UKBS 1984 – Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984

Lorong atau jalan kaki lima atau laluan jalan kaki yang tidak berbumbung mestilah disediakan kelebarannya tidak kurang dari 7 kaki atau 2.1 meter. Manakala jika ada tiang atau tembok sambut yang terkeluar daripada dinding bangunan, ia boleh diterima selagi ia tidak melebihi jarak atau ukuran 600mm dari garis sempadan jalan itu.
Pengukuran jalan kaki lima yang tak berbumbung boleh dikira dari hujung jalan hingga ke dinding bangunan.
Perkara di atas merujuk kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian III, di bawah tajuk Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 38, Lebar Lorong Jalan Kaki.
38. Lebar Lorong Jalan Kaki
(1) Lebar sesuatu jalan kaki lima atau lorong jalan kaki tak bertutup hendaklah tidak kurang daripada 2.10 meter tetapi tembok sambut atau tiang hingga ke dalaman maksimum 600 milimeter daripada sempadan jalan boleh dibenarkan atas jalan kaki lima atau lorong jalan kaki itu. [Pindaan 2012]
(2) Lebar jalan kaki lima atau lorong jalan kaki tak bertutup itu hendaklah diukur daripada sempadan jalan hingga ke dinding atau bahagian lain (yang bukan tembok sambut berenda luar) bangunan itu yang terdekat sekali dengan jalan itu, dan semua dimensi yang disebutkan dalam undang-undang kecil ini hendaklah diukur pada paras lapik batu jalan kaki lima atau lorong jalan kaki itu.
(3) Bagi maksud undang-undang kecil ini, sesuatu anak tangga, bendul atau struktur lain yang bersangkutan dengan suatu bangunan hendaklah disifatkan sebagai sebahagian daripada bangunan itu walaupun tidak bersambung secara terus dengannya.
(4) Jika terdapat sesuatu pertukaran pada paras-paras di sepanjang lorong jalan kaki di antara lot-lot yang bersampingan, maka hendaklah disediakan anak-anak tangga dengan tetingkat tidak melebihi 150 milimeter dan pemijak tidak kurang daripada 275 milimeter atau landaian pejalan kaki yang mempunyai gradien tidak melebihi satu dalam sepuluh.
(5) Jika suatu jalan susur disediakan lorong jalan kaki yang dikehendaki disediakan dan dibina itu hendaklah mengikut garisan jalan itu.
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (2022), Bahagian III, Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 38, Lebar Lorong Jalan Kaki.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
IMEJ via Freepik