Teknologi binaan percetakan 3D telah banyak digunakan sejak kebelakangan ini untuk pelbagai kegunaan. Antaranya membina rumah, tempat perniagaan dan sebagainya. Dubai juga tidak ketinggalan dan bersedia untuk menggunakan teknologi binaan percetakan 3D itu dalam projek pembinaan masjid di negara itu. Dan ia akan menjadi projek masjid pertama di dunia yang menggunakan teknologi binaan percetakan 3D.
Projek masjid itu mempunyai keluasan sehingga 2,000 meter persegi dan mengandungi 2 tingkat. Bangunan masjid itu dapat memuatkan seramai 600 orang jemaah dalam satu-satu masa. Pembinaannya akan dimulakan pada penghujung tahun 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2025.
Menurut Ali Mohammad Alhalyan Alsuwaidi, iaitu ketua kejuruteraan di Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal (IACAD) Dubai bahawa pemilihan percetakan 3D itu adalah kerana ia merupakan teknologi baru dan berpotensi untuk menjimatkan masa dan sumber berbanding kaedah pembinaan tradisional.
Teknologi binaan percetakan 3D memerlukan mesin pencetak yang besar yang diprogramkan dengan maklumat rekabentuk. Bahan binaan akan dikeluarkan melalui muncung pencetak dan membina struktur dalam bentuk lapisan. Kebiasaanya, bahan binaan yang digunakan adalah daripada bahan konkrit atau boleh juga menggunakan bahan lain seperti tanah liat.
Pada tahun 2018, “Strategi Pencetakan 3D” atau “3D Printing Strategy” telah dilancarkan dan Dubai ditetapkan sebagai ibu negara percetakan 3D di dunia menjelang tahun 2030 yang mana sebanyak 25% daripada pembinaan baru negara itu akan menggunakan teknologi itu.
Pada tahun 2019, Dubai telah memengang rekod dunia untuk struktur binaan 3D terbesar iaitu Bangunan Perbandaran Dubai dengan ketinggian 9.5 meter dan keluasan 640 meter persegi.
Sebenarnya, telah banyak bangunan baru dibina dengan teknologi percetakan 3D. Antaranya perumahan untuk pelarian di Jordan, rumah gelandangan di Austin dan projek New Story untuk keluarga miskin di Tabasco, Mexico.
Theo Salet, dekan Jabatan Alam Binaan di Universiti Teknologi Eindhoven berkata, sejumlah besar kerja pembinaan perlu dilakukan dalam dekad yang akan datang, dalam konteks kekurangan pekerja pembinaan mahir, peralihan tenaga dan keperluan untuk industri untuk menjadi lebih mampan.
“Rekabentuk dan pembinaan digital akan menjimatkan masa… mengurangkan kos pembinaan dan kos kegagalan, menyelesaikan masalah kekurangan pekerja binaan dan membolehkan kami memikirkan semula rekabentuk kami dari segi kemampanan,” katanya.
Walaupun teknologi ini banyak kelebihan, percetakan 3D tetap ada cabarannya. Ia adalah projek untuk dipelajari dan kesilapan perlu ada untuk mengesan kekurangan dan memperbaiki teknologi itu.