UKBS 1984 : Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Bahagian III
Setiap bangunan perlu menyediakan ruang lega di antara bangunan yang berada di atas lot yang berasingan. Ruang lega yang dimaksudkan ialah setback atau jarak anjakan yang perlu disediakan sekurang-kurangnya 2 meter dari hujung unjuran bangunan tersebut dengan sempadan lot. Maksud unjuran itu ialah hujung bumbung bangunan atau bahagian yang terlunjur atau yang terkeluar dari struktur dinding bangunan.
Contohnya, sebuah bangunan rumah mempunyai jarak antara antara dindingnya hingga ke garis lot sempadannya ialah 3 meter atau 10 kaki. Manakala, unjuran bumbungnya pula sebanyak 1 meter atau 3 kaki. Maka, baki ruang lega atau ruang anjakan setelah menolak unjuran bumbung mestilah paling minimum 2 meter atau lebih kurang 7 kaki.
Dalam pada itu, ruang lega atau setback yang perlu disediakan antara hujung unjuran bangunan dengan hujung unjuran bangunan yang lain dalam lot bersebelahan, mestilah mempunyai jarak sekurang-kurangnya 4 meter.
Contohnya, jarak dinding bangunan rumah ke garisan lot sempadannya ialah 3 meter dan selepas menolak hujung bumbung ke garis sempadan, ia menjadi 2 meter. Manakala, jarak antara dinding bangunan itu dengan dinding bangunan di lot sebelah pula mestilah sekurang-kurangnya 6 meter dan selepas menolak hujung bumbung bangunan rumah itu dan rumah disebelahnya, ia menjadi 4 meter.
Ini bagi memastikan bahawa terdapat ruang yang mencukupi di antara bangunan untuk mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul seperti kebocoran air, penyebaran kebakaran, dan sebagainya. Ia juga untuk memastikan bangunan-bangunan tersebut mempunyai jarak yang mencukupi untuk menjaga privasi dan memelihara keselesaan penghuni.
Merujuk kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian III, di bawah tajuk Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 34, Kawasan sekeliling bangunan berasingan.
34. Kawasan sekeliling bangunan berasingan.
(1) Tertakluk kepada kehendak-kehendak tertentu Bahagian VIII, bagi sesuatu bangunan berasingan
hendaklah terdapat tidak kurang daripada 2 meter ruang lega yang diukur di antara hujung
unjuran-unjuran bangunan itu dengan mana-mana sempadan lotnya dan 4 meter ruang lega di
antara bangunan itu dengan sesuatu bangunan lain melainkan bangunan-bangunan itu terletak di
dalam lot bangunan yang sama.
(2) Bagi maksud undang-undang kecil ini bangunan berkembar dua hendaklah disifatkan sebagai satu
bangunan atas satu lot
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (2022), Bahagian III, Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 34, Kawasan sekeliling bangunan berasingan.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Imej via Freepik