramai yang melalui bangunan tersebut.
Rekabentuk oleh MVRDV akan mempertimbangkan aspek teknikal dan senibina lama untuk memastikan bahawa teater ini bukan sahaja kelihatan moden tetapi dalam masa yang sama, dapat memelihara nilai sejarahnya. Seperti yang dinyatakan sebelumnya bahawa kerja-kerja pengubahsuaian bangunan di Clemensstrae ini akan memberi tumpuan kepada ruang dalaman dan bentuk bangunan serta meningkatkan imej bangunan secara keseluruhan.
Selain itu, fasad bangunan lama akan dibina semula dengan menggunakan panel aluminium yang dikitar semula sebagai tanda bahan yang digunakan di belakang pentas dalam teater. Tingkap besar dan lebar di tingkat bawah dicadangkan untuk membolehkan orang ramai dapat melihat ke dalam bangunan.
Setiap corak atau orientasi lipatan panel aluminium yang berbeza-beza adalah mewakili bahagian tertentu program bangunan tersebut. Julat profil aluminium juga mencerminkan peranan bagi setiap kawasan dalam bangunan itu. Ini menunjukkan bahawa rekabentuk baru bagi bangunan tersebut telah mempertimbangkan aspek fungsi, estetika dan kesenian bangunan.
Projek itu juga turut menggantikan setiap bumbung di teater dengan bahan kitar semula untuk mengurangkan pelepasan karbon. Pasukan rekabentuk menggabungkan panel fotovoltaik di seluruh kompleks sebagai langkah projek lestari. Tetapi ia menimbulkan sedikit masalah kerana ia melibatkan bangunan warisan dan bersejarah. Untuk itu, langkah berhati-hati dan lebih teliti dilakukan supaya ia tidak terlihat dari luar dan dalam masa yang sama dapat memelihara aspek sejarah bangunan.
Jacob van Rijs mengatakan bahawa Projek itu adalah contoh yang sempurna dan berharap usaha menaik taraf bangunan itu dapat memberikan sesuatu yang lebih bermakna.