UKBS 1984 – Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984

Penyediaan Pengudaraan Mekanikal
Jika sesuatu bangunan atau ruang itu tidak dapat menggunakan sistem pengudaraan semulajadi, maka sistem pengudaraan secara mekanikal mesti diletakkan di dalam suatu ruang atau bilik itu. Sekiranya sistem pengudaraan mekanikal mengalami kerosakan atau gagal berfungsi, adalah perlu untuk memastikan terdapat kaedah lain yang boleh digunakan untuk mendapatkan udara bersih atau udara segar masuk ke dalam bangunan.
Namun, walaupun sistem mekanikal digunakan di dalam suatu bangunan atau ruang, menyediakan sistem pengudaraan semulajadi adalah digalakkan untuk menjadi salah satu sumber bekalan udara bersih apabila berlaku kerosakan kepada sistem mekanikal sedia ada.
Merujuk kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian III, di bawah tajuk Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 41, Pengudaraan atau penyamanan udara secara mekanikal adalah seperti berikut:
41. Pengudaraan atau penyamanan udara secara mekanikal.
(1) Jika pengudaraan atau penyamanan udara secara mekanikal yang kekal dicadangkan, undang-undang kecil bangunan yang relevan berhubungan dengan pengudaraan semulajadi, pencahayaan semulajadi dan tinggi bilik-bilik hendaklah tidak terpakai. [Pindaan 2012]
(2) Suatu sistem penyamanan udara yang kekal itu hendaklah disediakan dengan cara lain bagi kepungan yang dinyamankan udaranya itu, supaya dalam masa setengah jam daripada kerosakan sistem penyamanan udara itu, udara bersih yang tidak kurang daripada banyak yang ditentukan sebagaimana dinyatakan kemudian daripada itu boleh dimasukkan ke dalam kepungan itu sepanjang tempoh sistem penyamanan udara itu tidak berjalan. [Pindaan 2012] [Pindaan 2021]
(3) Peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga Undang-Undang Kecil ini adalah terpakai bagi bangunan yang digantikan udaranya atau dinyamankan udaranya secara mekanikal.
(4) Jika pengudaraan secara mekanikal yang kekal berkenaan dengan tandas, jamban pam, bilik mandi atau koridor diadakan dan disenggara mengikut kehendak-kehendak Jadual Ketiga Undang-Undang Kecil ini, peruntukan-peruntukan Undang-Undang Kecil ini berhubungan dengan pengudaraan semulajadi dan pencahayaan semulajadi tidak terpakai bagi tandas, jamban pam, bilik mandi atau koridor itu.
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (2022), Bahagian III, Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 41, Pengudaraan atau penyamanan udara secara mekanikal.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Imej via Freepik
* sekiranya terdapat pembetulan/pindaan/tambahan terhadap penulisan di atas, boleh maklumkan kepada kami