Rumah pertama bagi projek perumahan yang dibina dengan menggunakan teknologi percetakan 3D telah dibuka untuk dikunjungi. Terdapat 100 unit rumah yang dicadangkan terletak di komuniti Wolf Ranch, Georgetown, di Austin, Texas.
Rumah ini merupakan sebahagian daripada projek pembangunan rumah 3D dalam skala terbesar di dunia yang kini sedang dalam pembinaan. Beberapa buah rumah di dalam kawasan itu juga telah berjaya dijual. Dengan lebih daripada 80 tapak rumah sedang aktif dalam pembinaan dan hampir siap, pemilik rumah pertama akan berpindah masuk ke rumah itu pada bulan September ini.
Projek ini terletak di bahagian utara Austin di Georgetown, merangkumi 8 jenis rumah berbeza dengan saiz keluasannya antara 1500 kaki persegi hingga 2100 kaki perseg. rekabentuk rumah itu disediakan dalam tiga hingga empat bilik tidur dandua hingga tiga bilik mandi.
ICON dan Lennar menggabungkan teknologi pencetakan 3D dengan ciri-ciri mampan untuk memastikan harga yang dijual berpatutan bagi menangani krisis perumahan di Austin. Kawasan perumahan baru ini juga akan menyediakan kemudahan seperti kolam renang, laluan rekreasi, dan taman yang mudah diakses ke pusat bandar Georgetown dan Austin.
Dibina menggunakan mesin robot 3D dan teknik pembinaan tambahan, rumah-rumah ini mempunyai sistem dinding yang efisien tenaga, tahan terhadap kulat, air, dan api, serta mengurangkan pembaziran minimum semasa tempoh pembinaan.
Rekabentuk rumah-rumah ini juga menonjolkan teknik pembinaan mereka dengan memaparkan tekstur unik hasil daripada penggunaan bahan menggunakan sistem pembinaan Vulcan milik ICON. Projek rumah ini juga direka untuk memberikan keselesaan kepada penghuninya dengan menggunakan bahan dan teknologi yang dapat mengurangkan perubahan suhu yang tidak stabil atau tidak menentu sekali gus menjadikan suhu dalaman yang lebih konsisten dan selesa. Setiap rumah juga dipasangkan dengan panel suria fotovoltaik untuk membantu mengurangkan penggunaan tenaga.
Kaedah ini adalah untuk memastikan proses pembinaan yang cepat dan dalam masa yang sama, dapat mencipta keadaan isi rumah yang selesa dan memastikan daya tahan terhadap fenomena semula jadi.
Kerjasama antara syarikat pembinaan Lennar, ICON dan arkitek bertaraf dunia BIG-Bjarke Ingels Group, akhirnya berjaya mencapai pembinaan komuniti rumah 3D terbesar. ICON juga diiktiraf diperingkat antarabangsa terhadap sistem teknologi pembinaan pencetakan 3D inovatif. Syarikat ini juga bekerjasama dengan NASA untuk mencipta habitat yang dibina menggunakan percetakan 3D di bulan dan di planet marikh dalam misi Artemis dan CHAPEA.
Sumber: Archdaily