UBBL 1984 : Bahagian III – Cahaya dan Pengudaraan Semulajadi

UKBS 1984 – Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984

Foto – DZ Creation Studio

Bukaan Untuk Pencahayaan dan Pengudaraan Semulajadi

Dalam setiap rekabentuk bangunan yang hendak dibuat, perkara yang perlu diambil kira ialah penyediaan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi. Penyediaan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi ialah dengan memastikan bahawa setiap ruang mempunyai bukaan yang dapat membenarkan pencahayaan dan pengudaraan dari luar memasuki ruang dalam bangunan.

Pengiraan secara ringkas

Bagi bangunan kediaman dan perniagaan, ruang bukaan yang perlu disediakan untuk pencahayaan ialah 10% daripada keluasan lantai sesuatu bilik atau ruang. Manakala bukaan untuk pengudaraan pula ialah 5% daripada keluasan sesuatu bilik.

Bagi bangunan hospital pula, bukaan sebanyak 15% perlu disediakan untuk membenarkan pencahayaan semulajadi memasuki ruang dalam bangunan dan 10% bukaan untuk pengudaraan semulajadi.

Ruangkelas atau bilik darjah di pusat pengajian atau sekolah, jumlah bukaan yang perlu disediakan untuk pencahayaan semulajadi ialah 20% daripada keluasan lantai sesuatu ruang atau bilik. Dan sekurang-kurangnya bukaan sebanyak 10% untuk pengudaraan semulajadi.

Berdasarkan kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian III, di bawah tajuk Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 39, Cahaya dan pengudaraan semulajadi adalah seperti berikut:

39. Cahaya dan pengudaraan semulajadi.

(1) Tiap-tiap bilik yang direka bentuk, dipadan atau digunakan bagi maksud-maksud kediaman, perniagaan atau lain-lain kecuali hospital dan sekolah hendaklah dilengkapkan dengan pencahayaan semulajadi dan pengudaraan semulajadi melalui satu atau lebih tingkap yang mempunyai jumlah keluasan tidak kurang daripada 10 peratus daripada keluasan lega lantai bilik itu dan tidak kurang daripada separuh daripada 10 peratus keluasan lantai itu yang mana hendaklah mempunyai ruang buka yang boleh membenarkan laluan udara secara bebas dan tidak terganggu. [Pindaan 2012] [Pindaan 2021]

(2) Tiap-tiap bilik yang digunakan untuk menempatkan pesakit-pesakit di sesuatu hospital hendaklah dilengkapkan dengan pencahayaan semulajadi dan pengudaraan semulajadi melalui satu atau lebih tingkap yang mempunyai jumlah keluasan tidak kurang daripada 15 peratus daripada keluasan lega lantai bilik itu dan tidak kurang daripada dua pertiga daripada 15 peratus keluasan lantai itu yang mana hendaklah mempunyai ruang buka yang boleh membenarkan laluan udara secara bebas dan tidak terganggu. [Pindaan 2012] [Pindaan 2021]

(3) Tiap-tiap bilik yang digunakan bagi maksud menjalankan kelas-kelas dalam sesuatu sekolah hendaklah dilengkapkan dengan pencahayaan semulajadi dan pengudaraan semulajadi melalui satu atau lebih tingkap yang mempunyai jumlah keluasan tidak kurang daripada 20 peratus daripada keluasan lega lantai bilik itu dan tidak kurang daripada separuh daripada 20 peratus keluasan lantai itu yang mana hendaklah mempunyai ruang buka yang boleh membenarkan laluan udara secara bebas dan tidak terganggu. [Pindaan 2012] [Pindaan 2021]

(4) Tiap-tiap jamban pam, tandas, tempat buang air kecil atau bilik mandi hendaklah dilengkapkan dengan pencahayaan semulajadi dan pengudaraan semulajadi melalui satu atau lebih ruang buka yang mempunyai jumlah keluasan tidak kurang daripada 0.2 meter persegi bagi satu jamban pam, tandas, tempat buang air kecil atau bilik mandi dan ruang buka itu hendaklah boleh membenarkan laluan udara secara bebas dan tidak terganggu.


Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (2022), Bahagian III, Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 39, Cahaya dan pengudaraan semulajadi.

Nota:

  • UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
  • UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984

Imej via Freepik

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *