UKBS 1984 – Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Bahagian IV : Kerja-Kerja Sementara Berhubungan Dengan Kerja-Kerja Bangunan

Apabila kerja-kerja pembinaan hendak dimulakan, orang yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan itu perlu mempamerkan papan yang menunjukkan maklumat pihak yang terlibat seperti nama, alamat dan nombor telefon.
Pihak yang terlibat ialah seperti orang utama yang mengemukakan permohonan projek tersebut. Contohnya pemaju, pemilik tanah atau mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan dalam projek itu. Selain itu, maklumat orang yang mengemukakan juga hendaklah dipamerkan seperti arkitek atau konsultan yang terlibat dan pihak yang seterusnya ialah kontraktor pembinaan.
Tujuan mempamerkan maklumat pihak yang terlibat dalam projek pembinaan itu ialah untuk memudahkan mana-mana pihak untuk menghubungi pihak yang terlibat dalam projek pembinaan tersebut atau sekiranya terdapat masalah ketika proses pembinaan dijalankan. Ia juga memberi maklumat kepada orang awam tentang siapakah yang terlibat untuk projek yang sedang dibina.
Dalam pada itu, sebarang pembinaan juga adalah dilarang sekiranya papan dinding pelindung atau papan hoarding tidak didirikan disekeliling tapak projek untuk memisahkan antara laluan awam dan kawasan pembinaan. Ini bertujuan untuk mengelakkan berlaku kemalangan atau gangguan terhadap orang awam yang menggunakan jalan atau laluan disekitar tapak projek.
Merujuk kepada UBBL 1984 / UKBS 1984, Bahagian IV, di bawah tajuk Kerja-Kerja Sementara Berhubungan Dengan Kerja-Kerja Bangunan, Undang-Undang Kecil No. 48, Memulakan kerja-kerja bangunan.
48. Memulakan kerja-kerja bangunan
(1) Apabila sesuatu kerja bangunan dimulakan, orang yang bertanggungjawab atas pembinaan bangunan itu hendaklah mempamerkan suatu papan yang menunjukkan nama, alamat, dan nombor telefon orang utama yang mengemukakan, orang yang mengemukakan dan kontraktor bangunan.
(2) Pembinaan sesuatu bangunan tidak boleh dimulakan melainkan suatu papan dinding pelindung yang
mengikut kehendak-kehendak pihak berkuasa tempatan didirikan untuk mengasingkan bangunan
itu dari jalan atau lorong jalan kaki.
(3) Jika suatu papan dinding pelindung dikehendaki suatu permit sementara hendaklah diperolehi
mengikut undang-undang kecil 19 dan papan dinding pelindung itu hendaklah dibina mengikut
pelan papan dinding pelindung yang diluluskan dan semasa meroboh atau mendirikan sesuatu
bangunan hendaklah disenggarakan dalam keadaan baik dengan memuaskan hati pihak berkuasa
tempatan.
Rujukan: Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (2022), Bahagian IV, Kerja-Kerja Sementara Berhubungan Dengan Kerja-Kerja Bangunan, Undang-Undang Kecil No. 48, Memulakan kerja-kerja bangunan.
Nota:
- UBBL 1984 = Uniform Building By Law 1984
- UKBS 1984 = Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
Imej hoarding – Freepik