UKBS 1984 – Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Antara perkara yang perlu diambil perhatian apabila merekabentuk sesebuah bilik atau ruang ialah had ketinggian minima yang dibenarkan. Untuk bilik tidur bangunan kediaman mestilah tidak kurang daripada 2.5 meter. Manakala ruang dapur pula, had ketinggian minimum yang perlu dipatuhi ialah 2.25 meter. Dan ruang lain seperti bilik air, anjung, balkoni, garaj dan sebagainya mestilah sekurang-kurangnya 2 meter.
Ukuran ini termasuk bilik bersiling cerun dan pengiraan had minimum hendaklah bermula daripada hujung cerun itu.
Untuk bangunan seperti bangunan rumah kedai, sekolah, hospital dan kilang, boleh rujuk perkara no. 3, 4 dan 5 di bawah.
Menurut UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian III, di bawah tajuk Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 44, Tinggi bilik-bilik dalam bangunan kediaman, rumah kedai, sekolah, dll adalah seperti berikut:
44. Tinggi bilik-bilik dalam bangunan kediaman, rumah kedai, sekolah, dll.
(1) Tinggi bilik-bilik dalam bangunan kediaman selain daripada rumah kedai hendaklah—
(a) bagi bilik kediaman dan bilik tidur, tidak kurang daripada 2.5 meter;
(b) bagi dapur, tidak kurang daripada 2.25 meter;
(c) bagi bilik mandi, jamban pam, tandas, anjung, langkan, berenda, garaj dan sebagainya, tidak kurang daripada 2 meter.
(2) Tinggi purata bilik yang bersiling cerun dalam bangunan kediaman selain daripada rumah kedai hendaklah—
(a) bagi bilik kediaman dan bilik tidur, tidak kurang daripada 2.5 meter;
(b) bagi dapur, tidak kurang daripada 2.25 meter;
(c) bagi bilik mandi, jamban pam, tandas, anjung, balkoni, berenda, garaj dan sebagainya, tidak kurang daripada 2 meter. Dengan syarat bahawa tiada mana-mana bahagian sesuatu bilik boleh kurang daripada 2 meter tingginya.
(3) Bagi rumah kedai tinggi bilik-bilik tingkat bawah hendaklah tidak kurang daripada 3 meter dan tinggi bilik-bilik tingkat atas hendaklah tidak kurang daripada 2.5 meter. Jika kedalaman rumah kedai itu pada paras mana-mana tingkat atas adalah lebih daripada 10.5 meter, tinggi bilik-bilik di tiap-tiap tingkat atas itu hendaklah tidak kurang daripada 2.55 meter.
(4) Bagi sekolah, tinggi bilik-bilik yang digunakan untuk menyebar pengetahuan hendaklah tidak kurang daripada 3 meter ruang atas.
(5) Bagi hospital tinggi bilik-bilik yang digunakan untuk menempatkan pesakit-pesakit hendaklah tidak kurang daripada 3 meter.
(6) Tinggi sesuatu bilik dalam sesuatu kilang di mana seseorang bekerja hendaklah tidak kurang daripada 3 meter ruang atas.
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (2022), Bahagian III, Ruang Kawasan, Cahaya dan Pengudaraan, Undang-Undang Kecil No. 44, Tinggi bilik-bilik dalam bangunan kediaman, rumah kedai, sekolah, dll.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Imej via Freepik