Selangor dijangka mengalami jumlah peningkatan pelancong melebihi 3.5 juta dengan kenaikan 5% berbanding tahun 2022.
Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, pelancongan pelayaran melalui Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang, Taman Tema Air Splash Mania di Gamuda Cove dijangka bakal menjadi antara lokasi tarikan di negeri Selangor.
“Turut menjadi tumpuan segmentasi ekopelancongan seperti Geotaman Gombak-Hulu langat yang terdiri daripada 20 geotapak di Gombak serta Hulu Langat seperti Batu Arang, Batu Caves, Permatang Kuarza, Sungai Tekala dan Kompleks Air Panas Sungai Lalang.
“Begitu juga pelancongan agro seperti Selangor Fruit Valley, pelancongan agro Sungai Panjang dan pelancongan agro di Sekinchan,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Petaling Jaya di Laman MBPJ.
Beliau berkata, sSelangor mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi dan bukan sahaja di kawasan bandar.
“Bagi menarik minat lebih ramai pelancong, pakej berasaskan komuniti setempat akan dipasarkan secara meluas kerana itulah trend terkini pelancong.
“Pada masa sama kerajaan negeri juga telah memperkenalkan aplikasi Go Selangor yang telah menerima seramai 1,947 pengguna yang memuat turun aplikasi Go Selangor dengan jumlah akses sebanyak 6,820,” katanya.
Aplikasi Go Selangor menerima respon yang agak baik daripada pengguna malah terdapat beberapa penambahbaikan dicadangkan seperti pakej tawaran akan diperbanyakkan dalam aplikasi tersebut.