UKBS 1984 : Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984

Berikut merupakan perkara-perkara yang melibatkan kawasan lapang yang bersempadan dengan jalan dan lorong belakang yang perlu disediakan bagi setiap bangunan.
Pengiraan kawasan lapang adalah berdasarkan kepada kawasan binaan. Ia juga tidak termasuk kawasan atau ruang kosong sedia ada. Pengiraan kawasan lapang (belakang) bagi rumah teres boleh dikira separuh daripada lorong belakang dan sekiranya tidak mencukupi, bakinya boleh dikira di dalam anjakan belakang bangunan rumah tersebut.
Merujuk kepada UBBL 1984, Bahagian III, di bawah tajuk Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil 32, Kawasan sekeliling bangunan yang bersempadanan dengan jalan dan lorong belakang.
32. Kawasan sekeliling bangunan yang bersempadanan dengan jalan dan lorong belakang.
(1) Kawasan lapang bagi bangunan-bangunan yang bersempadanan dengan jalan dan lorong belakang hendaklah-
(a) berkenaan dengan bangunan kediaman, tidak kurang daripada satu pertiga daripada kawasan binaan lot bangunan itu; dan
(b) berkenaan dengan bangunan-bangunan lain yang digunakan bukan bagi maksud-maksud kediaman, tidak kurang daripada satu persepuluh daripada kawasan binaan lot bangunan itu.
(2) Bagi maksud mengira kawasan lapang yang dikehendaki oleh perenggan (1) undang-undang kecil 32-
(a) dalam sesuatu rumah kedai dua tingkat kawasan yang dipenuhi oleh sesuatu bangunan tambahan satu tingkat yang bukan suatu bilik kediaman yang tidak melebihi tinggi siling tingkat bawahnya hendaklah disifatkan sebagai neutral dan tidak boleh dikira sebagai kawasan binaan atau kawasan lapang;
(b) setengah daripada lebar lorong belakang yang bersempadanan dengan sesuatu bangunan hendaklah dikira sebagai kawasan lapang;
(c) langkan (balkoni), laluan dan pelindung matahari boleh mengunjur ke atas sesuatu kawasan lapang dengan syarat bahawa ia tidak mengunjur lebih daripada 1 meter dan unjuran itu hendaklah dikira sebagai kawasan lapang dan tidak sebagai kawasan binaan;
(d) kawasan lapang yang diperuntukkan di antara jalan dengan anjak belakang bagi suatu garis bangunan rumah teres tidak boleh dikira sebagai kawasan lapang.
(3) Jika kawasan lapang yang tidak bersempadanan dengan sesuatu lorong belakang diperuntukkan, kawasan lapang itu hendaklah mempunyai ukuran kelegaan minimum tidak kurang daripada 2.5 meter dan kawasan lapang tersebut tidak meliputi unjuran hud, pelindung matahari atau langkan (balkoni).
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 [P.W. 5178/85] (Hingga 1HB November 2015), Bahagian III, Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Perkara No. 32, Kawasan sekeliling bangunan yang bersempadanan dengan jalan dan lorong belakang. Muka Surat 32-33.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Imej via Freepik