UKBS 1984 – Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Bilik merujuk kepada satu ruang yang berada di dalam sesebuah bangunan sama ada bangunan kediaman atau perniagaan atau hospital, hotel, sekolah, pejabat dan sebagainya. Apabila disebut bilik, ia mestilah mempunyai dinding atau pembahagi untuk memisahkannya daripada ruang-ruang yang lain dan mempunyai pintu sendiri atau laluan masuk sebagai akses untuk ke bilik itu.
Bilik boleh dijadikan pelbagai kegunaan. Contohnya, bilik tidur, bilik belajar, bilik solat, bilik kerja, bilik air dan sebagainya.
Keluasan Minimum Bilik Tidur
Dalam konteks di atas, bilik merujuk kepada bilik tidur bangunan kediaman, bilik-bilik atau ruang lain dan ruang dapur. Untuk bilik utama atau bilik tidur utama, syarat minimum keluasan yang mesti dipatuhi ialah 11 meter persegi atau 118.4 kaki persegi. (Boleh rujuk: Keluasan bilik sesebuah rumah kediaman).
Manakala untuk bilik kedua atau bilik tidur kedua, syarat minimum yang perlu dipatuhi ialah 9.3 meter persegi atau 100 kaki persegi dan bilik tidur yang seterusnya mestilah tidak kurang daripada 6.5 meter persegi atau 69.96 kaki persegi.
Lebar Minimum Bilik
Kelebaran minimum untuk semua bilik tidur mestilah tidak kurang daripada 2 meter termasuk bilik tidur utama. Ini bagi memastikan setiap penghuni mempunyai ruang yang cukup untuk bergerak dan melakukan aktiviti dalam bilik tidur mereka dengan selesa.
Saiz Minimum Dapur
Selain itu, salah satu ruang yang perlu diambil perhatian ialah ruang dapur. Saiz keluasan minimum bagi sebuah ruang dapur mestilah sekurang-kurangnya 4.5 meter persegi atau 48.43 kaki persegi. Dan, kelebaran ruang dapur mestilah sekurang-kurangnya 1.5 meter atau 5 kaki supaya dapat memastikan aktiviti di dalam ruang dapur dapat dilakukan dengan lebih selesa.
Berdasarkan kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian III, di bawah tajuk Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 42, Luas minimum bilik-bilik dalam bangunan kediaman adalah seperti berikut:
42. Luas minimum bilik-bilik dalam bangunan kediaman
(1) Luas bilik kediaman yang pertama dalam sesuatu bangunan kediaman hendaklah tidak kurang daripada 11 meter persegi, bilik kediaman yang kedua hendaklah tidak kurang daripada 9.3 meter persegi dan luas semua bilik kediaman lain hendaklah tidak kurang daripada 6.5 meter persegi.
(2) Lebar tiap-tiap bilik kediaman dalam sesuatu kediaman hendaklah tidak kurang daripada 2 meter.
(3) Luas dan lebarnya sesuatu dapur dalam suatu bangunan kediaman hendaklah masing-masingnya tidak kurang daripada 4.5 meter persegi dan 1.5 meter.
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (2022), Bahagian III, Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 42, Luas minimum bilik-bilik dalam bangunan kediaman.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Imej via Freepik